Dalam keterujaan Budiey menanti filem Sepi dipertontonkan kepada media dan bloggers di Majlis Pra Tonton yang diadakan di Golden Screen Cinemas, One Utama semalam, ternampak kelibat perempuan manis nan berseri ini… Eja atau nama sebenarnya Siti Shariza.
Tampil dengan kemeja berwarna putih dengan jeans denim ketat. Dihiaskan dengan rantai mutiara dua lapis dan pinggang pula dililit dengan tali pinggang yang simple.
WATAK MARYA UJI KEMAMPUAN EJA?
Dalam filem Sepi, Eja memegang watak Marya yang bersuamikan seorang tauke penjual ikan (lakonan Riezman Khuzaimie) yang punya banyak hutang. Setelah melihat watak Marya yang digerakkan oleh Eja, sudah tentu Budiey mengharapkan sesuatu yang BOOM dan Eja seperti adanya memberi yang terbaik. Kekuatan pergerakan dan mainan dalaman untuk membawa Marya bukan satu perkara yang mudah. Ini kerana kalau diselongkar watak Marya memerlukan rasa dan sensitiviti seseorang pelakon yang bijak menggunakan bahasa badan selain menyampaikan dialog.
Kalau mahu diletakkan gelaran, Marya seharusnya digelar GADIS TAMAN atau PEREMPUAN PENJAGA TASIK dalam filem ini. Mengapa? Korang kena tengok sendiri lah.
Marya dipertemukan dengan Sufi lakonan Tony Eusoff yang menyalahkan dirinya ekoran tragedi yang mengorbankan nyawa orang tersayang. Kehadiran Marya dalam hidup Sufi sedikit sebanyak membenamkan tekanan rasa bersalah itu. Kisah kedua yang digarap Khabir Bhatia ini sedikit membosankan namun, apa yang perlu dilihat adalah sinematografi yang superb dalam kisah ini berlatarkan suasana hijau. Siapa kata hijau tidak dapat menggambarkan rasa cinta?
KISAH ADAM YANG MERUNTUN PERASAAN?
Namun, lakonan Afdlin Shauki untuk watak seorang chef masakan bernama Adam masih terasa impaknya oleh saya sehingga saat ini. Apatah lagi setelah menghayati bait-bait lagu Sepi nyanyian Yuni Shara yang menjadi antara lagu runut filem ini.
Slot ADAM adalah kisah pertama yang dipersembahkan oleh Khabir Bhatia ini sebenarnya begitu menyentuh perasaan Budiey. Apatah lagi kebolehan Vanidah Imran yang memegang watak Ilyana, seorang gadis berkerja sebagai perancang perkahwinan (wedding planner) tampil begitu sopan ala-ala Perempuan Melayu Terakhir. Macamana Adam tak terpikat, kan?
Masa dalam panggung tu, berkali-kali Budiey menahan air mata supaya tidak gugur, namun apa daya… kisah Adam ini begitu meruntun jiwa dan menyentuh hati Budiey. Budiey hanya menyelami perasaan lelaki bernama Adam yang begitu sepi walaupun dalam kemeriahan hidupnya. Kalau diselami betul-betul perasaan Adam tatkala mengetahui Ilyana yang dicintainya itu adalah hak orang lain sudah tentu penonton akan rasa… rupa-rupanya, memang betullah kata orang, tidak semua orang yang kita sayang, orang yang kita cinta itu… akan menjadi milik kita untuk selama-lamanya.
Tapi yang penting… Nasha Aziz dalam filem ini terlalu OVER! Haha! Walaupun!
Budiey kasi 3.5/5 bintang untuk filem ini.