Alvin cuma menjelaskan dia perlu mengambil ubat setiap hari, sekali gus menghalangnya untuk berpuasa pada Ramadan kali ini.
Alvin, 32, memberitahu dia agak keberatan untuk berkongsi dengan peminat mengenai situasi yang dialami.
“Peminat selalu tanya saya puasa ke tak. Tapi saya minta maaf kerana tak dapat nak kongsikan perkara sebenar,” katanya ketika ditemui di majlis berbuka puasa bersama Viu di sebuah hotel di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Pemilik nama penuh Alvin Chong Chean Wah itu menjelaskan dia gemar berpuasa bukan kerana mengikut-ikut orang.
Sebaliknya, pelakon Dia Semanis Honey itu berkata dia berpuasa kerana amalan itu baik untuk kesihatan.
“Banyak manfaat boleh diperolehi kalau kita berpuasa. Banyak juga kajian yang membuktikan berpuasa itu adalah dapat menyihatkan tubuh badan,” katanya lagi.