Menurut Nasha Aziz, kejadian itu berlaku ketika dia sedang bersiap sedia menjayakan satu babak bersama Zul Ariffin sebelum pelakon lelaki itu secara tidak sengaja terjatuhkan gari besi di set tersebut.
“Hendak dijadikan cerita, masa penggambaran dengan Zul, dia seperti tengah tidak senang hati disebabkan penggambaran bermula lambat.
“Ketika dia bercakap-cakap dengan kru yang ada di set, dia terjatuhkan gari besi yang sedang dipegang dan terkena kaki saya. Memang sakit.
“Tapi, disebabkan mahu tunjuk diri profesional, saya diamkan sahaja. Dalam hati memang rasa nak menangis… gari besi kot!,”
– Nasha Aziz
Jelas Nasha, Zul yang menyedari kecuaiannya berkali-kali meminta maaf sebelum meneruskan babak dengannya.
Sementara itu, berkongsi mengenai filem arahan Khabir Bhatia itu, Nasha mengakui, tidak mudah membawakan watak Junaidah yang disifatkan banyak mengerah tenaganya.
“Kebanyakan babak dalam filem ini, saya lakukan sendiri. Susah sudah tentu, lagipun tidak ada benda yang senang di dunia ini. Tapi, saya suka terutama apabila banyak pihak memberi kepercayaan dan keyakinan terhadap saya.
“Boleh dikatakan, babak kena gantung paling sukar untuk disempurnakan dan menjelang akhir cerita, memang banyak adegan yang memerlukan energi berganda dan menuntut saya bereksperimen.
“Saya tidak merujuk mana-mana watak atau karya untuk membawa watak Junaidah. Saya bayangkan sendiri bagaimana mencorakkan karakter ini untuk mencabar sejauh mana kemampuan diri dalam lakonan,”
-Nasha Aziz
Filem terbitan bersama Infinitus Gold, Astro Shaw, Jazzy Pictures (M), A Next Start Production dan MM2 Entertainment ini akan menjengah pawagam di Malaysia bermula 20 Oktober ini.
Selain Nasha, turut membintangi filem ini Azira Shafinaz, Zul Ariffin, Amir Nafis, Jay Iswazir, Sherie Merlis dan ramai lagi.