‘Riuh Sokmo! Bersama Celcom’ Sasar Lebih 20,000 Pengunjung Ke Kelantan
Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (K-KOMM) menerusi Kumpulan MyCreative Ventures Sdn. Bhd. (MyCreative) menyasarkan lebih 20,000 pengunjung ke Kembara RIUH Keluarga Malaysia (KRKM) edisi keempat dengan kerjasama penyedia telekomunikasi Celcom Axiata Berhad (Celcom), iaitu ‘RIUH SOKMO! Bersama Celcom’ di Stadium Mini Majlis Daerah Ketereh dan Padang Sekolah Kebangsaan Seri Ketereh, Kelantan.
‘RIUH SOKMO! Bersama Celcom’ yang akan diadakan mulai 16 September hingga 18 September 2022 bertujuan untuk memperkasa penggiat, usahawan dan pengamal industri kreatif tempatan di seluruh negara, mencerminkan keprihatinan dan komitmen Kerajaan dalam memulihkan industri kreatif susulan pandemik COVID-19 yang menjejaskan pendapatan pengamal industri kreatif ini.
Pelbagai aktiviti komuniti dan bengkel kreatif serta pertunjukan kebudayaan seperti Wayang Kulit, Dikir Barat, Rebana Ubi, Perahu Kolek, Silat Tari akan dibawakan menerusi ‘RIUH SOKMO! Bersama Celcom’. Turut diadakan persembahan istimewa daripada artis tempatan termasuk Faizal Tahir, Datuk Ramli Sarip, kumpulan Wings serta ramai lagi.
Sehingga kini, program Kembara RIUH Keluarga Malaysia telah mewujudkan kira- kira 3,000 peluang pekerjaan serta menyokong seramai 1,803 penggiat seni dan usahawan industri kreatif seluruh negara manakala sasaran keseluruhan program Kembara RIUH Keluarga Malaysia ini dijangka mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan dan menyokong lebih 5,000 penggiat dan pengusaha industri kreatif tempatan di 14 lokasi seluruh negara seperti yang telah dirancang.
Kembara RIUH Keluarga Malaysia yang bermula pada awal tahun tahun 2022, asalnya hanya tertumpu di kawasan Lembah Klang telah melebarkan sayap ke negeri Johor, Sabah dan Melaka dalam usaha membantu penggiat industri seni yang terjejas akibat pandemik COVID-19.
Usaha Kerajaan melalui MyCreative ini terbukti berjaya menghimpunkan usahawan kreatif dan penggiat seni tempatan daripada 10 cabang industri kreatif termasuk muzik, seni persembahan, kandungan kreatif, sastera, seni reka, seni kebudayaan dan tradisional, seni kulinari, seni visual, fesyen dan pendidikan kreatif, yang dilaksanakan melalui kerjasama strategik dengan menghubungkan usahawan kreatif, penggiat seni, dan pengamal industri kreatif serta komuniti setempat.
Industri kreatif telah diiktiraf oleh Kerajaan sebagai salah satu industri strategik berimpak tinggi yang diberi tumpuan khusus dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12). Industri ini disasarkan menyumbang sebanyak RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara menjelang tahun 2025 kerana selain bertujuan menghubungkan komuniti kreatif dengan masyarakat, Kembara RIUH Keluarga Malaysia juga berupaya mencipta peluang dalam menjana pendapatan hasil seni kreatif dan seterusnya menyumbang kepada ekonomi negara bagi mencapai sasaran ini.
Seluruh Keluarga Malaysia di Kelantan dan negeri berhampiran diajak untuk hadir serta memberi sokongan kepada para usahawan, penggiat seni tempatan dan pengamal industri kreatif di ‘RIUH SOKMO! Bersama Celcom’.