Namanya mungkin samar-samar diingati di kalangan penggemar muzik tanah air, namun bagi pendatang baharu, anak kelahiran Kuantan, Pahang, Emeer Bakri, perjalanan seninya telah pun bermula hampir 2 dekad lamanya.
“Saya telah mula menyanyi dari umur 10 tahun lagi dengan menyertai pelbagai pertandingan karaoke di sekitar Pahang, dan pada tahun 2007 ketika berumur 12 tahun, saya berjaya menjadi salah satu finalis bagi program realiti di TV3 iaitu ‘Mystarz LG’ musim pertama dan merupakan satu-satunya peserta termuda.
“Nasib akhirnya menyebelahi saya pada tahun 2009 apabila dinobatkan sebagai juara pertandingan nyanyian di TV9 dipanggil ‘Oo La La’ di usia 14 tahun,” kata pemilik nama sebenar Mohd Emeer Iskandar Mohd Bakri.
Kini di usia 27 tahun, Emeer tampil dengan single pertamanya berjudul ‘Fantasia’ di bawah naungan Armani Entertainment Group (AEG), sekaligus kembali mewarnai industri muzik tanah air setelah lama menyepi.
“Alhamdulillah dan terima kasih di atas peluang yang diberikan oleh pihak pengurusan AEG, terutamanya kepada Dato’ KK Chua serta Puan Zeileen Yusnita kerana mempercayai bakat saya sehingga ditawarkan kontrak rakaman bersama mereka.
“Pada tahun lepas, saya berjaya menjadi naib juara pertandingan pencarian bakat ‘The Audition’ anjuran AEG, dan dari disitulah bakat saya ditemui semula,” tambah Emeer.
Selain berprofesi sebagai penyanyi profesional, Emeer juga merupakan Penerbit Muzik di AEG dan bertanggungjawab menghasilkan pelbagai konten berkaitan muzik.
“Saya nekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur demi mengejar cita-cita dalam bidang muzik dan dengan terlahirnya Fantasia, ia seakan memberi peluang kedua buat saya untuk menunjukkan kembali bakat yang saya ada kepada semua rakyat Malaysia.
“Melalui lagu ciptaan komposer terkenal negara seperti abang Omar K, Firdaus Rahmat dan John Jeeves ini mampu menonjolkan kemampuan vokal saya dalam menyampaikan sesebuah karya muzik.
“Proses rakaman hanya berlangsung sekitar 2 jam sahaja di Studio World Peace Entertainment, Kota Damansara dalam suasana yang fun dan relaks kerana banyak ilmu yang saya timba ketika berada di dalam studio bersama mereka yang profesional dan saya hormati.
Lagu yang berdurasi 3:55 minit ini jika didengar pada bait-bait awalnya sudah pun berjaya membawa pendengar seakan-seakan terawang ke dunia lain, dan korusnya yang santai ala easy-jazz mudah ‘ditangkap’, ditambah pula dengan pukulan vokal Emeer yang lunak dewasa, jauh berbeza dari suara ciliknya yang biasa didengar dahulu.
“Saya ingin dikenali sebagai seorang artis yang bukan sahaja berkebolehan dalam nyanyian, bahkan mampu menghasilkan karya sendiri dan mempunyai perwatakan atau sikap yang baik.
“Bagi saya, keistimewaan seseorang penyanyi itu terletak pada cara nyanyiannya yang menjadi signature artis tersebut, apabila didengar sudah diketahui siapa yang menyanyikannya, dan saya juga tidak menolak untuk bereksperimentasi dengan genre yang lain pada masa akan datang,” kata Emeer.
Serentak dengan rilisnya single Fantasia nanti, sebuah video (MV) turut dilancarkan dengan mengangkat tema science fiction, dan jalan ceritanya yang agak berlainan pasti membuat ramai penonton tertanya-tanya apa yang sebenarnya terjadi.
“Menerusi MV Fantasia, saya merupakan anak Malaysia pertama yang masuk ke ‘Black Hole’ dan kalau hendak tahu lebih lanjut kenalah tonton!” kongsi Emeer dalam nada teruja.
Selain itu, single Fantasia juga merupakan OST rasmi bagi drama ‘Setelah Terlafaznya Akad 2’ yang ditayangkan di Astro Ria bermula 1 Jun ini pada jam 10 malam di slot Mega Drama.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Armani Media iaitu Dato’ KK Chua, “Emeer merupakan naib juara ‘The Audition’, sudah pasti kami di AEG percaya dengan bakat nyanyian yang dimilikinya.
“Mungkin dahulu, bakatnya kurang menyinar kerana tidak diberikan peluang yang sewajarnya, dan di AEG kami percaya jika bakat itu digilap dengan baik, pasti bintangnya akan menyinar suatu hari nanti.
“Semoga Fantasia dapat melonjakkan lagi nama Emeer Bakri sehingga dikenali ramai.
Emeer mengakhiri sesi temu bual dengan berkata: “Saya berharap agar lagu ini (Fantasia) dapat diterima oleh ke semua pendengar muzik tempatan, dan buat peminat semua jangan lupa untuk terus menyokongnya sehingga dikenali ramai.
“Saya juga berharap semoga lagu ini juga menjadi titik comeback bagi saya untuk terus menyinar dalam industri muzik tanah air!
Lagu ‘Fantasia’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati pada bila-bila masa melalui aplikasi penstriman atas talian popular seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music dan juga YouTube Music.
Manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif hanya di saluran rasmi YouTube Armani Entertainment.