in ,

AIM Anjur Bengkel Pembikinan Album

BENGKEL PEMBIKINAN ALBUM OLEH AKADEMI INDUSTRI MUZIK DAN MAJLIS MUZIK MALAYSIA

Akademi Industri Muzik (AIM) dengan kerjasama Majlis Muzik Malaysia (MMM) akan mengadakan satu bengkel yang akan menyentuh mengenai pembikinan album. Bengkel ini dinamakan ‘A to Z Album Production’.

Bengkel pembikinan album ini akan diadakan di Yayasan Seni yang terletak di Jalan Ritchie, Kuala Lumpur pada 29 Mei 2011. Ianya membariskan tenaga pengajar yang cukup berpengalaman di dalam industri muzik tanahair. Antara barisan tenaga pengajar yang terlibat ialah Cik Jennifer Thompson dari AIM, Cik Helen Yap, En.Othman Masri (Yayasan Seni) dan juga En. Ong Peng Chu (PRISM). Selain dari itu peserta yang menghadiri bengkel ini akan dapat berkongsi pengalaman dan idea dengan artis-artis yang akan membuat penampilan pada hari tersebut.

Tujuan bengkel ini diadakan adalah untuk melahirkan artis-artis dan penggiat seni yang berkualiti demi memastikan indutri muzik tanahair mampu melahirkan artis dan penggiat seni yang mampu mengharumkan industri muzik tanahair dan membantu melahirkan generasi penggiat seni yang berkualiti.

Ini adalah penting demi memastikan kita tidak ketinggalan di dalam arus muzik zaman ini. Dengan adanya karya-karya hebat dan berkualiti, kita akan mampu untuk meneroka bukan sahaja pasaran tempatan malahan pasaran luar yang selama ini dikatakan sukar untuk ditembusi oleh artis-artis kita.

Di dalam bengkel ini, peserta akan diberi tunjuk ajar mengenai pembikinan sesebuah album dan menghasilkan karya yang terbaik. Peserta juga akan diberi tunjuk ajar mengenai cara bagaimana untuk memasarkan sesebuah album kerana tanpa strategi pemasaran yang sesuai,agak sukar untuk menjual sesuatu album tambahan pula dengan media baru alaf ini yang memberikan seribu satu cara dan peluang untuk mempromosikan sesebuah lagu dan album. Di samping itu peserta juga akan diberikan maklumat mengenai dana yang telah disediakan oleh kerajaan untuk penggiat seni.

Bengkel ini bukan sahaja terbuka kepada artis dan penggiat seni,malahan penyertaan dari pelajar-pelajar Institusi pengajian tinggi awam dan swasta juga adalah amat dialu-alukan.

Terutamanya bagi pelajar yang mengambil jurusan yang berkaitan dengan muzik. Ini bagi membantu mereka mempersiapkan diri setelah mereka tamat belajar kelak dan dapat membantu mereka di dalam menentukan hala tuju mereka di dalam industri muzik. Adalah menjadi keutamaan kami untuk memberikan pendedahan dan pendidikan berkenaan industri muzik dari peringkat akar umbi lagi. Bak kata pepatah, melentur buluh biar dari rebungnya. Jadi penyertaan dari golongan pelajar ini sangat bermakna di dalam membentuk generasi yang celik muzik.

Jadi kami menyeru kepada sesiapa yang berminat untuk segera menghubungi pihak Majlis Muzik Malaysia untuk sebarang maklumat atau untuk mendaftarkan diri di talian 03-4044 1044 atau boleh datang terus ke pejabat kami yang beralamat di No.8c, Tingkat 3, Jalan Pangkur off Jalan Tun Razak, 50400, Kuala Lumpur memandangkan tempat adalah terhad demi memberikan penumpuan terhadap setiap peserta.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Carleed featuring Natasha Hudson Jika Ku Boleh Ubah Dunia

Super Junior-M Appearance at Malaysian National Youth Day