in

Sweet Charity Lancar Buku Edisi Terhad

Sweet Charity Lancar Buku Edisi Terhad

Selepas 40 tahun mengukir nama di persada seni, kumpulan Sweet Charity telah melancarkan buku edisi terhad sempena Konsert 40 tahun ‘Bagaikan Bermimpi’ yang diadakan di Esplanade, Singapura pada 31 Mei 2009. Buku setebal 64 muka surat itu turut memuatkan cekera padat digital (DVD) dan Audio CD yang mengandungi sebanyak 17 lagu, hasil rakaman yang dibuat pada konsert tersebut.

Menurut vokalisnya, Ramli Sarip, buku tersebut membuktikan kehadiran mereka di persada seni masih lagi relevan kerana sehingga kini, peminat-peminat kumpulan itu tidak pernah berhenti memberi sokongan.

“Sebenarnya, kami pun tidak pernah menyangka bahawa sebuah buku tentang Sweet Charity akan dihasilkan. Segala paparan kisah kami di dalam buku tersebut menunjukkan perjalanan seni kumpulan ini sejak ia ditubuhkan dan buku itu penuh dengan foto-foto yang belum pernah dilihat,” katanya.

Tambah Ramli, lebih menarik lagi apabila buku itu turut mendedahkan beberapa rahsia serta semangat kejayaan Sweet Charity sepanjang karier seni mereka.

“Kalau nak diikutkan, terlalu banyak momen yang indah ingin disampaikan dalam buku ini. Justeru itu, kami memuatkan foto yang banyak berbanding penulisan kerana dengan sekeping foto sahaja, ia mampu menerangkan kejadian pada waktu itu. Memandangkan buku ini hanya dicetak sebanyak 3,000 salinan, ia akan menjadi sebuah buku tidak ternilai kerana bukan semua orang boleh memilikinya. Malah harganya juga tidak mahal iaitu RM99.90,” tuturnya.

Buku tersebut diterbitkan oleh Rasamusic Sdn Bhd itu dan diedarkan oleh Warner Music Malaysia.

Sementara itu, dengan kerjasama Hard Rock Cafe Kuala Lumpur dan Rasamusic, Sweet Charity akan mengadakan pertunjukan pada 19 Jun depan di pusat hiburan tersebut bermula pukul 10.30 malam bertemakan Tenaga, Semangat dan Bunyi.

Kata Ramli, persembahan yang mengambil masa kira-kira satu jam setengah itu akan menampilkan elemen rock & roll Nusantara. Selain itu, mereka juga bakal mengadakan konsert bersama kumpulan Blues Gang yang dinamakan sebagai Konsert Raksasa di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur pada 9 Julai ini.

Bagi pertunjukan di Hard Rock, tiket berharga RM60 boleh didapati di kafe tersebut. Untuk keterangan lanjut, sila hubungi HRC KL di talian 03-27155555 atau 03-27155083.

Manakala bagi Konsert Raksasa pula, cara pembelian tiket akan diumumkan nanti.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Complete List Winner 2011 Grammy Awards

Trivia: Kasut Tinggi Seorang Pelakon Wanita