Teater Sekangkang Kera Lakonan Nazly Mistam & Isu Melayu Mudah Lupa

Pada 16 Mei 2008 lalu, Budiey berkesempatan untuk menonton persembahan teater berjudul Sekangkang Kera di Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Kuala Lumpur. Bagi Budiey, teater karya Subroto Katimin ini sangat menghiburkan dan penuh dengan mesej tersembunyi. Ianya dipentaskan dari 15 hingga 17 Mei lalu, dan ternyata mendapat sambutan hangat. Dewan Stor DBP memang penuh dengan penonton pada malam itu.

Apa tidaknya, melihat kepada 4 orang pemain utama teater ini, memang bukan calang-calang orang. Sekalung pujian harus Budiey berikan kepada mereka kerana berjaya menggerakkan jalan cerita dan menjana jiwa penonton dalam memahami minda serta kerenah orang Melayu terutama dalam soal perebutan tanah. Sikap tamak haloba orang Melayu ditelanjang bulat-bulat dan disampaikan dalam gaya yang penuh simbolik. Sebenarnya isu perebutan tanah warisan adalah satu perlambangan atau metafora kepada dua parti Melayu di Malaysia. Parti mana? Itu yang menjadi persoalannya.

Ianya dijelmakan oleh dua watak iaitu cucu kandung dan anak angkat Allahyarham Haji Sidek. Kalau diselidiki dan diteliti dari skrip penceritaan, penulis seolah mahu meninggalkan persoalan parti manakah yang mewakili dua watak itu.

Sinopsis Teater Sekangkang Kera
Teater Sekangkang Kera adalah sebuah drama komedi. Haji Sidek yang baru sahaja meninggal dunia, suatu ketika dulu berkerat rotan dengan anak tunggalnya Badariah kerana telah berkahwin dengan seorang lelaki berbangsa Jepun iaitu Yamamoto. Badariah sanggup dibuang keluarga apabila berkahwin dengan Yamamoto, lalu mengikut suaminya berhijrah ke Negara Matahari Terbit itu sehingga Haji Sidek mewariskan hartanya kepada Pak Ridhuan.
 
Haji Sidek mempunyai seorang anak angkat yang asalnya seorang perantau iaitu Ridhuan. Haji Sidek telah memberikan sebidang tanah kepada Ridhuan dan selepas Haji Sidek meninggal dunia, tanah kediaman Haji Sidek dan sebidang tanah sekangkang kera telah dibolot oleh Ridhuan. Bagaikan bulan jatuh ke riba, Pak Riduan membolot harta warisan itu meskipun beliau hanya anak angkat Haji Sidek, sekali gus menghalang Ibrahim daripada menuntut hak berkenaan.

Pada masa sama, munculnya A (lakonan Nazly Mistam) sebagai orang tengah antara pakatan Ibrahim dan Lolita dengan Pak Riduan, sekali gus menyelesaikan isu perebutan tanah warisan itu. Kemunculan watak itu turut menguji minda penonton untuk memberikan tafsiran terhadap identiti watak yang muncul di pentas dalam gelak ketawa menonton teater komedi ini.

Penonton juga pasti tidak terlepas daripada cuba menghubungkan antara pementasan teater itu dengan penganjuran Kongres Permuafakatan Melayu meskipun pengarang dan pengarah teater itu mungkin mempunyai pandangan tersendiri. Setelah kematian badariah dan Yamamoto, cucu Haji Sidek, Ibrahim Yamamoto datang ke Kampung Dot Dot Dot untuk menuntut tanah Sekakang Kera itu.

Pak Ridhuan yang berperwatakan alim itu merupakan Ketua Kampung yang hanya bijak berkata-kata tetapi tidak pandai buat kerja. Ridhuan mempunya seorang anak perempuan bernama Lolita (lakonan Sheila Neesya). Pak Riduan lakonan Prof Rahman Shaari menjadi antagonis apabila menafikan hak cucu kandung Haji Sidek, Ibrahim (lakonan DJ Ridzwan Dollah) yang cuba menuntut haknya kembali ke atas tanah warisan tinggalan datuknya itu.

Pak Ridhuan bercadang mahu membina sekolah rakyat di tanah sekangkang kera itu manakala Ibrahim pula bercadang mahu membina kompleks pendidikan yang ada ilmu akhirat. Ibrahim menemui Lolita dan dua pasang mata telah mengatakan cinta. Lolita menghulurkan pertolongan kepada Ibrahim untuk mendapatkan kembali tanahnya. Akhirnya mereka berdua ke satu Mahkamah Khas yang mana telah memutuskan Pak Ridhuan bersalah.

Watak A sebagai orang tengah dipegang oleh Nazly Mistam. Budiey suka dengan watak ini yang mana dia begitu berani dan selamba bercerita. Walaupun isu yang remeh temeh tetapi ia mengajak penonton untuk berfikir dengan lebih mendalam lagi. Nazly Mistam tidaklah seorang penggiat teater yang prolifik namun dengan bakat, beliau begitu bijak menjiwai watak A. Nazly hanya sebagai seorang ekskutif di sebuah syarikat korporat. Antara teater yang pernah dijayakan ialah Hikayat Hang Lipo, Ekspress P. Ramlee, Demo dan terakhir Wisma Wahab pada tahun 2003.

Watak Pak Ridhuan lakonan Prof. Rahman Shaari juga boleh Budiey katakan antara yang terbaik. Begitu selamba dan bersahaja ketika melontarkan dialognya. Kadang-kadang menggelikan hati penonton. Beliau adalah seorang pensyarah di Jabatan Pengajian Media, Universiti Malaya. Seorang penulis puisi, cerpen, novel dan drama yang prolifik. Antara teater yang menerima sentuhan beliau ialah Suluh Peraba, Wisma Wahab dan Petua Perkahwinan.

[tags]teater sekangkang kera, sinopsis teater, stor dbp, subroto katimin, sejarah dewan bahasa pustaka, nazly mistam, rahman shaari, profesor serba tahu, dj ridzwan, korban hari raya haji, malaysia broadband review, masuk islam, mat rempit dangdut, mawi bertunang, mawi kahwin ekin, mawi nikahi ekin, maxis broadband review, mualaf, shafie naswip, Sheila Neesya[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Gambar Terbaru Dato’ Siti Nurhaliza @ Majlis Penyampaian ABP2007

DIANA DANIELLE & ASHRAF MUSLIM @ DRAMA RAHSIA DI SEBALIK WAJAH