Pengarah Pagari Bulan, Ts Raja Mukhriz telah mempertaruhkan pelakon Nazeera Sardi sebagai tunjang utama bagi memegang watak sebagai pejuang yang memartabatkan kaum wanita.
Selain itu, filem ini turut dibarisi pelakon hebat tahah air iaitu Aniq Durar, Trisha Ooi, Andy Teh, Alvin Wong dan Michael Ang.
Idea filem ini datang dari Ellyna Ahmad dan Ts Raja Mukhriz setelah melihat belum ada genre ‘comfort women’ yang diketengahkan dalam filem tanah air. Skrip dan lakon layar Pagari Bulan oleh Siti Jasmina Ibrahim.
Filem Pagari Bulan ini mendapat sokongan penuh daripada Kementerian Komunikasi Dan Digital (KKD) Melalui Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia (Finas) Atas Dana Kandungan Digital (DKD) yang telah dibelanjakan bagi memastikan filem ini berjaya dihasilkan seterusnya dapat menemui penonton di pawagam.
Dua kali gagal mendapatkan dana filem kenegaraan selepas permohonan ditolak Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), penerbit tidak berputus asa merealisasikan projek filem, Pagari Bulan.
Sharifah Shahora dan suami mengatur strategi menambat hati panel penilai dengan mengembangkan naskhah asal, iaitu filem pendek arahan Raja Mukhriz pada 2016 yang pernah meraih pengiktirafan pada Festival Filem Eurasia di Kazakhstan, kepada kisah yang mengangkat isu pemerkasaan wanita pada era penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu.
Filem Pagari Bulan yang menerima dana filem kenegaraan bernilai RM2.5 juta, berkisar Bulan lakonan Nazeera Sardi, iaitu anak sulung pengusaha tanaman dan pemburu dikenali sebagai Ismail dan isterinya, Hasnah, berdepan tentera Jepun yang menawan Kelantan pada 1941.
Para pelakon filem Pagari Bulan:
1. Nazeera Sardi sebagai Bulan
2. Aniq Durar sebagai Miura
3. Trisha Ooi sebagai Sui Li
4. Alvin Wong sebagai Kuzawa
5. Andy Teh sebagai Leftenan Azu
6. Michael Ang sebagai Ah Leong
7. Chelsia Ng sebagai Momosan
8. Laila Nasir sebagai Hasnah
9. Hazi Juzaili sebagai Nida
Sharifah Shahora selaku penerbit filem Pagari Bulan mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua media cetak dan media elektronik, bloggers, influencer temasuk mereka yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam penghasilan filem ini dan Filem “Pagari Bulan” akan disiarkan mulai 5 Oktober 2023 lebih daripada 60 pawagam di seluruh Malaysia dan Singapura.
Sharifah Shahora berkata, dia dan suami mengambil masa setahun untuk mengubah plot cerita filem Pagari Bulan bersama pemilik idea asal, Ellyna Ahmad dan penulis skrip, Siti Jasmina Ibrahim.
“Kajian dilakukan melalui enjin carian berikutan sukar mendapatkan maklumat daripada wanita tempatan yang pernah menjadi ‘comfort woman’.
“Perkara ini dianggap sesuatu yang mengaibkan. Kisah wanita diculik dan menjadi pemuas nafsu tentera Jepun berlaku pada era 1940-an di kebanyakan negara di Asia seperti Filipina dan Malaysia.
“Pagari Bulan memaparkan kisah fiksyen perjalanan hidup Bulan yang menjadi pemuas nafsu askar Jepun dan bagaimana dia bangkit menentang serta menyelamatkan wanita lain yang menjadi mangsa,” katanya.
Ditanya tidakkah bimbang andai filem Pagari Bulan mendapat reaksi negatif penonton, apatah lagi memaparkan wanita berkemban, Sharifah Shahora berkata, pihaknya mahu memaparkan elemen realistik dalam naskhah berkenaan.
“Kami tahu hendak buat orang faham, bukan mudah. Tetapi, itu sahaja simbolik untuk menggambarkan apa yang berlaku pada zaman itu.
“Alhamdulillah, semua babak mendapat kelulusan daripada Lembaga Penapis Filem (LPF). Mungkin mereka faham, itulah keadaannya ketika itu,”
Mengenai pemilihan Nazeera sebagai pendukung watak Bulan, Sharifah Shahora berkata, suaminya mahu mencari pelakon yang memiliki wajah wanita Melayu asli.
“Proses itu agak rumit kerana kebanyakan pelakon wanita berdarah campuran. Hendak cari aktres berwajah seperti Vanidah Imrah dan Datin Paduka Umie Aida juga sukar.
“Selain itu, ada pelakon terkenal tidak mahu datang sesi ‘casting’, sebaliknya hanya mahu menjalani proses uji bakat melalui telefon. Jadi, kita terpaksa abaikan.
“Ada juga pelakon yang menolak kerana bimbang mengganggu persiapan untuk berkahwin dan pelbagai perkara lain.
“Bagi saya, impak watak Bulan cukup besar. Mungkin sekali dalam seumur hidup mereka dapat watak macam ini,”
Pengarah Pagari Bulan, Raja Mukhriz mengaku bekerja dengan penerbit wanita cukup mencabar, lebih-lebih lagi individu terbabit adalah isteri sendiri.
Filem Pagari Bulan mula ditayangkan di pawagam di seluruh negara pada 5 Oktober ini.
Penggambaran dilakukan di 25 lokasi bagi menghidupkan era penjajahan Jepun di Tanah Melayu.
Sinopsis Filem Pagari Bulan
PAGARI BULAN mengisahkan tentang Bulan yang merupakan anak sulung perempuan kepada pengusaha tanaman dan pemburu yang cekap iaitu Ismail dan isterinya Hasnah yang berhadapan dengan kedatangan pihak Jepun ke Kelantan.
Penduduk kampung berdekatan dan kampung lain terpaksa mempertahankan kampung mereka daripada didera, dibunuh, dan mempertahankan anak gadis yang menj adi sasaran tahanan oleh tentera Jepun. Bulan bersama-sama adiknya Kasih dan sahabatnya Sui Li juga ditangkap dan dipaksa mengikuti segala kemahuan askar Jepun demi memuaskan nafsu.
Semasa BULAN berjuang untuk terus hidup, muncul seorang leftenan muda, MIURA (hujung 20an) yang ditugaskan ke markas kuasa KUZAWA dengan membawa etika ketenteraan lebih profesional dan menolak nilai keganasan penderaan terhadap penduduk yang dijajah.
MIURA juga seorang yang terpelajar dan telah mengkaji dan mengenali bahasa dan budaya penduduk Tanah Melayu sebelum datang bertugas. Apabila MIURA melihat begitu banyak kekejaman yang berlaku, dia tidak sefahaman dan menentang cara KUZAWA. MIURA juga mengenali kekuatan gadis bernama BULAN ini yang baginya luar biasa bagaimana semangat penduduk di situ dengan BULAN sebagai lambangnya kentalnya hati mereka mahu bebas dari kekejaman dan penjajahan.