Demi kepuasan dan menyerlahkan keistimewaan lagu Terus Hidup, juara Anugerah Juara Lagu Ke-37 (AJL 37), Aina Abdul sanggup berhabis kira-kira RM90,000 bagi memastikan persembahan pada malam kemuncak itu meninggalkan kesan di hati penonton.
Nyata, pengorbanan Aina berbaloi apabila lagu Terus Hidup yang didedikasikan buat arwah bapanya, Abdul Ghani Abdullah meraih kemenangan berganda dalam AJL 37.
Selain dijulang sebagai juara AJL 37, penyanyi berusia 30 tahun itu turut menggenggam trofi Vokal Terbaik bagi dua tahun berturut-turut.
Berkongsi persembahan yang menarik perhatian, Aina berkata, tema kepulan awan adalah simbolik kepada arwah bapa yang pergi meninggalkannya buat selama-lamanya.
KONSEP AWAN TERUS HIDUP AINA ABDUL TELAN BELANJA RM90,000, BAJU DI LUAR KOTAK GUNA 200 METER KAIN
Aina berkata, dia bersama pasukannya mendapat idea ketika melakukan perbincangan di kediaman jurusolek, Bobo Cinta.
“Saya bertemu dengan penata gaya, Abu Shaef Hamza di kediaman jurusolek bagi membincangkan konsep keseluruhan persembahan AJL 37.
“Daripada pertemuan itu, kami berbincang pelbagai idea dan akhirnya, memilih kepulan awan sebagai simbolik untuk arwah bapa yang sudah tiada,” katanya.
Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani berkata, meskipun antara finalis yang mengambil masa paling lama bersiap kerana ingin menampilkan kelainan, namun ia berbaloi apabila meraih kemenangan berganda.
“Saya selalunya bersiap berjam-jam kerana ingin tampil berbeza daripada penyanyi lain. Namun, penghujungnya satu kepuasan apabila meraih kejayaan besar.
“Seperti saya katakan, lagu Terus Hidup mempunyai satu sudut yang cukup istimewa di hati saya.
“Kemenangan ini juga bukan untuk saya seorang, sebaliknya satu pasukan yang bertungkus lumus, sejak bulan lalu demi memastikan segala-galanya berjalan lancar pada malam kemuncak AJL 37.
“Kami datang dalam pasukan yang memiliki semangat sama. Kami bukan mahu menunjukkan kehebatan, sebaliknya ingin berlaku jujur dengan karya diperjuangkan.
“Alhamdulillah, saya dikurniakan pasukan yang diimpikan selama ini. Mereka inilah yang sentiasa bersama dengan saya, tak kira dalam konsert, persembahan di pusat membeli-belah mahupun majlis perkahwinan.
“Pasukan ini menjaga saya dengan baik, dari hujung rambut hingga hujung kaki,” katanya.
Menggayakan busana rekaan Melinda Looi, pereka fesyen itu mendedahkan, dia menggunakan lebih 200 meter kain bagi merealisasikan permintaan penata gaya, Abu Shaef Hamza.
Looi berkata, busana seberat hampir 10 kilogram disiapkan sepanjang sambutan Tahun Baru Cina. Malah, terpaksa menyiapkan bersendirian berikutan pembantu bercuti.
“Untuk lipatan sahaja saya menggunakan 200 meter kain, tetapi pakaian itu tidak berat sangat, hanya 10 kilogram.
“Busana digayakan Aina pada AJL 36, tahun lalu menerusi lagu duet Nafas Cinta bersama Khai Bahar berkonsep bunga lebih berat berbanding kali ini.
“Selagi busana tidak siap, selagi itulah Abu Shaef Hamza akan ‘mengganggu’ saya. Jadi, saya tidak malam kerana sibuk menyiapkan busana Aina sepanjang Tahun Baru Cina,” katanya.
Difahamkan bagi kepulan awan, pasukan Aina memperuntukkan masa selama seminggu untuk menyiapkannya, malah menggunakan khidmat lebih 50 kru produksi, selain dibantu pasukan TV3 pada malam kemuncak AJL 37 yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil, malam kelmarin.