in , ,

AirAsia X Kembali Terbang Ke Gold Coast, Tambah Rangkaian Australia

Kembali ke laluan pertamanya dengan tambang bernilai hebat daripada RM799/AUD299!

AirAsia X (AAX) terus menambah rangkaiannya di Australia dengan menyambung semula perkhidmatan ke laluan pertamanya ke Gold Coast bermula 15 Februari 2023.

Laluan itu akan menjadi destinasi keempatnya di Australia, selepas pelancaran Sydney, Melbourne dan Perth baru-baru ini. Dari bulan April hingga November tahun ini, AAX telah menerbangkan lebih 30,000 tetamu antara Malaysia dan Australia. Jumlah ini dijangka meningkat dengan ketara berikutan pengumuman hari ini dan kekerapan tambahan ke Sydney dan Melbourne pada bulan ini.

AirAsia X Kembali Ke Gold Coast, Tambah Rangkaian Australia

Sempena meraikan penyambungan semula ke laluan pertamanya, AAX menawarkan tambang termausk semua* bernilai hebat antara Kuala Lumpur dan Gold Coast daripada RM799 atau AUD299 sehala untuk tempat duduk ekonomi dan RM3,999 atau AUD1,999 sehala untuk Premium Flatbed.

Ketua Pegawai Eksekutif AAX, Benyamin Ismail berkata terdapat permintaan yang amat menggalakkan untuk syarikat penerbangan itu kembali ke ‘Permata Queensland’. Ini kerana Gold Coast merupakan salah satu destinasi percutian utama dan pintu masuk ke Australia yang menawarkan sambungan domestik yang kukuh ke serata Queensland dan lain-lain.

Beliau menambah: “Kami teruja untuk kembali ke Gold Coast dan menjadi syarikat penerbangan tambang rendah pertama yang terbang terus ke bandar itu! Sebagai laluan pertama kami yang dilancarkan pada November 2007, ini merupakan pengumuman yang amat istimewa untuk AAX.

“Kira-kira 15 tahun lalu, Gold Coast menjadi pemangkin kepada kelahiran AAX dan pengembangan pesat kami ke Australia yang kini menjadi salah satu pasaran teras paling popular.

“Melalui Kuala Lumpur, AirAsia X juga akan menghubungkan para tetamu dari Gold Coast ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia, termasuk Thailand, Vietnam, Jepun, India, Korea Selatan dan banyak lagi.”

Menteri Pelancongan Queensland Stirling Hinchliffe berkata: “Perkhidmatan AAX dari Kuala Lumpur telah disokong oleh dana penerbangan Kerajaan Queensland bernilai AUD200 juta, dengan kerjasama empat lapangan terbang antarabangsa Queensland.

“Penyambungan semula perkhidmatan AAX ke Lapangan Terbang Gold Coast juga adalah pelaburan yang hebat dalam sektor pelancongan dan pekerjaan Gold Coast.

“Penerbangan antarabangsa yang berdaya saing amat penting untuk membina semula ekonomi oleh pelancong luar negara pasca Covid-19 dan itulah sebabnya kami menyokong AAX di Gold Coast.

“Kami tidak sabar untuk mengalu-alukan para pelancong dari Malaysia untuk menikmati pelbagai tarikan menakjubkan di Queensland. Kami juga berharap AAX akan meningkatkan jadual penerbangannya kepada lima kali seminggu menjelang akhir tahun 2023. Dari Kuala Lumpur, kami menjangka AAX akan menawarkan hampir 59,000 tempat duduk ke Gold Coast pada setiap tahun yang akan menjana AUD45.6 juta untuk ekonomi pelancong, seterusnya menyokong 450 pekerjaan Queensland.”

Ketua Pegawai Eksekutif Queensland Airports Limited, Amelia Evans berkata: “Pasukan kami teruja untuk melihat penyambungan semula perkhidmatan AAX yang mempunyai sejarah dengan Lapangan Terbang Gold Coast sejak penerbangan sulungnya pada November 2007.

“Sejak kali terakhir AAX mendarat di Lapangan Terbang Gold Coast, kami telah membuka Terminal Antarabangsa baharu dan kami tidak sabar untuk mengalu-alukan kedatangan pasukan dan penumpang AAX kembali melalui bangunan baharu kami yang mengagumkan.

“Sejak penerbangan sulungnya, lebih dua juta penumpang telah terbang dengan AAX antara Gold Coast dan Kuala Lumpur, di mana pada tahun 2019 ia bernilai lebih daripada AUD200 juta kepada ekonomi tempatan dan negeri.”

Pengerusi Destinasi Gold Coast Adrienne Readings juga mengalu-alukan penyambungan semula perkhidmatan AAX ke Gold Coast.  

“Gold Coast adalah antara destinasi popular untuk pelancong dari Malaysia. Mereka bukan sahaja menyukai destinasi ini yang selamat, malah iklim yang cerah sepanjang tahun, tarikan mesra keluarga, pengalaman berasaskan alam semula jadi yang mengasyikkan dan pelbagai pilihan hidangan yang menyelerakan.  

“Terima kasih kepada AAX atas keyakinan yang kuat terhadap Gold Coast dan juga kepada rakan kongsi kami, Lapangan Terbang Gold Coast, Kota Gold Coast dan Kerajaan Queensland.” 

Selain pengembangan AAX ke Australia, Thai AirAsia X (XJ) juga baru-baru ini telah melancarkan perkhidmatan terus pertamanya dari Bangkok ke Sydney dan Melbourne. Pelancaran ini menambah rangkaian kumpulan syarikat penerbangan itu ke enam laluan di Australia, menawarkan lebih nilai dan pilihan untuk para tetamu. Selain itu, AirAsia Indonesia (QZ) baru-baru ini meningkatkan perkhidmatan antara Perth dan Bali kepada dua kali sehari bagi memenuhi permintaan yang menggalakkan. 

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

NE-YO

Hitman Solutions & Happymoon Bawakan NE-YO Live in Malaysia

TRAVEL

Lauk Kampong Kamek Tonjol Makanan Unik Orang Sarawak di TV Okey