Luluh diri apabila diduakan, apatah lagi jika diduakan dengan sahabat baik sendiri. Begitulah nadi penceritaan ‘Isteri Halal’ yang memaparkan pendustaan dalam mahligai perkahwinan serta rahsia silam antara dua keluarga.
Penceritaan sepanjang 60 episod ini menceritakan kisah percintaan Adellea dengan Zayn yang ditentang oleh ibu bapa Adellea berdasarkan jurang harta dan kekayaan. Demi cintanya, Adellea sanggup meninggalkan kemewahan hidupnya dan mengkhianati pilihan keluarganya untuk melayari bahtera perkahwinan dengan jejaka miskin yang tidak mempunyai status sosial yang tinggi.
Namun tragedi menimpa apabila bapanya jatuh sakit dan memerlukan perhatian. Nekad untuk menebus kesalahannya, Adellea kembali ke pangkuan keluarganya bersama-sama suaminya. Namun kepulangan Adellea mengundang seribu satu dugaan termasuk kancah pendustaan yang terjadi di antara suaminya dengan sahabat baiknya, Eyra yang menyimpan perasaan cinta terhadap Zayn selama ini. Situasi menjadi lebih tegang dengan hadirnya Daniel.
Dengan pelbagai dugaan mendatang, mampukah Adellea mengharungi segalanya dan menyelamat perkahwinan yang telah menjadi nadi hidupnya buat sekian lama?
Dibawah arahan pengarah berkredibel, Uchee Fukada serta terbitan Radius One, drama yang penuh dengan saspens dan permainan emosi ini dibintangi Uqasha Senrose sebagai Eyra, Aidit Noh sebagai Zayn, Nazim Othman sebagai Daniel dan Isyariana Che Azmi sebagai Adellea.
Keistimewaan drama kali ini memaparkan watak antagonis dibawa oleh pelakon jelita Uqasha Senrose yang jarang sekali dibawanya dalam drama-drama rantaian. Nazim Othman pula menambahkan kehangatan naratif ‘Isteri Halal’ dengan watak lelaki yang dipenuhi dengan hasad dengki dan cemburu.
‘Isteri Halal’ akan ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Jumaat bermula 27 Februari 2023, jam 6.00 malam secara eksklusif melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang fleksibel.
Dapatkan Pek Premium 1 untuk penjimatan hebat dengan hanya RM 99.99 sebulan untuk enam bulan pertama. Whatsapp “NAK ASTRO” ke 03-9543 3838 untuk menikmati drama ini di Astro.
Norzeha Mohd Salleh (Ketua Saluran Astro Ria)
“Buat julung kalinya, slot drama Tiara akan bersiaran menerusi Astro Ria. Posisi Astro Ria sebagai destinasi drama utama di negara kita diperkukuhkan lagi dengan kehadiran slot Tiara dan kami turut mengambil kesempatan ini untuk memperkasakan lagi kualiti dan tayangan drama rantaian di Astro Ria agar kekal relevan dan kompetitif dengan penyiar-penyiar serta platform-platform penstriman yang lain.
Malah kedudukan Astro Ria sebagai saluran utama kandungan Melayu turut akan diperkuatkan dengan kehadiran slot yang telah menyiarkan antara drama-drama terhebat di negara kita seperti ‘Dendam Seorang Isteri’, ‘Takdir Cinta Dhia’ dan ‘Jesnita’. Lantas kehadiran slot ini pastinya akan memperluaskan demografik penonton di saluran ini.
Kami berbangga membawakan ‘Isteri Halal’ sebagai pembukai tirai Tiara di Astro Ria. Malah pertaruhan kali ini melihat gabungan watak-watak antagonis hebat. ‘Eyra’ merupakan watak antagonis pertama Uqasha Senrose untuk drama rantaian di Astro. Kami berharap dengan kelainan dalam lakonan Uqasha mampu memukau malah mencetus pelbagai reaksi emosi di kalangan para penonton. Kami juga memaparkan Isyariana Che Azmi sebagai protagonis wanita kami dan semestinya kami teruja melihat penampilan sulung Aidit sebagai pemeran utama slot Tiara serta lakonan Nazim Othman yang telah memberikan impak mendalam terhadap penceritaan ‘Isteri Halal’.
Pengarah hebat, Uchee Fukada kembali menggalas tugas sutradara di slot Tiara. Ternyata Uchee mempunyai sentuhan istimewa dalam memperkasakan drama yang mengangkat peranan wanita sebagai nadi penceritaan. Dengan gandingan mantap, garapan hebat serta penceritaan berkesan, kami tidak sabar untuk melihat ‘Isteri Halal’ membawa kesinambungan sukses slot Tiara di Astro Ria.”
Uchee Fukada (Pengarah Drama ‘Isteri Halal’)
“‘Isteri Halal’ merupakan projek pertama saya bekerjasama dengan Isyariana dan Uqasha. Manakala saya telahpun bekerja dengan Nazim dan Aidit. Namun gabungan ini merupakan gabungan pertama mereka tetapi chemistry yang ditunjukkan bagaikan mereka sudah lama berkerja bersama. Alhamdulillah, tiada masalah apa jua dan sebarangan isu kami senang berbincang serta menyelesaikannya secepat mungkin. Semua memahami kehendak karakter yang diberikan dan mereka mudah sahaja menyebatikan jiwa mereka dengan watak masing-masing.
Cabaran utama drama ini adalah drama ini merupakan sebuah drama adaptasi. Ia agak mencabarkan dalam usaha untuk gabungkan drama dari Filipina ini yang dibuat pada sekitar 2003-2004 dengan arus perubahan yang ada pada 2023. Saya harus bijak menyelit elemen-elemen lokal yang kena dengan dekad yang kita kini berada. Walaupun diadaptasi dari Filipina, budaya tempatan haruslah kami tampilkan agar relevan di kalangan para penonton kita. Bukan itu sahaja, drama ini turut menampilkan empat pelakon utama yang hebat di samping barisan pelakon dukungan yang mantap.
Setiap drama pasti ada pengajaran yang ingin disampaikan. Tujuan utama drama dibuat adalah untuk membuka mata penonton bahawa hidup tidak selalunya indah. Janganlah sekali mengambil lelaki orang mahupun meruntuhkan rumahtangga orang lain. Sebagai manusia, kita percayakan orang tetapi janganlah 100 peratus.”
PECAHAN WATAK DRAMA ‘ISTERI HALAL’
Uqasha Senrose: Eyra
Aidit Noh: Zayn
Isyariana Che Azmi : Adellea
Nazim Othman: Daniel
Sahronizam: Aziz
Sharmaine Farouk: Suraya
Amylea Azizan: Noor
Amirul Asyhwad: Nabil
Shahidan Izwan: Aqil
Qazeem Nor: Arif
LOGLINE DRAMA ‘ISTERI HALAL’
Kisah Adellea yang meninggalkan keluarganya untuk berkahwin dengan Zayn, seorang lelaki dari keluarga miskin. Perkahwinan mereka memisahkan Adellea dari keluarganya, namun keuzuran Aziz dan Suraya membawa Adellea pulang untuk menjaga mereka. Zayn yang mula terabai tewas dengan godaan Eyra.
SINOPSIS DRAMA ‘ISTERI HALAL’
Adellea merupakan anak perempuan Tuan Aziz, seorang usahawan yang berjaya. Harapan Tuan Aziz untuk mengahwinkan anaknya dengan calon pilihannya musnah apabila Adellea membawa pulang calon pilihannya; Zayn, seorang lelaki dari keluarga miskin. Penyatuan yang mendapat tegahan keluarga Adellea ini membawa kepada kedua-dua mereka melarikan diri untuk mendirikan rumah tangga bersama, sekaligus terputus hubungan Adellea dengan keluarganya. Setelah sekian lama berjauhan, Adellea dan Zayn pulang apabila berita tentang keuzuran Aziz kedengaran. Adellea berazam untuk menunaikan tanggungjawabnya kepada Aziz. Zayn pula semakin terabai apabila isterinya jarang bersamanya, ini membuka peluang pada Eyra – kawan baik Adellea sendiri – untuk mendekatkan diri dengan Zayn. Tindakan mereka membuatkan mereka tewas pada godaan, dan kini terjerumus dalam kancah selingkuh.