Pengarah Festival AIFFA 2023, Livan Tajang berkata, kekuatan utama AIFFA terletak kepada persamaan nilai budaya yang dikongsi kemudian dijadikan nadi penting menyatukan penggiat filem dalam rantau ini.
“Kami tak mahu AIFFA menjadi seperti festival lain termasuk di Cannes, Busan atau lain-lain. Jenama AIFFA sendiri ada keunikan sendiri dalam menyorot nilai kemasyarakatan di Asia Tenggara,” katanya pada sidang media AIFFA 2023, di Panggung Percubaan, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), hari ini.
Berlangsung pada 2 hingga 4 Ogos di Kuching, Sarawak, AIFFA terus mendapat kepercayaan penggiat filem rantau ini walaupun kali terakhir diadakan pada 2019.
“Sebanyak 121 filem Asean akan dipertandingkan untuk 12 kategori pada malam gala nanti. Sebanyak 31 filem adalah dari Malaysia. Sebelum itu banyak program akan diadakan dan kebanyakan sama dengan tahun-tahun sebelumnya.
“Banyak kejutan lain juga selain semestinya malam gala paling dinantikan. Kami bersyukur ramai masih bertanya dan mahu hadir ke festival ini,” katanya.
Menurut Livan, AIFFA akan terus menyajikan pengisian yang padat serta memperkenal program baharu bagi edisi kali ini.
“Tahun ini ada sesuatu yang baharu iaitu kami adakan pertandingan filem antara universiti Asean. Sebanyak 50 filem dipilih dan akan diumumkan pada 2 Ogos.
“Selain itu, kami membawa panel pakar dari luar negara untuk terbabit bual bicara mengenai perniagaan filem, penulisan skrip, wanita dalam industri kreatif, dan lain-lain,” katanya.
Paling dinantikan pastinya teka-teki siapa selebriti terkenal dunia yang bakal bertandang pada tahun ini.
Sebelum ini, Steven Seagal, Jackie Chan, Donnie Yen, Tan Sri Michelle Yeoh dan Henry Golding pernah hadir memeriahkan festival itu.
“Setakat ini kami belum boleh umumkan dan hanya akan diberitahu pada 20 Julai nanti. Ini kerana proses mendapatkan selebriti itu masih berjalan dan hanya akan diumum selepas semuanya sah,” katanya.