in , ,

Dain Said Terkejut Menang Trofi Pengarah Terbaik di Greece

Pengarah Dain Said terkejut atas kejayaan meraih trofi Pengarah Terbaik melalui filem garapannya, Harum Malam pada Horrorant Film Festival Fright Nights Ke-8 di Greece, baru-baru ini.

Dain mendapat tahu kemenangannya melalui e-mel dilayangkan penganjur festival berkenaan kepadanya.

“Saya hanya dimaklumkan mengenai kemenangan itu melalui e-mel yang dihantar penganjur. Malah, penerbit saya terkejut dengan berita itu.
“Saya tidak tahu bila filem Harum Malam dicalonkan. Mungkin perkara ini diuruskan ejen jualan kami di Perancis.
“Selepas dimaklumkan, saya tidak umumkan dalam media sosial. Bagi saya, ini bukanlah pencapaian besar.
“Lagipun, festival itu berskala kecil dan berdasarkan genere seram. Kebetulan, filem Tiger Stripes menerima pengiktirafan Festival Filem Cannes. Jadi, saya tidak mahu ganggu momen itu.
“Namun, saya gembira dan terharu atas pengiktirafan diberi terhadap Harum Malam,”

– DAIN SAID

Ditanya apakah kemenangan itu memberi petanda awal filem Harum Malam bakal meraih kejayaan pada Festival Filem Malaysia (FFM) akan datang, Dain menyerahkan perkara itu kepada juri.

“Saya tidak tahu hendak komen apa. Terpulang kepada komuniti juri dan cita rasa mereka.

“Fokus saya lebih kepada projek filem seterusnya. Saya ada skrip yang sudah diusahakan sejak beberapa tahun lalu.

“Genrenya adalah aksi dan berkisar kepada dunia gangster serta ada kaitan dengan sejarah. Saya sudah berbincang dengan Astro Shaw… Tunggu sahaja perkembangannya,” katanya.

Sementara itu, Dain memberitahu filem Harum Malam sudah ditayangkan di Disney+ Hotstar sejak Jumaat lalu.

“Mereka yang sebelum ini keliru dengan perjalanan cerita ini kerana terlalu banyak tapisan, bolehlah menontonnya Disney+ Hotstar kerana tiada potongan dibuat,” katanya.

Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) turut mengucapkan tahniah kepada Dain atas pengiktirafan yang diterima di Greece melalui perkongsian Instagram (IG).

Harum Malam berkisar pergelutan hidup remaja dan pelatih perubatan tradisional, Iqbal yang mampu melihat makhluk ghaib pada mata kasar manusia.

Keupayaan luar biasanya itu menyebabkan Iqbal sering diganggu makhluk halus serta berdepan ancaman alam ghaib. Iqbal juga sukar membezakan antara realiti dan ghaib.

Pada suatu hari, berlaku insiden menyebabkan rakan dan keluarganya terdedah dengan makhluk ghaib berbahaya.

Tanpa pilihan, Iqbal terpaksa menggunakan kebolehan istimewa itu untuk melawan makhluk terbabit.

Filem Harum Malam menampilkan lakonan hebat Bront Palarae, Remy Ishak, Nadiya Nissa, Nabila Huda, Amanda Ang, Joey Daud dan Faizal Hussein. Turut membintangi filem terbabit adalah pendatang baharu Aedan, Arnie Shasha dan Angelica Petra.

Harum Malam yang menjengah pawagam Februari lalu diterbitkan Apparat dengan kerjasama Skop Productions Sdn Bhd dan D’Ayu Pictures Sdn Bhd.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

POLIS EVO 3

Pecah Rekod Mat Kilau! Polis Evo 3 Raih RM16 Juta di Hari Ke 4 Tayangan

Aplikasi MAE Kini Dikemaskini Dengan Antaramuka Baharu