Menganjurkan sebuah acara muzik dengan harga tiket serendah RM25 dalam ekonomi kini bukanlah mudah. Jika mampu pun, kita mungkin terpaksa korbankan kualiti dari beberapa segi bagi memastikan acara itu membawa pulangan modal.
Namun, kugiran rock alternatif, motherwit mengambil cabaran untuk menganjurkan acara pelancaran EP terbaharunya dengan harga tiket yang murah tanpa berkompromi tentang kualiti.
Pesta muzik selama enam jam itu akan menampilkan empat persembahan akustik, tiga persembahan utama dan empat pameran seni.
Dari kiri: Paklah (bass), Sahaq Ibrahim (vokal, gitar), Noh Zulazfar (gitar), Aza Azmeerul (dram)
Gitaris motherwit, Noh Zulazfar berkata:
“Kami mahu meraikan komuniti muzik dan seni tempatan dalam acara itu. Oleh sebab itu, harga tiket diminimumkan supaya lebih ramai pengunjung boleh datang dan bergembira bersama semua kugiran, penyanyi dan artis seni lukis.
“Kekuatan komuniti datang dalam bentuk keramaian dan untuk mendapatkan pengunjung yang ramai, harga tiket tak boleh mahal. Kami juga mahu mengembalikan nostalgia gig independen dengan menyediakan tiket fizikal serta poster sebagai cenderamata.
“Kami turut menawarkan harga istimewa untuk pelajar universiti yang bagi kami merupakan pasaran besar untuk muzik tempatan. Kami mahu tarik pelajar-pelajar universiti untuk mendengar muzik tempatan. Bukan dengar kami saja, tapi artis-artis lain juga. Untuk itu, kami perlu dekatkan mereka dengan budaya muzik tempatan seperti gig serta album dan EP fizikal.”
Vokalis, Sahaq Ibrahim pula berkata:
“Pesta Lancar EP ini bukan seperti gig biasa kerana kami turut libatkan artis dari bidang seni lain melalui pameran seni lukis. Biasanya kalau datang gig, orang bergembira mendengar muzik kemudian balik. Kami mahu mereka yang datang merasakan pengalaman yang lebih lagi, jadi kami muatkan juga aktiviti berbeza.
“Setiap bidang seni tidak boleh terpisah dari bidang seni yang lain. Seperti seni lukis, banyak kugiran yang gunakan khidmat mereka untuk seni sampul album dan sebagainya. Jadi, kami mahu temukan para pelukis ini dengan peminat muzik dalam satu acara. Supaya kita boleh bersama-sama menghargai seni tanpa mengira apa jenis seni yang dikerjakan.”
Pesta Lancar EP: anteseden akan diadakan di Live Fact, Kota Damansara pada 18 Mac ini. Selain motherwit, acara tersebut turut menampilkan kugiran Sabda Alam dan penyanyi-pencipta, Viona untuk persembahan sebelah malam.
Untuk sesi petang pula menampilkan empat persembahan akustik dari Petisuara, Laisa, Ilmare dan No Re San.
Pameran seni pula bakal berlangsung sepanjang acara melibatkan empat pempamer, iaitu Hanif Shah, gr1mlish (Aqilah Naqlis), Kambaek (Iqram Sazali) dan Fet.
Acara tersebut dianjurkan untuk meraikan penerbitan EP kedua motherwit bertajuk anteseden. EP tersebut akan dilancarkan ke semua platform digital utama bermula 4 Mac ini.
Pemain bass motherwit, Paklah berkata:
“anteseden ialah permulaan baharu buat kami. Kugiran ini bermula sebagai projek solo oleh Sahaq. EP pertama, archived demo ialah fasa motherwit digerakkan secara berseorangan oleh Sahaq. Kini, haluan muzik berubah selepas kemasukan saya dan Noh, serta Aza Azmeerul sebagai sambilan (sessionist) tetap. Kami semua bawa pengaruh masing-masing bagi membentuk bunyian baharu motherwit.
“Kami perlu hasilkan terbitan untuk memperkenalkan motherwit yang baharu. Untuk album penuh kami belum mampu, jadi kami mulakan langkah dengan penerbitan EP ini.”
anteseden mengandungi lima lagu yang mana dua daripadanya telah dilancarkan sebelum ini di platform digital bersama video lirik di Youtube.
Mengulas tentang EP anteseden, Sahaq sebagai komposer dan penulis lirik utama berkata:
“Kami menyusun trek dalam EP tersebut mengikut fasa perkembangan motherwit. Dua trek pertama masih ada pengaruh bunyi motherwit dalam EP pertama manakala dua yang terakhir lebih kepada haluan baharu yang kami visikan untuk album sulung nanti. Trek ketiga di tengah-tengah kami gabungkan kedua-dua haluan itu. Lagu itu sendiri terpecah strukturnya kepada dua haluan bunyi yang berbeza.”
Pemain dram motherwit, Aza berkata:
“Kami berharap pelancaran anteseden dapat membantu kami mengumpul dana untuk pembikinan album sulung melalui penjualan album fizikal, cenderamata serta jemputan persembahan. Kami gerakkan kugiran ini secara mandiri, maka kami sangat perlukan dana untuk pembikinan album nanti.
“Kami tiada penaja atau syarikat rakaman yang dapat mendanai pembikinan album. Namun, dengan sokongan peminat dan komuniti muzik independen yang beli cenderamata dan datang ke persembahan, kami yakin dapat kumpul dana yang cukup untuk album nanti.”
*Semua gambar dikreditkan kepada Hafiz Yazid
*Semua rekaan poster dikreditkan kepada Sahaq Ibrahim
*Perkataan “motherwit” dan “anteseden” dieja menggunakan semua huruf kecil