Memetik Harian Metro, Nash turut berkongsikan tips kekal sihat termasuk tidak mengambil minuman berais dan melakukan senaman pijak rumput sejak lebih 10 tahun lalu.
“Apabila mendapat ucapan bertalu-talu menerusi mesej media sosial dan telefon, saya rasa bersyukur sangat. Alhamdulillah saya masih bertenaga dan sihat hingga kini terutama sebagai penyanyi.
“Untuk penyanyi lagu bernada tinggi seperti saya, tenaga itu sangat penting. Saya ingin kongsi tips di mana sebaik selesai solat Subuh, pergi berjalan dengan berkaki ayam di atas rumput untuk menyerap tenaga.
“Selain itu, pengambilan ais juga sangat tidak baik untuk sesiapa pun. Tipulah saya tak ambil tapi bila ada masa yang saya mengidam sangat saja. Saya amalkan ini sudah lebih 10 tahun,”
– Nash
Berkongsikan mengenai perkembangan terbarunya, Nash memberitahu dia dilantik sebagai juri tetap program Getaran Jiwa terbitan TV Sarawak (TVS).
Menurut penyanyi itu lagi, dia turut terharu kerana diberikan kepercayaan ramai pihak serta bakal membintangi pementasan teater berjudul Puteri Sadong di Sarawak tidak lama lagi.
“Meriah pula tawaran saya dapat dari Sarawak dan sangat berbesar hati kerana mereka memilih saya. Saya harap saya akan dapat buat yang terbaik untuk setiap tawaran itu.
“Kali terakhir saya terbabit teater lebih 10 tahun lalu. Kali ini, saya cabar diri menerima tawaran itu kerana ceritanya sangat menarik,”
– Nash