Menggunakan pendekatan skrip yang lebih ringkas dan penyampaian lebih pantas dan dinamik, durasi Berita Perdana wajah baharu dipendekkan daripada 1 jam kepada 30 minit.
Selain perkembangan semasa peristiwa utama dalam negara dan perkembangan ekonomi domestik, pengisian wajah baharu Berita Perdana dimantapkan dengan 2 segmen baharu.
Segmen H-KLIK yang memaparkan perkembangan seni kreatif dan hiburan tanah air ke udara setiap hari, dengan edisi istimewa setiap Sabtu dan Ahad yang mengetengahkan selebriti tanah air sebagai penyampai.
Segmen STADIUM RTM pula sebagai platform perkembangan sukan tempatan dan antarabangsa akan turut menampilkan edisi istimewa setiap Sabtu dan Ahad.
Bersempena edisi Ulangtahun RTM Ke-77 pada 1 dan 2 April lalu, pelakon dan pengacara Zoey Rahman tampil sebagai penyampai segmen H-KLIK.
Manakala Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh membuat penampilan eksklusif sebagai penyampai sulung segmen STADIUM RTM.
Penyampai utama Berita Perdana terdiri daripada Fathil Hidayat Gazali, Farhatul Aishati, Ivan Toh, Hazel Desmond, Shahril Sarapudin, Margaret Gambang, Andy Reza Rohadian dan Faris Izzat Shaharudin.
Persembahan Juru Bahasa Isyarat yang dipelopori sejak 1995 turut kekal menjadi kekuatan Berita Perdana.
Sementara itu berpegang pada maksud ‘KANTA’ iaitu medium memulihkan pandangan yang menjadikan penglihatan lebih jelas, tim Berita TV RTM memperkenal slot baharu setiap hari sebelum BERITA PERDANA ke udara.
Bermula 7.44 hingga 7.59 malam, KANTA 744 ialah buletin mini yang menjadi platform padat intipati berita kemanusiaan, tragedi, bencana, jenayah dan apa sahaja rangkuman peristiwa menarik dalam dan luar negara yang ingin ditonton ramai.
Ditunjangi editor berpengalaman, penyampaian barisan personalitinya yang segar dan bertenaga pasti menjanjikan pengalaman penontonan dengan impak berbeza.
KANTA 744 menampilkan Syairul Islam Basmullah, Faiz Syahirah Nizam, Azamuddin Hussain & Nurul Hidayah Nawai selaku penyampai.