PENSIL – Bukan untuk mengaut keuntungan
Menurut penerbit filem ini, Surenthar yang juga selaku pembantu pengarah, berasa bangga atas produksi pertama beliau, yang tidak lebih mementingkan untuk mengaut keuntungan, malah lebih mementingkan kualiti, nilai kemasyarakatan dan realiti dalam sebuah filem. Beliau menyatakan rasa puas hati dengan semua pihak yang terlibat dalam produksi ini, M. Subash (pengarah, penulis skrip, penulis lirik lagu tema & pelakon), Indera Che Muda (Pengarah Fotografi) dan pelakon-pelakon lain seperti, Rominah Sidek, Khatijah Tan, Maimon Mutalib, dan Jalil Hamid. Tidak lupa kepada Penduduk kampung Jaya Setia Kuala Selangor (Batang Berjuntai) yang banyak memberikan kerjasama sewaktu pengambaran dijalankan.
Tujuan utama filem ini diterbitkan, adalah untuk membuat suatu perubahan dalam pembikinan Filem Di Malaysia. Menurut beliau, setelah membuat tinjauan selama lebih kurang 2 tahun, beliau mendapati bahawa terdapat banyak kelemahan pada jalan cerita di Filem Malaysia. Menurut beliau lagi, sebelum dan semasa proses pembikinan filem ini (PENSIL), terdapat segelintir pihak yang tidak mengalakkan beliau untuk menerbitkan filem sebegini. Namun dengan tekad dan azam untuk mencuba, beliau bertekad untuk menayangkan filem ini di Layar Perak. Beliau berharap ramai penonton yang akan mempelajari sesuatu yang baru tentang erti hidup dan bersyukur atas pemberian tuhan kepada diri masing-masing.
Filem cereka terbitan GENIUS PARADE SDN. BHD. (GPSB) yang mengambil masa 6 hari pengambaran. Filem ini hanya menelan belanja RM 450 000. Filem ini berdurasi 110 minit. Filem yang bergenre drama kemasyarakatan ini akan menemui penonton pada 12 Jun 2008 ini di pawagam berdekatan.
Menerapkan Agama ISLAM
Filem yang menyayat hati PENSIL, yang menampilkan pelakon seperti M. Subash (Badrul), Rominah Sidek (Mak Nek), Maimon Mutalib (Mon/Ibu Badrul), Khatijah Tan (Zaiton) dan Jalil Hamid (Junid), mengisahkan kehidupan seorang budak cacat yang bernama Badrul, akibat diserang demam panas ketika berumur 8 bulan. Walaupun cacat, Badrul taat dan percaya kepada tuhan dan ajaran Islam. Mak Nek yang dilakonkan oleh pelakon veteran Rominah sidek, selalu menjadi tempat mengadu oleh Badrul apabila didalam kesedihan. Mak Nek yang dianggap seperti neneknya (Badrul), sering memberi tunjuk ajar yang berasaskan ajaran agama, apabila Badrul ditimpa masalah.
‘Kepercayaan kepada Tuhan’ menjadi salah sebuah pengajaran penting dalam filem ini (PENSIL). Dalam filem ini, Rominah Sidek atau Mak Nek, yang begitu menyayangi Badrul, sering mengajar Badrul tentang hal-hal agama dan mengajar Badrul menulis jawi.
Menurut pengarahnya M. Subash (yang juga merupakan Pelakon utama), filem PENSIL™ ialah suatu luahan hati beliau dalam mengekspresikan cinta dan hormat beliau terhadap Islam. Beliau juga terpaksa menjalankan ‘servey’ teliti semasa penghasilan skrip PENSIL. Beliau juga berjumpa dan bertanyakan pendapat Datuk Mohd Husein di Lembaga Penapisan Filem (LPF) di Putrajaya. M. Subash juga menyatakan bahawa melakonkan watak Badrul dalam filem PENSIL tidak menjadi hal yang rumit kerana PENSIL pernah dihasilkan dalam bentuk telefilem Tamil 2 tahun yang lalu. Namun babak yang menyentuh aspek agama, perlu dititik beratkan dengan teliti, kerana ia mungkin akan menimbulkan isu yang sensitif.