in

Cameron Highlands Resort: Percutian Mewah di Pergunungan

Cameron Highlands Resort: Percutian Mewah di Pergunungan
oleh Shah Shamshiri

Malaysia sememangnya terkenal dengan pelbagai tempat percutian. Ajnas pilihan tersedia buat para pelancong yang berkunjung ke negara ini. Mereka yang datang bebas memilih percutian di pantai, kota-kota kecil, perkampungan dan macam-macam lagi. Sungguhpun negara kita sering didatangi kerana pantai-pantai yang indah, jangan lupa bahawa kita juga mempunyai kawasan pergunungan yang tidak kurang hebatnya dengan negara-negara lain. Apatah lagi buat mereka yang teringin menikmati suasana udara yang lebih sejuk dan nyaman serta jauh dari hingar-bingar kota raya.

Deluxe Room1

Atas dasar itu, Cameron Highlands Resort yang membawa kata-kata “Trails, Tales and Traditions” merupakan pilihan yang paling tepat buat mereka yang ingin mengalami percutian mewah di pergunungan. Terletak di pergunungan Cameron di Pahang, Resort ini sememangnya berada di kelasnya yang tersendiri. Dengan kedudukannya di hadapan sebuah padang golf, ia memberikan ketenangan kepada semua tetamu yang menginap di situ.

Menampilkan konsep Inggeris klasik, Cameron Highlands Resort menampilkan 56 bilik mewah yang masih mengekalkan seni reka dalaman persis era kegemilangan zaman pendudukan Inggeris di Tanah Melayu. Dengan sentuhan eksklusif perabot buatan kayu termahal serta bilik mandi berlantai marmar, ia benar-benar menenangkan setiap jiwa yang melangkah masuk ke situ.

Biasanya, para pengunjung yang mendaftar masuk selepas jam tiga petang boleh mencuba hidangan minum petang (atau high-tea) di Jim Thompson Tea Room yang menampilkan menu tradisi ala Inggeris. Ini termasuklah sandwic, aneka pilihan teh dan kek, buah-buahan segar (khasnya strawberi Cameron Highlands), serta hidangan klasik Inggeris berupa scone yang segar dibakar dari ketuhar. Sesudah itu, pengunjung diberi pilihan menikmati sesi urut tradisional di Spa Village mereka yang turut menyediakan mandi khas dengan daun teh bagi memanjakan diri.

Makan malam dan sarapan juga menjadi lebih bererti kerana ruang makan di Resort ini sangat eksklusif dan menenangkan. Bukan sahaja menyajikan pilihan menu makanan yang enak dan berkualiti tinggi, kunjungan ke sini juga bakal diserikan lagi sekiranya anda datang untuk menyambut hari jadi atau meraikan bulan madu dan perayaan-perayaan tertentu. Ini kerana mereka mempunyai satu tradisi khas di mana pengunjung diberi peluang untuk menyalakan api di tempat api yang tersedia.

Perjalanan ke bilik juga menenangkan kerana bilik-bilik hotel ini hanya berada di dua tingkat utama dan sepanjang perjalanan menuju bilik, kehijauan alam semula jadi berada benar-benar di luar bilik mewah yang tersedia. Ada juga ruang khas di beranda sekiranya ingin mengadakan majlis tertutup sendiri. Jika ingin ruang yang lebih besar untuk membaca, ada ruang bacaan khas di sebelah lobi utama yang mirip ruang bacaan di filem-filem barat lama.

Kediaman agam ini juga mempunyai restoran Jepunnya sendiri iaitu Gonbei serta dewan besar untuk penganjuran majlis dan seumpamanya. Tidak lupa juga bilik-bilik mesyuarat ada tersedia bagi tujuan seminar dan macam-macam lagi.

Turut tersedia secara percuma bagi setiap pengunjung dalam pakej penginapan di sini adalah lawatan istimewa yang diberi nama Jejak Jim Thompson (Jim Thompson’s Trail) yang merupakan satu ekspedisi meniti hutan berdekatan bagi menerangkan kisah sejarah Jim Thompson, seorang perisik Amerika Syarikat yang lari ke Cameron Highlands pada tahun 60-an dan dikatakan tiba-tiba hilang pada 26 mac 1967.

Nama dan kisah beliau kini menjadi peninggalan misteri warga Cameron Highlands kerana sejarahnya yang dikaitkan dengan pelbagai skandal politik dan juga rahsia jenayah ketika itu. Ada yang mengatakan dia hilang tanpa jejak, dan ada yang mengatakan dia melarikan diri dari Malaysia kerana diburu perisik negara lain. Yang pasti, banglo lama Jim Thompson yang terletak tidak jauh dari Resort ini masih ada dan masih digunakan untuk majlis-majlis khas dan sebagainya.

Andai anda punya masa dan peluang atau ingin mencari kelainan buat meraikan sesuatu dalam kehidupan anda (seperti bulan madu, hari jadi, ulangtahun perkahwinan dan seumpamanya), cubalah bermalam di Cameron Highlands Resort ini. Anda pasti akan kembali, kerana kemewahan ini mampu anda kecapi setiap kali anda ke sini!

Exterior View 1(a)

The Dining Room Interior

Gonbei Interior 2

Mr Shah Shamshiri

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Noh Hujan & Mizz Nina Selamat Nikah

Program Apa Kata Wanita Kupas Isu Perkahwinan