Boleh dikatakan perjalanan untuk menjadi ibu bapa berbeza buat setiap pasangan suami isteri di luar sana dan ia sudah pasti satu pengalaman yang tidak akan dilupakan terutamanya mereka yang pertama menimang anak.
Pengalaman menimang cahaya mata sulung bukan sahaja satu perkara berharga kepada wanita bergelar ibu, malah para suami juga telah ‘naik pangkat’ menjadi seorang ayah.
Sebagai ibu bapa, pastinya kedua-dua pihak mahukan yang terbaik buat anak mereka.
Suami Madammu Tak Bagi Bayi Mandi Guna Air Paip Di Kampung, Sanggup Belikan Botol Air Mineral
Berbicara tentang anak sulung, seorang usahawan wanita yang mesra disapa sebagai Madammmu juga telah bergelar ibu buat pertama kalinya pada 9 Jun lalu selepas melahirkan putera sulung.
Baru-baru ini menerusi video yang dimuat naik olehnya di TikTok (@madammmu), wanita ini menceritakan kisah yang berlaku ketika mereka sekeluarga pulang ke kampung halaman di Besut, Terengganu.
Madammu berkongsi kisah apabila suaminya tidak membenarkan bayi mereka dimandikan dengan air paip.
Oleh disebabkan itu, suaminya sanggup membeli beberapa botol air mineral di kedai berhampiran untuk digunakan bagi memandikan bayi mereka bernama Kayden.
Dalam nada berseloroh, Madammmu mengatakan dia hanya mandi menggunakan air telaga sahaja ketika waktu kecil.
Video menunjukkan pembantu Madammmu menuang campuran air panas dan air mineral di dalam bekas tempat mandi bayi telah mendapat perhatian ramai dan meraih 719,800 jumlah tontonan ketika artikel ini ditulis.
Netizen Beri Pelbagai Reaksi Selepas Tahu Suami Madammmu Tak Bagi Bayi Mandi Guna Air Paip Di Kampung
Menjengah ke ruangan komen, pelbagai reaksi yang diberikan oleh netizen selepas mendapat tahu bahawa suami Madammmu tidak membenarkan anak kecilnya dimandikan menggunakan air paip di kampung.
Sesetengah netizen berpendapat bahawa pasangan ini hanya memberikan yang terbaik memandangkan perjalanan mereka untuk mendapatkan zuriat agak mencabar.
Namun, ada juga yang berkata mereka tetap membesar dengan sihat walaupun hanya menggunakan bekalan air paip sejak kecil.
Pada masa yang sama, sesetengah netizen dilihat sempat membuat gurauan kononnya mereka memandikan anak mereka menggunakan air minuman seperti sirap dan teh o ais limau.
Bila ada rezeki lebih, tak salah untuk kita berikan yang terbaik untuk anak. Betul tak?