Kemenangan yang dicapai oleh Majalah 3 adalah menerusi dokumentari khas Majalah 3 Batang Kali melalui wartawan Christine Lee Mei Chin dan jurukamera Mohd Zahril Abdullah. Sementara itu kategori Berita Video Terbaik adalah menerusi laporan ‘MY-ONLINE Pasport Sistem Mundur?’ oleh Buletin Utama melalui wartawannya, Juliana Sharin dan jurukamera, Mohd Jufri Judin. Masing-masing telah membawa pulang RM10,000, sijil serta trofi.
Pemenang gangsa bagi Kategori Berita Video Terbaik turut dirangkul oleh TV3 melalui wartawannya, Mas Zharif Zhafri Abdul Azid dan jurukamera, Syazwan Kamal Ahmad Shazli menerusi laporan ‘Prosedur Pemeriksaan Kes Kematian Disyaki Akibat Vaksin & Hentikan Dakyah Tidak Benar’. Pada masa sama, buat pertama kalinya Fedtri Yahya turut memenangi gangsa bagi kategori Laporan Radio Terbaik menerusi laporan ‘Salam Ya Rasul : Seni Kehidupan Rasulullah SAW’, mewakili Buletin FM. Masing-masing membawa pulang RM1,000, sijil serta trofi.
Menurut Christine Lee, Penerbit Eksekutif Majalah 3, “Pada 26 Disember 2022, Majalah 3 telah membuat satu dokumentari khas berkenaan cerun runtuh di Batang Kali yang mengorbankan banyak nyawa. Dokumentari ini telah memenangi Hadiah Kewartawanan MPI-Petronas 2022, kategori Dokumentari Video Terbaik. Hampir setiap tahun Majalah 3 memenangi kategori ini, ia penghargaan buat tim Majalah 3 yang sedaya upaya menyampaikan bingkisan terbaik buat penonton, sehingga adakala tim Majalah 3 perlu berdepan dengan pelbagai risiko. Dengan adanya anugerah sebegini akan menaikkan lagi semangat tim Majalah 3 untuk terus menyampaikan liputan terbaik.”
Bagi Juliana Sharin yang merupakan wartawan bagi Jabatan Berita dan Ehwal Semasa TV3, kemenangan ini adalah kemenangan satu pasukan. “Alhamdulillah syukur atas rezeki kemenangan ini. Ini hasil kerja bersama banyak pihak. Ya benar nampak hanya saya yang melaporkan tetapi disebaliknya, dalam penghasilannya ada ramai individu menyumbang. Terima kasih syarikat MPB terutama pihak pengurusan bahagian Berita dan Ehwal Semasa yang memberi ruang dan peluang, tidak boleh dilupakan tulang belakang, penyokong dan pengkritik hebat saya, yang telah banyak berkorban demi kerjaya wartawan saya ini tak lain tak bukan, suami dan anak-anak serta keluarga tercinta. Merekalah trofi saya yang tidak ternilai.”
Ini juga merupakan kemenangan pertama buat Fedtri Yahya bagi kategori Laporan Radio Terbaik untuk Buletin FM. “Segmen Salam Ya Rasul yang dikendalikan oleh Fedtri Yahya ketika bersiaran di bulan Ramadan tahun lalu, menampilkan kisah-kisah nabi sebagai pengisian jiwa pendengar. Pengalaman mengendalikan Jejak Rasul memudahkan Fedtri untuk meluahkan kepentingan untuk mencintai Rasul. Ia diterjemah melalui perkongsian dalam Seni Kehidupan Rasulullah SAW. Jika tahun lalu memenangi kategori Pengacara TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa melalui Jejak Rasul, tahun ini bagaikan berkesinambungan dengan kejayaan dalam tema yang serupa- Kisah Rasulullah SAW. Ini adalah anugerah pertama dalam dunia radio.”
Kemenangan ini secara tidak langsung dapat menyuntik semangat kepada para wartawan terutamanya yang baru berkecimpung dalam bidang kewartawanan.