Pantas masa berlalu. Sejak ditubuhkan pada 2019, kumpulan Dolla terus mengorak langkah ke hadapan sebagai kumpulan paling unggul untuk era ini.
Sabronzo, Syasya, Angel dan Tabby ternyata gembira dengan kejayaan demi kejayaan yang dikecapi sehingga kini.
Bertunjangkan genre pop, Dolla sudah menghasilkan enam single iaitu Makes You Wanna, Impikan, Watch Me Glow, Raya Raya Raya, Berani dan Bad.
Mereka juga baru muncul berduet bersama Naim Daniel menerusi lagu Mungkin Ini Adalah Lagu Yang Paling Sedih Pernah Aku Buat.
Dolla kini kembali menggegarkan industri muzik tanah air dengan single terbaharu berjudul Look At This yang menonjolkan mereka dalam sisi berbeza.
Single Look At This sebenarnya dihasilkan dan ditulis dalam bahasa Inggeris oleh pencipta berasal dari Sweden iaitu Johan Gustafsson, Josefin Glenmark dan Laurell Bake.
Ia kemudian diterjemahkan kepada bahasa Malaysia khas buat peminat Dolla.
Sabronzo berkata, lagu menarik ini menceritakan berkenaan keyakinan diri individu dalam mendepani situasi.
“Ia berkisar keyakinan diri dan tidak mempedulikan kata orang lain. Lagunya rancak juga memberi gambaran mengenai keperibadian seseorang yang yakin dengan penampilan dirinya yang menarik.
“Malah ada bait lirik yang berbunyi “Kau pandang di sini mata memerhati, but Iain’t even worried bout that,”. Proses penulisan lagu juga memakan sedikit waktu kerana lagu asal ditulis di dalam bahasa Inggeris.
“Ia memakan masa kerana kami perlu mencari lirik bahasa Malaysia yang sesuai untuk irama sebegini. Ini kerana lirik asalnya sangat hebat sewaktu dihasilkan dalam bahasa Inggeris,” katanya.
Untuk proses ini sahaja, Dolla bekerja selama beberapa bulan dengan pasukan mereka serta Cikgu Shafi dan juga SYA yang membantu menyempurnakan lirik terbabit.
“Untuk bahagian rapnya, kami juga dibantu Yonnyboii dan Asyraf Nasir untuk menyedapkan lagi lagunya pada bahagian terbabit.
“Alhamdulillah, berkat bantuan semua pihak, hasilnya menjadi satu kejayaan buat kami. Kami sangat berpuas hati dengan karya ini akhirnya, dan rasa segala penat lelah kami berbaloi,” katanya.
Menurut Syasya pula, bukan saja lagu, perbezaan yang dibuat turut merangkumi gerak tari persembahan mereka.
“Rentak tari lagu ini lebih ke arah hip hop yang jarang dilakukan kami sebelum ini. Kami masih menggunakan khidmat Ezra Tham dan pasukan tari daripada UNC Dance Studio untuk membimbing kami dalam mereka tari.
“Untuk video muzik pula kami bekerjasama dengan Ghazi yang sudi mendengar pendapat kami demi mencipta kelainan. Kami bersyukur kerana sangat mudah bekerja dengan semua orang,” katanya.
Sabronzo pula menambah, mereka terpaksa berdepan beberapa cabaran dalam menghasilkan video muzik lagu ini.
“Cabaran pertama adalah kami terpaksa siapkan video muzik dalam satu hari lebih gara-gara cuaca yang buruk.
“Yang kedua adalah kami terpaksa mengumpul tenaga dan bersengkang mata selama 28 jam untuk menyiapkannya.
“Begitulah halangan yang datang untuk menghasilkan video muzik Look At This ini,” katanya.
Populariti yang dikecapi membawa Dolla terbabit dengan acara besar antaranya memeriahkan Seen Festival in Kuala Lumpur 2023 bersama bintang sensasi K-Pop antarabangsa iaitu NCT Dream, WayV, KARD dan ALICE pada 28 Januari lalu.
“Kami berasa sangat bangga apabila dibariskan dengan penghibur hebat dari Korea Selatan. Ia adalah impian yang sangat kami idam-idamkan sejak menceburi bidang muzik.
“Peluang ini amat bermakna secara peribadi buat kami sebagai artis yang masih merangkak kukuhkan nama.
“Ia satu pengiktirafan terbesar untuk karier kami, apatah lagi memang cita-cita Dolla ingin tembusi pasaran antarabangsa lagi,” kata Tabby dan Angel.
Biarpun ingin melangkah keluar ke peringkat global, Dolla tetap memandang ke bumi apabila mengimpikan peluang beraksi dalam persembahan pentas di semua negeri di Malaysia.
“Kami hanya ingin berkarya dan memberi mesej positif kepada khalayak. Untuk persembahan pentas, kami hanya ikut perancangan daripada label. Kalau diberi peluang, kami akan beri persembahan yang terbaik.
“Menjadi impian kami untuk buat persembahan di seluruh Malaysia (termasuk Kelantan) sebab kami mahu orang tahu tentang kewujudan muzik kami.
“Kami faham dan hormat semua orang punya pendapat atau nilai kehidupan. Mereka punya pandangan dalam beberapa perkara (berkaitan agama). Kami takkan cuba nak paksa pandangan kami dalam diri sebilangan orang,” kata mereka.