Industri hiburan Malaysia terus diwarnai dengan kehadiran wajah-wajah segar yang tampil berkarya dan tahun ini menyaksikan penyanyi Adrianna Cinta tampil dengan single terbarunya berjudul “Sayang”.
Menurut Adrianna atau nama lengkapnya Puteri Adrianna Cinta Megat Faizal, 19, “Sayang” yang merupakan lagu ciptaannya sendiri dikeluarkan dibawah naungan syarikat Sony Music Malaysia.
“Istimewanya tentang lagu ini, ia adalah kombinasi antara genre pop dan indie yang menjadi lagu cinta dan muziknya menyuntik mod seumpama membelai perasaan. Sejujurnya, lagu ini bukanlah dirancang dengan ketat, saya hanya cipta dengan mencurahkan apa yang bermain dalam minda, kemudian tidak lama selepas itu, siaplah bahagian permulaannya. Saya hanya ambil masa tiga ke empat jam sahaja untuk keseluruhan lirik.
“Kebanyakan lagu ciptaan saya hanya mengambil masa sehari sahaja untuk siap, namun jika termasuk proses ‘mixing’, lagu ini lengkap sepenuhnya dalam masa dua hari. Itulah antara yang boleh dikatakan sebagai kekuatan saya, menulis lagu dalam masa yang singkat dan jalan ceritanya bercampur sama ada dalam jalan cerita atau perasaan seseorang,” katanya.
Kepada yang baru mengenali Adrianna, gadis ini sering menyanyikan lagu-lagu cover dan berkongsi di akaun TikTok miliknya (@adriannacinta). Kebanyakan lagu cover nyanyian Adrianna mendapat sambutan hangat di platform berkenaan. Antara yang terbaru adalah lagu Cinta Ini Membunuhku mendapat 3.7 juta tontonan dan Munajat Cinta dengan 3.5 juta tontonan.
Dalam pada itu, Adrianna yang juga pelajar dalam bidang pengurusan perniagaan di Universiti Awam, berkongsi tentang penceritaan lagu “Sayang” yang menurutnya, tidak ada kaitan dengan kisah hidupnya sendiri. Namun begitu, penyanyi yang terkenal di media sosial ini mempunyai kelebihan dalam mendalami maksud penceritaan yang terkandung dalam lirik coretannya. Justeru, dia berharap agar para pendengar dapat menghayati dan menerima lagu “Sayang” dengan baik.
“Lagu ini adalah sepenuhnya berdasarkan imaginasi saya, saya terbayangkan situasi itu dan terus menjadikannya sebuah lagu.
“Saya amat berharap lagu ini dapat menyentuh perasaan orang ramai yang mendengar lagu ini, semoga ia memberi kesan yang mendalam kepada mereka dan terus jatuh cinta dengan “Sayang”. Selain itu, saya juga amat berharap ia mendapat putaran di stesen-stesen radio tempatan dan diguna pakai secara meluas di pelbagai platform media sosial.
“Lagu “Sayang” ini adalah sangat istimewa untuk semua orang, saya dahulukan sokongan semua pihak dengan ucapan terima kasih. Untuk mereka yang ingin mengenali saya dengan lebih dekat, bolehlah ikuti saya di laman sosial media saya selalu kongsi perkembangan di platform berkenaan,” katanya lagi.
Lagu “Sayang” boleh dimuat turun di iTunes dan dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih seperti Apple Music, Deezer, KKBox, Spotify, YouTube dan YouTube Music.
Akaun Media Sosial Adrianna Cinta:
Instagram: https://www.instagram.com/adriannacinta/
TikTok: https://www.tiktok.com/@adriannacinta
YouTube: https://www.youtube.com/@adriannacinta
Kredit
Artis: Adrianna Cinta
Tajuk: “Sayang”
Produser: Adrianna Cinta
Komposer: Adrianna Cinta
Penulis Lirik: Adrianna Cinta
Dengar Lagu Sayang Sekarang: https://adriannacinta.lnk.to/SYG
MENGENAI ADRIANNA CINTA
Memiliki nama lengkap Puteri Adrianna Cinta Megat Faizal, anak sulung dari empat adik beradik ini berusia 19 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur.
Pada mulanya, Adrianna mahu belajar bidang muzik di peringkat universiti, namun pada masa sama, dia juga berminat dengan perniagaan. Menurutnya, perjalanan akademiknya berjalan lancar setakat ini.
Untuk hobi di masa lapangnya, Adrianna suka bermain ‘Longboard’, dia dapat menikmati kegembiraan dan sukakan cabaran sambil berehat sebentar daripada menyanyi.
Beralih ke inspirasi muzik, Adrianna mengatakan dia selalu mendapat idea selepas melihat perkara-perkara menarik dalam filem yang ditonton, dan juga selepas mendengar lagu yang disukainya. Selain itu, Adrianna juga menggunakan imaginasi dan apa yang dilihat di sekelilingnya sebagai inspirasi dalam menghasilkan lagu.
Dalam pada itu, Adrianna yang baru-baru ini menyertai pertandingan The Last Standing Trio terbitan Astro akui banyak mengambil pengaruh tempatan dalam cara nyanyian dan melodi yang dihasilkan. Baginya, ramai penyanyi di negara ini melontarkan vokal dengan penuh versatil dan mempunyai kebebesan tersendiri mengikut cara nyanyian masing-masing.
Ibu bapa Adrianna selalu menjadi orang pertama yang mendengarkan lagu ciptaannya dan sering memberi teguran jika mereka merasakan ia perlu ditambah baik. Namun untuk lagu “Sayang”, ibu bapanya terus memberikan respon baik dan setuju tanpa bercakap banyak.
Sejak kecil, Adrianna sudah mempunyai minat untuk menyanyi. Bapanya sering membawa dia ke pusat karaoke keluarga pada hujung minggu selain sering memainkan lagu-lagu kegemaran. Ia semestinya menjadi faktor memupuk minat Adrianna untuk menyanyi hingga sekarang. Adrianna juga suka melihat penyanyi-penyanyi hebat membuat persembahan di atas pentas, salah satunya adalah bintang terkenal Hollywood, Beyonce.
Pada zaman sekolah menengah, dia mula mengaktifkan diri dalam nyanyian. Selepas tamat sekolah menengah, Adrianna mempunyai banyak masa terluang dan membuat keputusan untuk mula belajar teknik ‘mixing’ lagu dan berkongsi di platform media sosial hingga mendapat perhatian daripada warganet.