Itu antara respons pelakon Abby Abadi sekali gus menafikan dirinya berada dalam fasa kesedihan selepas anak keduanya, Marissa Dania Hakim dilempar tuduhan sebagai penyondol rumah tangga sehingga sepasang suami isteri bercerai baru-baru ini.
Menurut Abby, emosinya tidak rapuh seperti yang didakwa segelintir pengguna TikTok baru-baru ini.
“Banyak sangat akaun TikTok yang dicipta menggunakan nama saya dan anak-anak kemudian sedap nak maki hamun orang.
“Sudah tiada kerja agaknya orang Malaysia ini. Tiada rapuh-rapuhlah, saya okey sahaja,” katanya dalam InstaStory semalam.
Dalam perkongsian sama, dia yang popular menerusi drama Gerak Khas itu berharap orang ramai khususnya pengguna media sosial agar tidak melemparkan sebarang komen negatif secara membuta-tuli tanpa memeriksa pemilik sebenar mana-mana akaun TikTok yang menggunakan namanya.
“Tengok-tengoklah dahulu sebelum nak meninggalkan komen sebab akaun itu bukan milik kami.
“Jangan main serbu sahaja nak maki hamun orang lain,” jelas Abby.
Dia juga berpendapat dugaan yang melanda keluarganya baru-baru ini dianggap sebagai ujian daripada Tuhan yang perlu ditempuh selagi bernafas.
“Selagi hidup, selagi itulah kita akan diuji.
“Ujian tanda Allah SWT peduli. Terus jaga diri, jaga solat jaga hak Allah sebaiknya okey,” katanya lagi.
Abby turut memuat naik tangkap layar sebuah hantaran dalam akaun TikTok yang menggunakan isu berkaitan keluarganya sebagai bahan konten.
“Terima kasih sang suami setia disisiku disaat hatiku sedang rapuh,” tulis pemilik akaun tersebut yang turut memuat naik wajah Abby bersama suami, Muhammad Faizal Zakari.