Berkongsi detik manis menerusi Instagram (IG) Story, bapa kepada dua cahaya mata anak itu gembira dapat bertemu Muhammad.
“Dia puasa hari ini. Bagus Muhammad,” kata Farid menerusi hantaran video dikongsikan menerusi IG Story.
Video berdurasi tidak sampai seminit itu menunjukkan Muhammad, 10, sedang menunaikan solat.
Tidak sekadar itu, Farid berkongsi hantarannya bersama Muhammad di sebuah ruangan lain di masjid sambil melakonkan semula babak dalam filem lakonannya, Anwar: The Untold Story.
Muhammad dilihat melakonkan semula babak dibawakan Farid seperti dalam filem yang bakal ditayangkan pada Mei depan.
Aktor berusia 42 tahun itu juga melontarkan dialog yang cukup sinonim dengan watak Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dibawakan menerusi filem itu.
“Jangan kita biarkan kezaliman dalam bentuk apa sekali pun. Jangan biarkan yang kaya bertambah kaya, yang miskin bertambah miskin.
“Muhammad, reformasi!” katanya sambil meminta Muhammad melaungkan perkataan reformasi.
Pada 28 Mac lalu, Farid mendakwa sudah 23 hari tidak dapat bertemu mahupun berhubung dengan dua anaknya ketika ditemui di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor.
Pada 20 Mac lalu, Diana yang juga aktres memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya itu di mahkamah sama.
Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Danny Beeson, 32, selaku plaintif memfailkan permohonan tersebut pada 10 Mac lalu menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Bagaimanapun, pada sebutan pertama permohonan cerai 28 Mac lalu, Farid enggan melafazkan cerai.
Sehubungan itu, Hakim Syarie, Shukran Yusof memerintahkan Farid dan Diana untuk menjalani proses Jawatankuasa Pendamai (JKP).
Pasangan mendirikan rumah sejak 11 tahun lalu itu dikurniakan dua cahaya mata, Muhammad, 10, dan Nur Aurora, 8.