in , ,

Wah Bagusnya! AirAsia Kini Bekerjasama Dengan Penang Global Tourism

AirAsia Bekerjasama dengan Penang Global Tourism, pacu Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan serantau. Pulau Mutiara bakal jadi tumpuan pelancongan rantau ini dengan 184 penerbangan setiap minggu

AirAsia dan Penang Global Tourism (PGT) hari ini telah menandatangani sebuah memorandum kerjasama (MOC) bagi memacu Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan pilihan di rantau ini.

Memorandum tersebut merangkumi kerjasama komersial yang lebih meluas antara kedua-kedua pihak untuk mencipta peluang perniagaan baharu, membangunkan kempen jualan dan pemasaran, memperkukuh ketersambungan penerbangan, serta meningkatkan ekonomi negeri melalui pelancongan.

Dinobatkan sebagai salah satu Destinasi Terbaik untuk Dilawati pada tahun 2022 oleh media global dan antara 10 Pulau Terbaik di Asia Tenggara, Pulau Pinang dijangka menerima lebih ramai pelancong pada tahun ini melalui 184 penerbangan mingguan oleh kumpulan AirAsia, menjadikan Pulau Mutiara lebih dekat dengan rantau ini.

Ini termasuk dua laluan domestik baharu yang telah dilancarkan baru-baru ini dari Kota Bharu dan Sibu ke Pulau Pinang serta beberapa laluan yang telah kembali kepada kekerapan pra-pandemik.

MOU-Signage-Event_Penang

Sebagai permulaan kerjasama ini, AirAsia akan menawarkan tambang bernilai hebat ke Pulau Pinang daripada RM59 sehala termasuk semua* bermula 15 Ogos hingga 21 Ogos 2022 untuk tempoh perjalanan antara 22 Ogos 2022 dan 18 April 2023.

AirAsia bukan sahaja akan menggalakkan pelancong domestik dan antarabangsa untuk melawat Pulau Pinang melalui tujuh laluan domestik dan enam laluan antarabangsa, malah akan mempromosikan pelancongan melalui airasia Super App dengan tawaran menarik pada airasia food, airasia ride, hotel, SNAP (pakej hotel dan penerbangan), dan pelbagai perkhidmatan lain.

Memorandum kerjasama itu telah ditandatangani oleh Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia dan Ooi Chok Yan, Ketua Pegawai Eksekutif PGT, disaksikan oleh YB Yeoh Soon Hin, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Pulau Pinang (PETACE) di G Hotel, Pulau Pinang. Turut hadir adalah wakil daripada Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Tourism Malaysia dan pemain industri utama yang lain. 

Riad Asmat, Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia berkata: “Kita memerlukan usaha secara kolektif untuk membina semula industri pelancongan dan pihak PGT telah memainkan peranan mereka dalam memastikan negeri Pulau Pinang bersedia untuk menjadi destinasi pelancongan utama selepas pandemik. Sebagai kumpulan syarikat penerbangan yang mempunyai bahagian pasaran terbesar di Pulau Pinang iaitu sebanyak 50%, usaha ini adalah sejajar dengan rancangan pengembangan kami untuk membuka dan membangunkan pasaran baharu ke/dari negeri ini. 

“Sejak penyambungan semula perkhidmatan kami ke/dari Pulau Pinang secara beransur-ansur, kami telah menerbangkan lebih 584,000 tetamu ke negeri ini termasuk lebih 87,000 tetamu antarabangsa sejak sempadan dibuka semula pada bulan April. Ini tidak mungkin dapat dicapai tanpa sokongan berterusan daripada kerajaan negeri, PGT serta pemain industri pelancongan lain dan kami berterima kasih kepada mereka untuk kerjasama berterusan.

“Dalam pada usaha kami untuk terus menambah rangkaian ke Pulau Pinang, kami percaya bahawa kekerapan penerbangan mingguan terkini kami sebagai sebuah kumpulan akan meningkatkan peluang pelancongan yang ketara kepada para pemain industri tempatan. Tambang bernilai hebat kami juga dapat merangsang pertumbuhan perjalanan udara di pasaran serantau dan kami tidak sabar untuk melihat lonjakan ketibaan pelancong ke Pulau Pinang dalam masa terdekat.”

Ooi Chok Yan, Ketua Pegawai Eksekutif PGT berkata: “Kami berbesar hati untuk menjalin kerjasama yang lebih kukuh dengan AirAsia bagi meningkatkan peluang komersial untuk pelancongan negeri selaras dengan Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang 2021-2030. Kerjasama ini adalah penting bagi mempercepatkan pemulihan industri serta mencapai segmen pasaran baharu. Melalui kerjasama ini, kami akan melancarkan kempen dan inisiatif yang menarik dalam beberapa bulan akan datang merentasi semua pasaran utama AirAsia termasuk rangkaian domestik dan antarabangsa, serta memanfaatkan berjuta-juta pengguna airasia Super App untuk aktiviti promosi.

“Kami juga teruja kerana beberapa laluan ke/dari Pulau Pinang oleh AirAsia telah kembali beroperasi kepada kekerapan pra-pandemik, seterusnya menghubungkan rantau ini lebih dekat dengan negeri ini, membawa kira-kira 31% daripada keseluruhan ketibaan penumpang dari bulan Januari hingga Julai tahun ini. Melalui kempen Experience Penang, kerajaan negeri akan terus mempromosikan destinasi yang kurang diterokai seperti Balik Pulau, Teluk Bahang dan Seberang Perai, sebagai inisiatif untuk menawarkan keterangkuman dan mendekati lebih ramai masyarakat tempatan bagi meningkatkan taraf hidup mereka.”

Kumpulan AirAsia mengendalikan 184 penerbangan setiap minggu melalui 13 laluan ke Pulau Pinang. AirAsia Malaysia (kod penerbangan: AK) terbang ke Pulau Pinang dari Kuala Lumpur (42x mingguan), Johor Bahru (28x mingguan), Kota Bharu (3x mingguan), Kota Kinabalu (14x mingguan), Kuching (14x mingguan), Sibu (2x mingguan), dan Langkawi (21x mingguan) serta Singapura (21x mingguan) Bandar Ho Chi Minh (4 x mingguan) dan Jakarta (3x mingguan). AirAsia Indonesia (kod penerbangan: QZ) terbang ke Pulau Pinang dari Medan (14x seminggu), Surabaya (2x seminggu) dan Jakarta (4x seminggu). AirAsia Thailand pula terbang ke Pulau Pinang dari Bangkok – Don Mueang (12x seminggu). Perkembangan rangkaian selanjutnya akan diumumkan dalam masa terdekat sejajar dengan permintaan yang semakin meningkat.

*Tambang termasuk semua merangkumi cukai lapangan terbang, surcaj bahan api dan fi lain yang berkenaan. Tertakluk kepada terma dan syarat.

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Najib Asaddok

Tular Digelar ‘Bisnes Air Liur’, Najib Asaddok Asalnya Orang Susah

Sonno Melancarkan Butik Flagship Pertama di Publika Kuala Lumpur