Menyedari dirinya bukanlah seorang figura awam yang berpengaruh, Aida enggan memanjangkan perkara ini dan mahu ia diselesaikan di mahkamah.
“Saya rasa saya tak nak komen apa-apa dah. Saya sedar saya orang biasa, saya tak ada pengaruh. Bagi saya, sekarang ini tak perlu untuk saya dedahkan perbualan WhatsApp atau sebagainya, tak perlu untuk saya panjangkan lagi perkara ini.
“Saya tak mahu melukakan mana-mana pihak lagi. Biarlah perkara ini diselesaikan oleh mahkamah, keputusan dihakimi oleh mahkamah. Saya hanya nak selesaikan dan tamatkan sahaja,” katanya.
Dalam pada itu, ketika ditanya perasaannya menghadapi kes turun naik mahkamah sejak beberapa tahun ini, Aida mahu setiap wanita memahami undang-undang yang sedia ada.
“Tiada wanita yang mahu melalui perkara ini, jadi saya sendiri mahu menyelesaikan secepat mungkin dan berharap agar semuanya baik-baik sahaja.
“Kepada semua wanita di luar sana, tak kisahlah jika anda wanita bekerjaya, suri rumah, ibu tunggal, masih bergelar isteri atau tidak.
“Saya mahu setiap wanita faham undang-undang, faham hak anda sebagai wanita, sebagai ibu. Golongan wanita patut tahu sistem kehakiman kita. Hakim akan tahu hakikat sebenar, peguam akan tahu hakikat sebenar, orang sekeliling pun akan tahu juga nanti.
“Jadi, selagi boleh kita pertahankan, kita harus pertahankan hak kita. Ibu mana yang mahu berjauhan dengan anak. Segala keputusan saya buat adalah demi kepentingan dan kebajikan anak,” katanya lagi.
Terdahulu, Sam menerusi kemas kini di Instagram menegaskan dia tidak pernah mengabaikan tanggungjawab dan nafkah anak walaupun sebulan.
Pada 28 Mac lalu, Sam dan Aida hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, bagi sebutan kes pindaan nafkah anak mereka.
Aida yang bertugas sebagai penerbit tidak bersetuju dengan permohonan dibuat vokalis Bunkface itu, selain memohon bukti andai tidak mempunyai pendapatan atau tawaran persembahan seperti dikatakan.
Sam mendirikan rumah tangga dengan Aida 25 April 2015, namun bercerai empat tahun kemudian.