11 KELUARGA YANG DIPAPAR DALAM PROGRAM BERSAMAMU MUSIM KE-11 TERIMA SUMBANGAN
Hulurkan Tangan, Ringankan Beban
Program amal Bersamamu terbitan TV3 mendapat sambutan yang amat menggalakkan sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2005. Program yang keudara setiap Rabu, jam 9.30 malam ini merupakan antara tanggungjawab sosial TV3 dalam membantu meringankan beban golongan sasar. Program ini juga diharap dapat menimbulkan kesedaran dan muhasabah diri sesama insan.
Seperti musim-musim sebelumnya, satu majlis penyampaian sumbangan telah diadakan kepada 11 keluarga Bersamamu yang disiarkan sepanjang musim ke-11 iaitu antara Februari hingga Jun yang lalu. Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Muhammad bin Muhammad Taib, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah dan Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3.
Setiap keluarga menerima antara RM20,000.00 hingga RM50,000.00 bergantung kepada beberapa kriteria. Antaranya, saiz keluarga, kemampuan ketua keluarga dan keperluan mereka. Sumbangan ini bertujuan untuk menampung perbelanjaan sara hidup, pendidikan, kesihatan, membaiki rumah serta modal untuk memulakan perniagaan, penternakan atau pekerjaan yang mampu dilakukan keluarga Bersamamu. Jumlah keseluruhan sumbangan malam ini ialah RM250,000.00. Jumlah ini merupakan sumbangan yang diterima daripada orang ramai dan badan-badan korporat yang disalurkan kepada Tabung TV3-Bersamamu.
Penonton pula boleh melihat kemajuan mereka setelah dibantu oleh Bersamamu dan pelbagai pihak melalui setiap penghujung episod Bersamamu mulai 4 Jun 2008 yang lalu. Sebelum ini Bersamamu juga pernah menganjurkan kem remaja khusus untuk anak-anak keluarga Bersamamu yang diadakan pada 10-12 Mac 2008 yang lalu di Warisan Sembilang Resort, Jeram Selangor. Seramai 45 orang anak-anak daripada keluarga Bersamamu dari musim pertama hingga musim ke-10 terbabit dalam kem ini.
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 berkata,
“Majlis malam ini bertujuan untuk menyempurnakan amanah penonton dan orang ramai yang tidak jemu-jemu menghulurkan bantuan dan sokongan. Kami hanya menjalankan amanah yang telah dipertanggungjawabkan kepada kami dan harapan kami agar sumbangan ini akan membuka jalan yang lebih sempurna buat kesemua keluarga ini. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang terlibat memberi sumbangan kepada Tabung Bersamamu TV3 ini.”
Program ini telah berjaya mengumpul kira-kira RM2juta ringgit yang sebahagian besar daripadanya sudah pun diagihkan kepada keluarga Bersamamu pada musim-musim yang lepas. Setakat ini Bersamamu telah membantu lebih 150 keluarga yang memerlukan. Kutipan Tabung Bersamamu TV3 masih diteruskan untuk mendapat sumbangan orang ramai bagi menampung keperluan keluarga Bersamamu pada musim-musim yang akan datang. Selain daripada kutipan orang ramai yang diterima melalui Jom Heboh, orang ramai juga boleh menghantar sumbangan mereka kepada Maybank akaun Tabung TV3 Bersamamu BSM: 5643 2412 9973 yang dipintau oleh pemegang amanah TV3 iaitu Amanah Raya Berhad (ARB).
Turut memeriahkan majlis adalah artis-artis terkenal tanah air seperti Kanchana Dewi, Deja Moss, Erry Putra, Intan Ladyana, Danny X-Factor, Fazley Zainal dan ramai lagi.
Krew produksi penerbitan Bersamamu dibarisi oleh Hajah Mazlin Nordin selaku Penerbit Eksekutif, Kalijahwati Md Kassim sebagai Penerbit dan dibantu oleh Penolong Penerbit, Shahnun Hanif Suhaimi serta wartawan penyiaran Johari Abu Bakar. Manakala Shaiful Hadi Ahmad bertindak sebagai Pembantu Penerbitan.
[tags]bersamamu, euro, result team, coach, tv3, skandal seks, scandal sex, sidang parlimen malaysia, speaker dewan rakyat, wedding dress, Kanchana Dewi, Deja Moss, Erry Putra, Intan Ladyana, Danny X-Factor, Fazley Zainal, wedding maker, Tan Sri Dato’ Muhammad, astronaut diapers, Muhammad Taib[/tags]