Malah, baru-baru ini tular apabila Najib, 39, atau nama sebenarnya Mohd Najib Asaddok yang sedang membuat sesi siaran langsung dihujani dengan pertanyaan seorang pengguna laman sosial yang bertanyakan soalan berunsur provokasi mempersoalkan apa perniagaan Najib yang sudah berjaya sehingga layak mengajar orang lain mengenai ilmu pemasaran.
Seterusnya sesi itu mendapat komen beberapa pengguna laman sosial mempertikaikan kejayaan diraih hanya dengan ‘menjual air liur’.
Namun, Najib yang juga pengasas syarikat Momentum Internet Sdn Bhd sejak 2014 lalu enggan ambil pusing segala komen yang dilontarkan.
“Ketika buat sesi siaran langsung itu, saya sedang membincangkan topik agak serius berkaitan isu peniaga yang mengalami kejatuhan dalam jualan. Tapi, apabila terdapat komen dan soalan sama berulang kali, ia lebih kepada provokasi dan berniat nak menjatuhkan kredibiliti. Saya juga orang biasa yang mempunyai emosi dan perasaan.
“Dalam masa sama, ramai lagi memberikan komen positif dan sokongan yang mana mereka berkongsi kisah kejayaan dalam perniagaan selepas mengikuti kelas saya. Bagi saya, ini lebih menggembirakan serta memberi semangat pada saya,” katanya.
Pun begitu, disebalik kejayaan yang dicapai hari ini, siapa sangka Najib yang berasal dari Benut, Pontian, Johor sudah mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan sejak di bangku sekolah semata-mata ingin mengubah nasib diri dan kehidupan keluarganya.
“Pada usia 11 tahun ayah saya meninggal dunia. Ketika itu mak hanya pekerja kilang dengan pendapatan RM300 hingga RM500 sebulan. Malah, sejak kecil lagi saya bersama lima beradik lain tinggal dengan datuk. Dengan bantuan datuk juga, kami adik beradik cukup makan, pakai dan sekolah.
“Dari sekolah lagi saya sudah berniaga dengan terbabit sebagai ketua koperasi di sekolah menengah dan menjadi Ketua Kelab Usahawan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Muar. Pada 2004 saya sudah mula membuat perniagaan jualan langsung yang mana ketika itu masih menuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai, Johor.
“Kemudian, pada 2006 hingga 2008 saya terbabit dengan perniagaan menjual produk kesihatan. Saya buat jualan di sekolah, buka ‘booth’, masuk ekspo dan beberapa pejabat kerajaan. Dalam masa sama, sepanjang tempoh itu juga saya mula menjadi pelatih dengan memberi latihan kepada orang yang mahu mula berniaga. Semua yang saya buat ini bukan semata mata minat, tapi terpaksa sebab saya berasal daripada keluarga susah,” katanya.
Kesusahan dan keperitan dilalui Najib tidak menghalang dirinya melanjutkan pengajian ke peringkat tertinggi termasuk menamatkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Perniagaan dan Pengurusan (MBA) di Anglia Ruskin University kampus Kolej FTMS Cyberjaya (2018) dan kini sedang menuntut di peringkat Kedoktoran dalam bidang Pentadbiran Perniagaan (DBA) di Open University Malaysia (OUM).
Daripada seorang jurujual, Najib membuat anjakan dalam kerjayanya apabila menukar strategi dengan terbabit dalam perniagaan secara dalam talian pada 2009. Berbekalkan pendapatan mencecah RM30,000 hingga RM50,000 sebulan, Najib mula dihimpit rakan dan orang sekeliling bagi mendapatkan rahsia kejayaan itu.
“Semua kawan bertanya macam mana saya boleh jualan hingga mencecah angka itu. Dari situ saya buat bisnes ‘coaching’ atau latihan hingga sekarang. Kebanyakan orang faham apabila berniaga hanya secara ‘offline’. Apabila mereka mula menyedari perniagaan dalam talian, saya ajar mereka cara nak bermula termasuk penggunaan ayat yang sesuai untuk tarik minat pelanggan.
“Alhamdulillah, pada 2020 saya membuat satu kelas berskala besar yang dihadiri 5,500 individu yang terdiri daripada usahawan pelbagai industri dan latar belakang. Pengalaman yang ada sepanjang terbabit dalam perniagaan dalam talian saya kongsikan kepada mereka. Ini juga berkat hasil saya berguru dengan Datuk Wira Dr Azizan Osman,” katanya.
Sesuatu yang membanggakan buat Najib juga apabila menerusi syarikatnya dia sudah berjaya membantu lebih 400,000 usahawan menerusi e-book, video, buku, kelas dalam talian dan ‘offline’ yang dibuat secara percuma.
“Perjalanan untuk berjaya ini bagi saya kejayaan milik semua orang. Sesiapa saja berhak untuk berjaya. Bila ada niat kuat nak bantu orang sekeliling, insya-Allah dipermudahkan.
“Dari buku, e-book, video semua saya berikan percuma. Sebab saya tahu ramai nak mulakan bisnes tapi tidak ada duit macam mana saya dulu. Jadi, saya mahu mudahkan mereka. Dari situ juga, skala makin besar sampai sekarang. Daripada bises ‘air liur’ ini juga banyak jenama dan perniagaan yang kita bantu hingga berjaya. Itu juga dengan izin Allah,” katanya.
Berkat kesabaran, usaha dan pertolongan, ternyata itu semua memberikan sinar dalam kehidupannya termasuklah baru-baru ini syarikatnya memperoleh sijil Sirim ISO 9001:2015 yang membuktikan hasil kerja keras kakitangan Momentum yang mengikut segala prosedur.
Najib juga dinobatkan Anugerah Orang Muda Johor oleh DYAM Tunku Mahkota Johor selain menerima Anugerah Kepimpinan dalam Pemasaran peringkat Antarabangsa di Dubai tahun ini.
“Alhamdulillah, saya sudah berjaya membelikan sebuah rumah buat mak dan ibu bapa mertua. Pada 2019, saya hantar mak menunaikan haji. Baru-baru ini pula, saya membawa membawa isteri dan kedua mentua menunaikan haji. Rezeki nak tolong keluarga, Allah permudahkan semuanya,” katanya.