“Hello, nama saya Awi Rafael, saya adalah seorang singer & songwriter.”
Itulah ayat-ayat pengenalan diri dari seorang penyanyi yang dulunya pernah menyertai kumpulan Bhumiband yang terkenal di Singapura dan pernah memenangi trofi Best New Album, Best New Song di Anugerah Planet Muzik. Menggelarkan dirinya sebagai Awi, sekilas mengingatkan Budiey dengan penyanyi band handalan Wings, Awie. Tak ramai penyanyi nak guna nama Awi. Unik dan ringkas. Awi Rafael, orangnya sangat mesra dan mudah didekati.
Saat bertemu sejurus usai Majlis Ramah Mesra di Ecobar jam 4 petang semalam, Budiey merasakan Awi Rafael ada aura ikon pop rock. Ada gaya. Kasual berjaket, jeans lusuh yang koyak di bahagian lutut dan lengkap berkasut bot tinggi.
Kata Awi, dia ada follow Twitter Budiey dan kami sempat berbual sepatah dua. Tak dapat berbicara lama kerana Awi Rafael masa tu sibuk dengan temubual bersama TV. Awi jenis yang suka merendah diri dan tak pernah lupa untuk menghargai pertolongan media yang banyak membantu beliau.
Dan semalam, adalah tarikh bersejarah bagi Awi Rafael yang telah melancarkan album pertamanya yang berjudul AWI RAFAEL. Majlis dibuat di Ecobar, Menara Bata, Damansara Perdana. Di majlis ramah mesra semalam, Awi sempat mendendangkan 4 buah lagu kepada media yang hadir. Nak dengar persembahan Awi yang santai, sila klik video kat bawah ya:
Bila Aku Jatuh Cinta – Awi Rafael
Bukankah Aku – Awi Rafael
Pulanglah – Awi Rafael
Kepada yang belum kenal Awi Rafael, boleh follow twitter @AwiRafael. Sebenarnya, beliau yang kini mencecah 25 tahun ini pernah mendapat persekolahan di Singapura dan merupakan graduan jurusan Undang-Undang dan Psikologi. Kemudian beliau merantau ke Australia untuk mencuba nasib dan menimba pengalaman di sana. Sekarang, Awi mahu test market di Malaysia pula dan hari ini beliau telah bernaung di bawah label Warner Music Malaysia.
Menurut profile yang Budiey baca ni, Awi lahir pada 23 Julai 1986 dan nama sebenarnya ialah Muhammad Nabawi bin Gunawan. ibunya berasal dari Pontian, Johor manakala bapanya adalah dari Jakarta, Indonesia. Awi bukan calang orang sebab sebelum ini beliau pernah menjelajah bersama kumpulan muzik seperti Sheila On 7, Dewa dan banyak lagi.
Seawal usianya 20 tahun lagi, Awi telah berjaya mendengarkan suaranya di TV dan radio Singapura, Brunei dan Indonesia. Bagi Awi, itu satu pencapaian yang boleh dibanggakan daripada pemuzik yang bergerak secara solo.
Album Awi Rafael memuatkan 5 buah lagu hasil penulisan lirik dan lagu oleh Awi Rafael sendiri dengan tambahan 2 buah lagu Pulanglah versi BM dan radio edit. Album ini menampilkan lagu-lagu berentak pop rock dan balada. Lagu Pulanglah yang kini diputarkan di beberapa stesen radio Malaysia kini telah pun mendapat tempat di hati pencinta muzik negara ini dengan tersenarainya lagu ini sebagai antara lagu yang menjadi pilihan pendengar.
Lagu yang dimuatkan dalam album ini ialah Pulanglah, Aku Bukan Bintang, Bukankah Aku, Bila Aku Jatuh Cinta dan Panas.
Album Awi Rafael boleh dibeli pada harga RM21.90.
Diterbitkan bersama Hang Dimas dari kumpulan Hujan.