Penerbangan tiga kali seminggu itu akan menjadi penerbangan pertama AAX ke Jepun selepas pandemik, menjelang pelancaran laluan keduanya ke Sapporo (Shin-Chitose) pada bulan Disember.
Sempena penyambungan semula perkhidmatannya, AAX meraikan penerbangan tersebut dengan majlis pelepasan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) dengan pelbagai aktiviti dan hadiah menarik untuk para tetamu.
Benyamin Ismail, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X berkata: “Jepun adalah antara destinasi utama kami dan kami teruja untuk kembali ke Tokyo yang merupakan salah satu laluan yang paling popular. Pada tahun 2019, kami menerbangkan kira-kira 275,210 tetamu ke/dari Tokyo dan dengan penyambungan semula perkhidmatan ini, kami berharap untuk membawa 230,000 pengunjung tambahan berdasarkan tempat duduk yang tersedia antara Malaysia dan Jepun. Ini bukan sahaja akan meningkatkan pelancongan dan ekonomi antara kedua-dua negara tetapi juga memberikan lebih nilai kepada semua tetamu di rantau ini yang ingin melancong ke Tokyo.
“Penyambungan semula perkhidmatan ke Tokyo juga menandakan komitmen kami untuk memacu pertumbuhan kami sebagai syarikat penerbangan jarak pertengahan. Ini hanyalah laluan pertama daripada beberapa laluan ke Jepun yang akan beroperasi, termasuk ke Sapporo (Shin-Chitose) pada bulan Disember dan Osaka pada tahun depan. Kami juga mempunyai penerbangan sambungan melalui Kuala Lumpur ke Jepun termasuk dari Australia dan banyak lagi.
“Apabila permintaan meningkat, kami akan menambah lebih banyak penerbangan ke Tokyo secara beransur-ansur pada masa hadapan.”
AAX juga menawarkan tambang bernilai hebat termasuk semua* dari Kuala Lumpur ke Tokyo (Haneda) daripada RM699 sehala untuk ekonomi dan daripada RM2,599 untuk Premium Flatbed. Tambang tersedia untuk tempahan sekarang bagi tempoh perjalanan antara sekarang hingga 30 Mac 2024.