Peguam syarie mewakili Diana, Datuk Akberdin Abdul Kader berkata, sekiranya ada sebarang penyelesaian, mereka akan memaklumkan kepada mahkamah pada 30 Mei depan.
“Pada masa sama, kedua-dua pihak perlu memfailkan afidavit (keterangan bertulis), tetapi jika sudah ada penyelesaian, kami akan terus rekodkan,” katanya.
Tambah Akberdin, dalam masa sama, mahkamah turut melanjutkan perintah hadanah sementara yang diberikan kepada Diana sehingga 30 Mei depan.
Sementara itu, peguam syarie mewakili Farid, Fakhrul Azman Abu Hassan turut mengesahkan perkara sama.
“Sebelum sebutan kes pada 30 Mei depan, terdapat satu prosiding Sulh (penyelesaian pertikaian) pada 11 April yang mana kedua-dua pihak akan berbincang berhubung kes hadanah ini,” katanya.
Prosiding hari ini adalah sebutan kali pertama hadanah di hadapan Hakim Syarie Zulfikri Yasoa.
Pada 24 Mac lalu, Diana memperoleh hak penjagaan sementara dua anaknya oleh Mahkamah Tinggi Syariah, di sini.
Keputusan berkenaan dibuat selepas anak guamnya membuat permohonan hadanah sehari sebelum itu.
Sebelum ini, Farid dalam prosiding terdahulu, mendakwa dirinya tidak dapat memasuki rumah yang diduduki bersama isterinya, sejak awal bulan lalu.
Pada tempoh sama, difahamkan Farid juga tidak dapat bertemu dengan anak-anaknya.
Terdahulu, Mahkamah Rendah Syariah Petaling menetapkan 30 Mei depan bagi Farid dan Diana memaklumkan kepada mahkamah laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes cerai pasangan itu.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, melantik pengurus bagi mewakili dirinya, manakala Farid atau nama sebenarnya Farid Kamil Zahari, 42, pula melantik kakaknya.
Sebelum ini, Diana mendakwa tiada persefahaman, berlaku shiqaq (perbalahan berpanjangan), selain tidak dapat hidup bersama sebagai suami isteri antara alasan untuk bercerai.
Permohonan cerai difailkan Diana pada 10 Mac lalu mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Sumber: Berita Harian