PANGKALAN MAUT PULAU PINANG
Imbas kembali tragedi 31 Julai 1988 yang menimpa pengkalan feri Sultan Abdul Halim dalam bentuk dokumentari
Suasana tenang dengan tiupan lembut bayu laut sesekali mengutuskan kedamaian di kawasan sekitar pengkalan feri Sultan Abdul Halim, kebanyakan pengunjung terutama generasi muda mungkin leka memerhatikan panorama indah sekitar kawasan berkenaan sementara menantikan feri merapati jeti.
Mereka mungkin tidak menyedari apa-apa, tidak mengetahui yang sekitar 22 tahun lalu, terminal feri itu menjadi saksi tragedi hitam yang mengorbankan 32 nyawa serta mencederakan kira-kira 1,700 mangsa lain. Bagi memperingati tragedi yang telah mengorbankan banyak nyawa, Astro ingin berkongsi bagaimana pengkalan feri Sultan Abdul Halim yang telah dibina pada tahun 1938 itu runtuh dalam bentuk dokumentari bejudul Pangkalan Maut Pulau Pinang yang bakal menemui penonton pada 19 Jun 2011, jam 5.00 petang menerusi Astro Prima (saluran 105).
Pelbagai dokumentari yang bersejarah telah disiarkan di Astro Prima seperti Rosli Dhoby, Si Tanggang, Mahsuri, Mokhtar Dahari, Tragedi Pos Dipang, Laskar Senoi, Puteri Gunung Ledang, Thomas Cup, ‘Botak Chin’, Sybil Kathigesu dan Serangan Tentera Merah. Kini, usaha ini diteruskan lagi dengan penayangan dokumentari berjudul Pengkalan Maut Pulau Pinang. Dokumentari ini bakal menjawab segala persoalan yang timbul di pemikiran penonton tentang tragedi yang telah menimpa pengkalan feri Sultan Abdul Halim.
Menurut En. Nizam Sani, Pengurus Saluran Astro Prima berkata, ” Sebagai salah satu medium yang berperanan menyebarkan informasi kepada masyarakat, Astro Prima dengan berbesar hati membawa satu lagi dokumentari untuk disaji kepada para penonton yang bertajuk Pangkalan Maut Pulau Pinang. Menarik tentang dokumentari ini apabila pasukan produksi menggunakan animasi 3-dimensi dan kesan CGI untuk menunjukkan keruntuhan yang telah berlaku di pengkalan feri tersebut.”
Bukan itu sahaja, pihak produksi juga akan memuatkan sesi temuramah bersama saksi-saksi yang berada di tempat kejadian. Ini dapat memberikan gambaran kepada para penonton apabila saksi-saksi berkongsi tentang pengalaman yang telah dilalui oleh mereka. Pihak kami yakin bahawa para penonton dapat membayangkan suasana ketika keruntuhan itu berlaku dan sekaligus boleh dijadikan bahan rujukan apabila melibatkan peristiwa bersejarah”
Dokumentari ini akan menerangkan semula punca keruntuhan pengkalan feri Sultan Abdul Halim. Terdapat dua perayaan serentak melibatkan kaum Cina iaitu Pesta Dewi Kwan Yin di Georgetown dan sambutan ulang tahun Gereja St Anne di Bukit Mertajam, Pulau Pinang yang mencetus kepada kesesakan teruk melibatkan 10,000 orang. Perarakan kereta berhias diadakan di Padang Kota Lama dan di Padang Kota Baru serta melalui jalan-jalan utama di bandar Georgetown. Patung-patung puteri dewi ini diarak di sepanjang jalan berlampu warna-warni di tengah-tengah bandar raya pada hari Ahad malam 31 Julai 1988. Penganut agama Buddha dari kalangan kaum Cina dipanggil untuk hadir kerana ia diadakan 60 tahun sekali saja mengikut kalendar China dan perayaan ini dipercayai membawa tuah.
Pengkalan yang berusia 30 tahun itu runtuh akibat jumlah muatan yang berlebihan. Keadaan menjadi huru hara apbila orang ramai cuba menyelamatkan diri masing-masing. Akhirnya, 32 mangsa telah terkorban manakala 1543 tercedera semasa tragedi tersebut. Akibat dari tragedi tersebut, sebuah Suruhanjaya Diraja telah ditubuhkan bagi menyiasat punca sebenar mengapa pengkalan tersebut boleh runtuh. Diketuai oleh Tan Sri Chang Min Tat, Suruhanjaya Diraja mula menemuramah beberapa pihak termasuk dari Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang.
Dalam siasatan mereka, Suruhanjaya Diraja mendapati sistem yang digunapakai oleh Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang tidak berkesan untuk mengawal jumlah orang yang ramai sehingga menyebabkan pengunjung berpusu-pusu masuk ke dalam pengkalan. Malangnya, ia berakhir dengan tragedi. Langkah seterus yang diambil Suruhanjaya Diraja adalah bekerjasama dengan Jabatan Pengangkutan Jalan dan memberi beberapa cadangan untuk mengelak tragedi yang sama dari berulang.
Jangan lupa untuk menyaksikan dokumentari ’Pangkalan Maut Pulau Pinang’ pada hari Ahad, 19 Jun 2011, jam 5.00 petang hanya di Astro Prima (saluran 105).