SAJIAN NYONYA IRINGI KEUNIKAN
BUDAYA DAN WARISAN
Pelbagai pilihan, citarasa dan sesuai pada bila-bila masa; itulah antara gambaran yang boleh dimuatkan apabila menyentuh tentang perihal masakan terkenal kaum Baba Nyonya yang begitu digemari rakyat Malaysia kerana mutu dan rasanya. Begitu unik dan terpelihara, masakan tradisional yang diketahui umum akan kelazatannya ini juga sering menjadi menu pilihan pelancong asing yang datang berkunjung ke negara ini.
Namun begitu, tidak ramai yang begitu petah bercerita dan peka mengenai asal usul, budaya dan peninggalan seni kaum Peranakan di Malaysia yang telah wujud sejak kurun ke-15. Demi memenuhi kehendak penonton dan peminat, TV3 mengajak anda mengikuti program terbaru DAPUR NYONYA, khas buat semua lapisan masyarakat khususnya para surirumah yang inginkan kelainan di dalam hidangan harian mereka. Mula bersiaran pada 19 April 2011, setiap hari Selasa, jam 10.00pagi, rancangan ini menyusul selepas tamatnya musim kedua “5 Rencah 5 Rasa”.
Bersiaran sebanyak 25 episod, DAPUR NYONYA dihoskan oleh chef selebriti terkemuka tanah air, Florence Tan, juga seorang duta masakan Baba Nyonya di peringkat antarabangsa dan personaliti terkenal, Chermaine Poo. Bersama chef Florence dan Charmaine di dapur, saksikan telatah mereka dalam menyediakan beraneka resipi-resipi hebat dan lazat di samping membawa anda lebih dekat untuk mengenali dan menghargai sejarah dan budaya kaum Baba Nyonya di Malaysia.
Bersesuaian dengan tema dan nama program, ikuti panduan dan tips berguna daripada chef Florence Tan di samping berkongsi rahsia keenakkan hidangan klasik dan moden Nyonya, termasuklah teknik penggunaan rempah dan wok, ramuan serta peralatan memasak tradisional. Antara masakan Baba Nyonya yang popular ialah bubur caca, ikan bakar dan kuah asam, laksa kari nyonya, kuih muih nyonya, nasi kerabu dan banyak lagi.
Menurut Puan Nurul Aini Abu Bakar, Pengurus Besar Kumpulan, Kumpulan Pengurusan Jenama TV3 dan TV9 “Dari segi pengisian dan kandungan program, pihak kami sentiasa berusaha untuk menampilkan sesuatu yang berbeza dan pada masa yang sama ia haruslah mempunyai nilai eksklusif dan keunikan tersendiri. Seperti yang dipaparkan melalui DAPUR NYONYA, rancangan ini ternyata membuahkan pelbagai hasil yang positif dan berfaedah dari segi ilmu, di samping menerapkan elemen hiburan santai buat para penonton. Lebih menarik lagi, program ini juga menyentuh tentang aspek asal usul dan budaya Baba Nyonya; antara cebisan sejarah yang terpenting di negara ini. Pihak kami berharap agar rancangan terbaru ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para penonton, seterusnya dijadikan sebagai salah satu bahan rujukan dan panduan untuk para surirumah yang dahagakan kelainan dalam program masakan siaran TV3.”
Tidak hanya beraksi di dapur, DAPUR NYONYA juga turut ‘keluar’ dan ‘turun padang’ ke sekitar Lembah Klang, beberapa lokasi menarik di Pulau Pinang dan Melaka untuk menyelami keunikan budaya itu sendiri, serta menyingkap kembali bingkisan sejarah dan peninggalan warisan kaum Baba Nyonya yang wujud hasil dari asimilisasi di antara kaum Cina dan Melayu sejak dari era kolonialisme kurun ke-15.
Seperti yang dimaklumkan, program ini turut menampilkan bekas ratu cantik Malaysia (Miss Malaysia Universe 2005) Chermaine Poo atau Chermaine, sebagai pembantu hos yang juga terkenal dengan jolokan Inggeris “Beauty with Brains”. Setia membantu dan menemani Florence Tan, kedua-dua individu hebat ini akan berkongsi dapur, pengalaman, kisah dan tentunya dengan aksi spontan yang mencuit hati, di samping mendekati hati penonton dengan ratusan rempah ratus, ramuan dan rahsia turun-temurun masakan Baba Nyonya serta warisan hebat kaum ini.
Penonton juga akan berpeluang menyaksikan pelbagai sudut kreatif yang merakamkan panorama eksklusif mengenai budaya, artifak, bangunan bersejarah dan aktiviti kaum Baba Nyonya dengan rentak moden dan retrospektif. Hasilnya, DAPUR NYONYA menawarkan tiga intipati menarik hanya dalam satu program, yang memeriahkan lagi pagi anda.
Oleh itu, jangan lupa untuk terus menyaksikan siri masakan terbaru DAPUR NYONYA, bersama chef Florence Tan dan Chermaine Poo, bersiaran mulai 19 April 2011, setiap Selasa jam 10.00pagi, hanya di TV3.