Lagu ini juga telah digubah dan dilengkapkan dengan kerjasama Pi’e Nasir; penyanyi dan pemain gitar kepada band tempatan Ramayan, sebagai produser, dan Faliq Mohd, seorang produser tempatan yang lebih dikenali dengan nama penanya; FLQ.
Turut memberi sumbangan kepada projek ini adalah Mohd Akmar Soffian sebagai jurubunyi, Mohamed Ilham sebagai produser eksekutif dan Rahman Saharddin sebagai pengurus projek.
Lagu ini telah dirakamkan di Studio Ronggeng milik Luncai Emas pada awal tahun ini dan mengambil masa selama lebih kurang 3 bulan untuk disiapkan.
Angin adalah single ke-7 Mafarikha sepanjang kerjayanya dalam industri muzik tanah air. Setelah beliau melancarkan single pertamanya bersama Luncai Emas ‘Kabut Serangkai Mawar’, sebuah ‘remake’ lagu dendangan Datin Zaiton Sameon, telah diputuskan bahawa langkah seterusnya adalah sebuah lagu original.
Daripada arkib simpanan lagu-lagu beliau, lagu Angin yang mempunyai potensi yang paling tinggi menurut Dato’ M.Nasir. Rangka asal lagu Angin telah ditulis oleh Mafarikha pada 8 tahun yang lepas waktu beliau sedang
menjalankan pengajiannya di Multimedia University, Cyberjaya. Ketika itu beliau berumur 22 tahun; seorang mahasiswi yang sedang menjalani kehidupan sehariannya berulang-alik di antara Cheras dan Cyberjaya sambil ditemani suasana hening Lebuhraya MEX. Menurut beliau, waktu perjalanan itulah beliau akan meluangkan masanya berkhayal dan mengelamun dalam sunyi; sunyi kerana buat beberapa tahun beliau tidak mendengar radio walau sedikitpun, dan beliau akan menulis lagu dalam kepalanya, maka terlahirlah lagu Angin daripada buah khayalannya.
“Lagu ini tiada kaitan dengan hidup saya pun. Saya suka berhalusinasi, memikirkan tentang pengalaman orang lain dan mencipta senario yang dialami orang selain daripada pengalaman saya sendiri. Lagu ini tidak mempunyai makna tersendiri dalam hidup saya.”
“Saya sekadar mahu mencipta sebuah lagu yang saya suka dan untuk pendengar juga suka apa yang mereka dengari ” terang Mafarikha tentang maksud di sebalik lagu ini.
Berbanding daripada lagu-lagunya yang lain, lagu ini mempunyai sesuatu yang berbeza buat Mafarikha.
“Prosesnya berbeza kali ini. Untuk single-single saya yang sebelum, saya akan menggunakan perkhidmatan penulis-penulis lain dan sekadar menyanyikan apa yang telah ditulis setelah lagunya siap. Kali ini saya turut serta di dalam prosesnya dari awal sampai akhir. Saya juga yang menulis lagu dan lirik, dan sentiasa menukar pendapat bersama produser Pi’e dan ahli-ahli Luncai Emas tentang apa yang sedap, apa yang perlu diubah, mesej apa yang ingin disampaikan dan sebagainya.”
7 buah single berlalu, dan kini Mafarikha berharap bahawa lagu Angin akan membawa beliau ke taraf yang lebih tinggi, dan destinasi yang lebih jauh daripada single-single beliau yang sebelum.
Kini lagu Angin boleh dilayani di Youtube dalam bentuk video lirik. Pendengar boleh menikmati lagu Angin di semua platform streaming seperti Spotify, JOOX, Deezer, iTunes dan sebagainya dalam masa yang terdekat.
ANGIN – MAFARIKHA
Bila satu bintang hilang dari pandangan mata Bila satu saat ku mencari
Kau tak bersamaku bagai di biar tergantung Tapi ku tahu kau kan kembali
Bagai beribu batu kau di sana
Ku tetap menunggu walau bertahun lamanya
Oh angin sampaikan lah cintaku kepadanya Moga dia tahu aku baik-baik saja
Oh angin bawa bayangku menemani tidurnya Moga dia tak selalu rindu padaku
Bila satu bintang hilang dari pandangan mata Bila satu saat ku mencari
Kau tak bersamaku bagai di biar tergantung Tapi ku tahu kau kan kembali
Bagai beribu batu kau di sana
Ku tetap menunggu walau bertahun lamanya
Ohh
Di dalam setiap suram surutku Dulu kau sentiasa ada denganku Menemaniku mendengar semua Keluh kesah di hatiku
Di akhir setiap kali sujudku
Ku titip namamu dalam doaku Bersulamkan tangis merayu
Kau akan kembali
Oh angin sampaikan lah cintaku kepadanya Moga dia tahu aku baik-baik saja
Oh angin bawa bayangku menemani tidurnya (Menemani tidurnya)
Moga dia tak selalu rindu padaku