Samsung telah mengenalpasti beberapa kekurangan utama Samsung Galaxy Z Flip 3 sebelum ini dan telah mengatasinya menerusi model terkini pada tahun ini. Antara yang ditambahbaik termasuklah bateri yang lebih besar kapasitinya tanpa menambah saiz bentuk fizikalnya.
Dalam entri ini, Budiey akan ceritakan tentang penambahbaikan yang dibuat Samsung untuk kamera yang ada di Samsung Galaxy Z Flip 4.
Kamera Samsung Galaxy Z Flip 4
Antara yang menjadi tumpuan secara umumnya, ketiga-tiga kamera yang ditawarkan pada telefon pintar ini iaitu dua di sebelah luar, dan satu di sebelah dalam masih lagi lebih kurang sama dengan Z Flip 3.
Peranti ini masih lagi menggunakan konfigurasi dwi-kamera 12MP yang sama dengan Z Flip3. Tetapi dengan cip Snapdragon 8+ Gen 1, ia mampu menjadikan hasil imej 65% lebih terang.
Hasil gambar masih ada sedikit perbezaan tetapi untuk peranti yang berharga lebih RM4000 ia adalah sistem kamera yang boleh dipertingkatkan lagi oleh Samsung supaya menjadi lebih hebat pada masa akan datang.
Kamera Sebelah Dalam
Kamera sebelah dalamnya 10MP (f/2.4) ditempatkan di tengah-tengah paparan berpenebuk lubangnya. Manakala dua lagi di sebelah luar, utama 12MP (f/1.8) dan ultra lebar 12MP (f/2.2) ditempatkan bersebelahan panel paparan luarannya.
Apertur masing-masing pada kamera-kamera ini lagi sama cuma dibezakan sedikit pada kamera utama 12MP yang hadir dengan sensor yang lebih besar pikselnya 1.8µm berbanding 1.4µm sebelum ini.
Penstabil imej optikal (optical image stabilization, OIS) dan penstabil imej video digital (video digital image stabilization, VDIS) juga kini telah dipertingkatkan prestasinya. Sokongan VDIS yang ditawarkan ini juga amat membantu ketika merakam video menggunakan mod baharu FlexCam.
Anda boleh merakam video seolah-olah menggunakan handycam dengan melipatkan Galaxy Z Flip 4 kepada kedudukan 90-darjah.
Cover Display + Kamera Utama
Penggunaan paparan luarannya juga diperluaskan lagi bagi memudahkan tangkapan gambar segera termasuk di dalam foto potret. Anda juga boleh terus merakam video melalui paparan luaran dan boleh terus menyambung kembali rakaman apabila lipatan Galaxy Z Flip 4 dibuka untuk menggunakan paparan utamannya di sebelah dalam.
Anda juga boleh menggunakan pelbagai fungsi lain menerusi ‘Cover Display’ ini yang membolehkan anda menangkap gambar dan merakam video yang lebih spontan. Caranya adalah dengan menekan butang kuasa sebanyak dua kali untuk menjadikan paparan luaran tersebut sebagai ‘viewfinder’ kamera luarannya.
Fungsi-fungsi kreativiti fotografi dan videografi juga masih lagi disediakan pada Samsung Galaxy Z Flip 4 ini seperti Single Take, Panorama, slow-mo, time-lapse dan juga Director’s View. Kawalan secara manual untuk video dan foto juga disediakan dan sesuai dengan kelebihan FlexCam yang memudahkan anda mengambil foto dan video secara bebas tangan dengan melipatkan separuh Galaxy Z Flip 4 untuk dijadikan seperti cagak (stand).
Kualiti tangkapan foto melalui kamera-kamera Flip 4 boleh dijelaskan sebagai sesuatu yang menyeronokkan. Hasil foto yang ditangkapkan kelihatan menonjol dari segi warna, kontras yang menarik dan juga perincian yang bagus.
Prestasi Kamera
Prestasi kameranya di dalam keadaan kurang pencahayaan juga baik dan boleh dipertingkatkan lagi kejelasannya dengan menggunakan Night Mode.
Kamera pada sebelah dalamnya 10MP juga tidak kurang hebatnya yang mampu mengambil gambar dengan baik termasuk dalam beberapa keadaan kurang pencahayaan.
Swafoto pula boleh digunakan pada ketiga-tiga kamera pada Samsung Galaxy Z Flip 4 ini atas faktor bentuk uniknya dan juga penggunaan paparan luarannya seperti yang dijelaskan tadi.
Apa yang saya sedari adalah, warna yang dihasilkan adalah cukup terang, butiran juga masih mampu dipelihara dengan baik da fokus juga nampak bagus sekali. Hasil gambar pada peranti ini nampak standard peranti mercu Samsung tahun lepas cuma dengan cip baharu ia cuba menarik perhatian mata saya.
Kesimpulannya
Kesimpulannya, Samsung Galaxy Z Flip4 adalah peranti dengan skrin boleh-lipat jenis clamshell terbaik setakat ini. Bukan sahaja kerana rekaannya yang kompak dan nampak cool, warnanya yang ceria, binaan yang premium, atau kamera yang lebih cantik – tetapi adalah kerana FlexCam.
Dengan FlexCam, pengguna akan lebih mudah mengambil gambar atau merakam video secara sendiri. Tidak lagi perlu risau tangan pendek, sudut rakaman yang tidak sesuai kerana semuanya boleh dilakukan sendiri dengan mudah dan boleh berlagak sebagai seorang profesional.
Ini kerana, Samsung Galaxy Z Flip hadir dengan skrin kedua di hadapan Cover Screen dan ketika menggunakan kamera tekan sahaja ikon cover screen – pengguna boleh merakam video atau mengambil gambar menggunakan dwi-kamera utama yang berkualiti tinggi.
Gen Z sekarang tidak boleh lari daripada kandungan video menegak, sama ada tonton untuk hiburan tersendiri atau merakam sendiri untuk tontonan orang lain. Merakam video menegak biasanya memerlukan tripod atau rakan, tetapi FlexCam pada Samsung Galaxy Z Flip4 membolehkan sesiapa merakam video menegak sendiri sepenuhnya pada kualiti terbaik.