Sinopsis Teater Bukan Dejavu

TEATER

Tajuk  : Bukan Dejavu

Tarikh  : 9 – 13 Julai 2008

Masa  : 8.30 Malam

Tempat : Auditorium DBP, Kuala Lumpur.

Pengarah : Siti Rohayah Atan

Penulis Skrip : Ismail Kassan

Penganjur : Dewan Bahasa dan Pustaka

Kerjasama : Badan Budaya DBP dan Persatuan Penulis Wanita Malaysia

Tiket  : RM 20, RM 30 & RM 50.

Sinopsis.

      Narti (Juhara Ayob – Nyonya, Tikar Mengkuang) sudah mampu membuka sebuah warung makan untuk teman-teman. Dia menjual pelbagai jenis sup dan yang paling mendapat permintaan adalah sup ekor yang mereka namakan Sup Ekor Setan. Salah seorang pelanggan tetap Narti adalah Sulaiman (Shaari Shafie – Ronggeng Rokiah), si posmen yang lurus bendul tetapi sangat jujur dan amanah.

      Cerita bermula dengan kegembiraan Nora (Datin Norish Karman – Sirah Junjungan) bila menerima sepucuk surat dari anaknya Norma Hamima (Arbaiah Ahmad Nazri) yang sedang belajar di New Zealand. Norma Hamima memberitahu ibunya bahawa dia akan tamat pengajian dan akan balik tidak lama lagi. Berita gembira itu juga sebenarnya bersalut dengan kerungsingan di hati Nora kerana dia bimbang dengan tanggapan anaknya itu bila mengetahui pekerjaan sebenar Nora.

      Sulaiman, si posmen itu pula kalut dengan masalah teman wanitanya, Jamilah (Mardiana Ismail) (anak tiri Tahir (Datuk Jalaluddin Hassan – Patung Kertas), seorang ketua samseng yang menjaga Kelab Karaoke Semarak Hati, tempat Nora bekerja).

      Jamilah sudah mengandung angkara perbuatan ayah tirinya sendiri. Itu adalah kandungan keduanya selepas kandungan pertamanya gugur akibat ditendang oleh ayah tirinya. Jamilah mahu melahirkan dan membesarkan bayi tersebut. Leman meminta bantuan Narti dan Nora supaya membantu Jamilah melahirkan anaknya dirumah mereka. Narti dan Nora sedia membantu.

      Yanto (Shukor Yon) dan Pak Jamal (Rasdi Daud) merancang mahu mengadakan kenduri akikah dengan menyembelih seekor kambing. Mereka begitu seronok untuk membantu Jamilah melahirkan anaknya. Tahir, si ketua samseng mencari Jamilah hinga ke rumah Yanto dan berlaku pertengkaran antara Parjo (Yussak Kassan), Wan Dol dengan si Tahir. Tahir tidak puas hati dan menghantar seorang penagih dada untuk merisik maklumat tentang anaknya, Jamilah.

      Nora menghadapi masalah besar bila anaknya, Norma hamima, tiba-tiba muncul di rumah sewanya. Norma sudah pun tahu mengenai pekerjaan ibunya, kerana hal itu telah dihebohkan oleh rakannya di universiti tempat dia menuntut. Maka, berlakulah pertengkaran di antara Norma dengan Nora. Norma yang telah dimalukan oleh rakan-rakannya di universiti semacam mahu membalas dendam kepada Nora. Dia mengeluarkan kata-kata pedas sehingga menguris hati Nora.

      Bagaimanapun, perselisihan antara dua beranak ini telah berakhr dengan baik dan mengembirakan semua orang. Nora mahu berhenti kerja dan mengajak anaknya, Norma, tinggal bersama neneknya di kampung.

      Pada malamnya, Jamilah benar-benar mahu bersalin setelah beberapa kali terpaksa menahan. Malangnya, tiada sesiapa yang tinggal di rumah itu yang pernah menyambut kelahiran bayi, kecuali Parjo. Narti yang tidak pernah melahirkan anak dan Salmi yang belum berumahtangga begitu cemas menghadapi kelahiran anak Jamilah. Mereka dibantu oleh Parjo yang melaknkan simulasi kelahiran tersebut dan membimbing Salmi menyambut kelahiran bayi tersebut dengan Narti sebagai orang tengahnya.

      Keadaan menjadi sangat kecoh pada waktu kelahiran itu. Parjo engan aksinya melakonkan simulasi seorang wanita yang akan melahirkan dan dibantu oleh teman-temannya. Mereka akhirnya berjaya membantu Jamilah melahirkan anaknya dengan selamat.

      Pagi esoknya, Parjo dan teman-temannya sedang sibuk bersedia menyembelih kambing untuk kenduri akikah. Mereka tiba-tiba diserang oleh Tahir bersama dua orang kaki pukul dan penagih dadah yang menjadi pengintip bagi pihak Tahir. Pergaduhan terjadi. Kali ini Parjo telah dibantu oleh teman-temannya yang lengkap bersenjata kerana mereka sedang melapah kambing. Bersama dengan bantuan kawan-kawannya, Parjo, telah dapat mengalahkan Tahir dan membawanya ke muka pengadilan.

      Bukan Dejavu (Johan Pertandingan Menulis Skrip drama Pentas, 50 Tahun DBP) menampilkan satu kehidupan manusia yang biasa tetapi menampilkan tindakan dan reaksi yang sangat luarbiasa. Masalah manusia tetap sama tanpa mengira status sosial mereka. Yang penting adalah bagaimana masalah itu harus ditangani agar kehidupan manusia sentiasa di dalam keberkatan dan keredhaan Illahi.

      Sesungguhnya kehidupan itu menaksir rasa, timbangrasa dan menghasilkan keredhaan bagi mereka yang memilih jalan yang wajar. Soalnya, apakah jalan yang wajar itu dinilai dengan status yang sama oleh semua makhluk bernama manusia? Memang kehidupan ini adalah realiti dalam kefanaan yang membungkus wajahnya dengan seribu warna.

      Kehidupan ini bukan sentiasa Dejavu.

Lawati blog teater Bukan Dejavu:

http://bukandejavu.blogspot.com

[tags]teater bukan dejavu, dewan bahasa pustaka, dbp, narti, deja moss[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

MPO’S MUSICAL JAMBOREE @ Dewan Filharmonik PETRONAS

Majlis Beramah Mesra Sahabat Second Life Pictures Filem Gentayangan