Pelbagai cara dapat dilakukan untuk memuliakan ibu tercinta. Selain berbakti dan melakukan semua permintaannya, kita juga dianjurkan untuk selalu menunjukkan rasa cinta dan terima kasih atas semua pengorbanannya.
Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga berbesar hati menyatakan salam penghargaan kepada golongan ibu yang mulia ini dengan menyiarkan telemovie khas diberi tajuk “Mak-Mak Kesayangan”, pada 13 Mei 2023, Sabtu, pukul 9.00 malam mengisi slot popular Panggung RTM.
Sama-sama ikuti perjalanan kisah berlaku dalam telefilem “Mak-Mak Kesayangan” yang menggandingkan pelakon utama Fikhree Bakar, Nadia Brian dan Dalimawati terbitan produksi Poketplay Sdn Bhd.
Merupakan karya arahan dan skrip oleh Shahnas Putra, ia bermula dengan memperkenalkan babak pelakon utama Salina merupakan seorang sukarelawan Pusat Jagaan Nurul Jannah iaitu pusat jagaan warga emas perempuan.
IroninyaSalina menjadi sukarelawan kerana menyesal dengan perbuatannya mengabaikan ibunya dulu. Salina begitu dikenali dalam kalangan warga di pusat itu dengan sikap peramah dan kasih sayang yang ditunjukkannya.
Apatahlagi bila Salina santai dan terbiasa memanggil mereka dengan panggilan Mak, Ummi dan Bonda. Sikapnya itu semakin membuatkan hubungan Salina dan mereka bertambah mesra dan erat.
Sementara itu, Faris turut menghantar ibunya di situ. Ibu Faris, Mak Minah mempunyai penyakit Alzheimer. Mak Minah hilang ketika berada di pusat jagaan kerana mencari Faris. Faris telah meletakkan ibunya terus di pusat jagaan itu, sehingga ibunya meninggal dunia.
Takdir menentukan Salina akhirnya berkahwin dengan Faris. Setelah berkahwin, Faris tidak membenarkan Salina ke pusat itu. Mak-mak semua rindu dengan Salina. Namun adakah peluang untuk Salina kembali semula memeriahkan penghuni pusat itu atau pun sebaliknya? Ikuti kesudahannya di TV1.