Memetik Utusan Online, menerusi satu temu bual sebuah rancangan televisyen popular, Zarina Zainuddin berkata tuduhan itu tidak berasas dan perlu dihentikan supaya tidak menjadi fitnah.
“Operasi itu sebenarnya melibatkan bedah hidung. Kalau tidak, doktor terpaksa toreh muka saya sana sini. Doktor kata memang resdung di bahagian tulang pipi, atas hidung. Kalau tak ada solekan, orang dapat tengok lebam di bahagian bawah mata saya.
“Bila buka (bedah) hidung, doktor sedut punca resdung. Justeru, saya kena terima hidung saya jadi begini. Saya minta doktor perbetulkan, supaya tak jadi buruk sangat. Saya tidak merubah hidung saya. Kalau ada yang tak faham, sampai matipun mereka tak akan faham,” katanya.
Sebelum ini, wajah Zarina yang dikatakan sedikit berbeza susulan perubahan bentuk hidungnya menjadi bualan di media sosial.
Menurut Zarina lagi, berikutan cerita tidak benar itu ramai netizen yang marah terhadapnya. Namun, dia memohon maaf buat mereka yang tidak memahami. Tambahnya, disebabkan berita itu juga jumlah pengikut akaun Instagramnya juga turut berkurang.
“Disebabkan perkara itu, pengikut IG saya berkurang, dari 2.3 juta kepada 2.2 juta. Saya rasa orang betul-betul marah kepada saya. Oleh itu, saya nak mohon maaf kepada yang marah dan tidak memahami.
“Saya terima keadaan saya begini. Penyakit Tuhan bagi, jadi kita kena terima. Saya hanya mahu menjadi diri sendiri, bukan orang lain,” katanya.