Dalam beberapa minggu lagi, umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Dan seperti biasa lagu-lagu Raya akan mula berkumandang di corong-corong radio, pusat membeli-belah dan juga laman-laman media sosial.
Selain lagu-lagu Raya malar segar dan klasik yang kerap memeriahkan suasana, semakin banyak lagu Raya baru nyanyian artis masa kini yang memenuhi permintaan pencinta muzik.
Kumpulan kugiran tempatan popular, Insomniacks juga nampaknya tidak ketinggalan mengikuti fenomena ini.
Mereka mencipta sejarah tersendiri di tahun 2023 ini dengan memperkenalkan lagu raya nyanyian mereka sendiri yang berjudul ‘Lagu Raya’.
Lagu yang dicipta oleh penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma ini merupakan sebuah lagu yang sangat mudah diingati dan mempunyai harapan untuk menjadi sebuah lagu tular di era ini.
“Secara peribadi, saya rasa ini adalah lagu raya yang paling senang untuk dihafal dan dipelajari. Malah, sekiranya ada pelajar yang perlu membuat persembahan sempena Hari Raya, lagu ini sangat sesuai untuk didendangkan. Ia begitu mudah namun sangat menghiburkan,” jelas Iqie selaku jurucakap kumpulan Insomniacks.
Selain itu, ini adalah kali pertama kumpulan Insomniacks tidak terlibat dalam penulisan karya mereka sendiri.
“Oleh kerana lagu ini dicipta sepenuhnya oleh Yuka, kami hanya perlu memasukkan vokal sahaja. Proses rakaman berjalan dengan sangat lancar dan kami hanya perlukan sekitar 20 hingga 30 minit sahaja untuk menyelesaikannya. Kami senang bekerja dengan Yuka dan ingin mengucapkan terima kasih kerana memberikan karya ini,” tambah Iqie lagi.
Semestinya, lagu ini turut didatangkan dengan sebuah video muzik.
“Video muzik kami berkonsepkan sekumpulan kawan yang hendak pulang beraya di kampung. Pengalaman merakam video ini sangat menyeronokkan namun memenatkan juga kerana kami terpaksa berjaga dari jam enam pagi hingga enam petang. Bagaimana pun, hasilnya sangat memuaskan,” jelas Iskandar.
Iqie juga memberitahu bahawa dengan bantuan pasukan penerbitan yang sangat santai, mereka berasa selesa sepanjang penggambaran dan berharap dapat bekerjasama lagi dengan mereka.
“Hanya ada satu cabaran untuk menyiapkan klip video ini, iaitu cuaca Malaysia yang sangat panas. Apatah lagi kami terpaksa memakai baju Melayu semasa penggambaran. Jadi memang berasa panas semasa beraksi di depan kamera.
“Sempena dengan Aidilfitri yang akan datang, kami Insomniacks, ingin mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua peminat kami dan semoga anda terhibur dengan Lagu Raya kami ini,” bingkas Iskandar menutup bicara.
Lagu Raya boleh didengari di semua digital platform seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music mulai 7 April jam 12 tengah malam, manakala music videonya pula boleh ditonton di laman YouTube Insomniacks.