Nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi, Alif Satar dan band-nya, The Locos, kembali menghiburkan peminat muzik tempatan dengan single terbaharu mereka berjudul ‘Lelaki X Sempurna’ versi kedua yang menampilkan suara penyanyi wanita, Diandra Arjunaidi.
“Kami telah pun melancarkan single ini tanpa kehadiran suara wanita, jadi pada kali ini, kami ingin tampilkan kelainan dengan memaparkan Diandra sebagai suara latar dan juga pasangan duet Alif Satar & The Locos (ASTL),” jelas Alif memulakan bicara.
Lagu berentak pop ini telah dicipta oleh penyanyi popular, Yonnyboii, bersama-sama Alif sendiri, dengan ahli-ahli ASTL yang lainnya, Tam Cobain serta Efry Arwis, manakala diterbitkan oleh syarikat rakaman terkemuka, Warner Music Malaysia.
ASTL terdahulu telah pun merakamkan sebuah EP bersempena bulan Ramadhan yang lalu bersama kumpulan nasyid bertaraf lagenda negara, Raihan.
“Lagu-lagu Raihan yang kami rakamkan semula masih mendapat ciapan di laman Facebook serta Instagram dan tidak terhenti setakat bulan puasa sahaja.
“Ini kerana lagu-lagu tersebut berkonsepkan malar segar dengan mesej-mesej keTuhanan yang berguna serta boleh didengar sepanjang zaman dan bila-bila masa,” jelas Tam Cobain selaku gitaris ASTL.
Idea di sebalik pembikinan single ini datangnya dari Yonnyboii yang sememangnya mahir dalam pembikinan lagu-lagu pelbagai genre sekitar setahun yang lepas.
“Ketika itu, negara masih lagi dalam fasa pandemik dan kebanyakkan kerja-kerja rakaman di studio tidak dapat dijalankan.
“Setelah negara memasuki fasa endemik, barulah kami berpeluang untuk merakamkan EP bersama Raihan dan seterusnya single ini. Pada mulanya lagu ini dicipta untuk nyanyian solo, setelah dirombak, kami olahkannya sedikit agar lebih upbeat yang dirakamkan secara bersama band.
“Sebelum ini, Lelaki X Sempurna telah pun dirakam dan dilancarkan di beberapa platform, tetapi kami rasakan ada sesuatu yang ‘kurang’ jadi kami pelawa Diandra untuk menyumbangkan suaranya, selain Alif yang mencadangkan dia untuk dipaparkan ke dalam lagu tersebut. Ini kerana Alif sememangnya menyokong penglibatan artis indie dalam karya-karya band kami,” ulas Efry Arwis, selaku pemain bass.
Single ini mengisahkan tentang luahan perasaan seorang lelaki yang merasakan dirinya tidak sempurna terhadap wanita yang dikasihinya, namun wanita tersebut menerima diri lelaki yang dicintainya seadanya dengan ketidaksempurnaan yang dimiliknya.
“Lagu ini sebenarnya ber-genre pop santai dengan pelbagai elemen muzik yang berbeza di dalamnya, kalau pendengar amati ada sedikit muzik jazz dan RNB yang disuntik dengan elemen ‘kemelayuan’ agar dapat diterima masyarakat Malaysia umumnya.
“Mungkin ramai yang kurang pasti apakah genre yang dibawakan oleh band kami ini, kami adalah sebuah kugiran pop yang membawakan pelbagai genre muzik kerana muzik pop itu meluas, tetapi kami bukanlah sebuah kumpulan pop ‘bubblegum’ kerana pendekatan yang kami ambil jauh berbeza serta lebih dewasa dan serius,” ujar Faliq Auri, pemain saksofon ASTL.
Single ini juga turut menampilkan sebuah video muzik (MV) dengan jalan cerita yang menarik dan pasti menggamit memori percintaan di masa lalu, kongsi Rajwan Juni, selaku pemain dram ASTL, “MV itu nanti memaparkan kami sedang membantu Alif yang hendak berpindah ke rumah baharu, ketika sedang berkemas, Alif terjumpa pemain walkman-nya yang lama dan ada cerita disebaliknya. Kalau penonton hendak tahu kisah selanjutnya, kenalah tonton di YouTube nanti.
Sebagai seorang penyanyi yang sudah berkecimpung di dalam bidang seni selama 15 tahun, pelbagai yang telah Alif tempuhi. Bukan sahaja bakat menyanyi, malah bakat berlakon dan pengacaraan yang dimilikinya membuatkan Alif sebagai salah satu artis paling versatil tanah air.
“Saya berharap peminat ASTL serta penggemar muzik tempatan boleh menerima serta ‘hadam’ lagu-lagu yang kami bawakan kerana karya-karya kami bukanlah seperti kebanyakan lagu yang ada di luar sana, dan azam ASTL adalah membawakan muzik pop cara kami ke arena arus perdana.
“Jangan lupa terus menyokong ASTL dan nantikan album kami tidak lama lagi,” akhiri Alif.
Lagu ‘Lelaki X Sempurna feat. Diandra Arjunaidi’ boleh dimuat turun di iTunes dan boleh juga dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran YouTube Alif Satar.