Terlebih Sudah Temukan Zamarul Hisham Dan Fauziah Ghous Pada 3 Julai Di TV1
KUALA LUMPUR, 29 Jun – Seringkali cinta berjaya membutakan mata seseorang daripada melihat kebenaran yang hakikatnya terbentang di depan mata. Kerana cinta juga sesorang itu sanggup mengetepikan rasa curiga yang bersarang di jiwa.
Namun bagaimana pula kiranya seseorang itu merasakan diri terdesak mendapatkan cinta sejati? Apatahlagi lelaki yang ditemui sebelum ini gagal menepati ciri-ciri pemuda budiman yang ikhlas dalam cinta. Sementelahan menjadi suami yang bertanggungjawab membimbing ke jalan yang kebenaran.
Slot Panggung Ahad minggu ini menampilkan gandingan lakonan hebat Zamarul Hisham dan Fauziah Ghous dipertemukan dalam drama bertajuk Terlebih Sudah pada 3 Julai 2011, jam 10.00 pagi di TV1. Drama turut dibintangi pelakon hebat Khatijah Tan, Shahrol Nizam Noor, Aishah Md Desa dan Marsha Londoh ini mengisahkan seorang gadis bernama Nadira yang memang tidak betah hidup tanpa cinta.
Sejak alam remaja, dia sudah mula punyai teman lelaki silih berganti. Namun belum satu pun yang mampu menjadi cinta agungnya. Dia nekad untuk ‘bersara’ dari bercinta untuk beberapa waktu. Pelbagai pendekatan digunakan untuk merealisasikan impiannya itu.
Dalam keluarganya, Nadira pula kaya dengan cinta dan kasih sayang dari ibunya, Marni, seorang ibu tunggal. Dia membesar dengan kasih sayang yang tidak berbelah-bahagi. Nadira bahagia sebegitu namun pada masa sama situasi tersebut dapat melupakannya daripada kesepian dan terdesak mendampingi lelaki sebagai calon suami.
Nadira bertemu dengan Idham. Hubungan berjalan baik dan Idham yang baru bercinta melayan Nadira seperti puteri. Walau bagaimanapun Marni, mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena dengan Idham kerana dia merasakan Idham terlalu obses dan terlalu mengambil berat terhadap Nadira. Ini menakutkan Marni dan risau akan keselamatan Nadira terutama apabila Nadira memutuskan untuk berkahwin dengan Idham.
Rupa-rupanya Idham mengalami gangguan emosi dan masalah mental. Namun masih adakah cinta di hati Nadira? Sanggupkah dia sabar dan terus menerima Idham sebagai lelaki yang istimewa di hatinya? Saksikan babak menarik drama ini hanya di TV1.