Selami perasaan dan mainan emosi Amelia Henderson menerusi drama terbaharu ‘Kisah Cinta Kita’ dimana beliau menerima tawaran Aedy Ashraf untuk satu penyamaran identiti yang akhirnya menyebabkan dia terjerat dalam situasi yang genting.
Terbitan oleh A. Aida Production, Kisah Cinta Kita bakal bersiaran selama 28 episod bermula hari ini menerusi slot Akasia TV3, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam. Para peminat drama Melayu juga berpeluang untuk menyaksikannya di platform penstriman popular Disney+ Hotstar Malaysia.
Kisah Cinta Kita merupakan idea asal daripada Rehal Nuharis dan Bikash Nur Idris yang juga merangkap penulis skrip untuk drama rantaian ini. Diarahkan oleh Riza Baharudin dan menampilkan barisan pelakon popular Malaysia seperti Aedy Ashraf, Amelia Henderson, Dato’ Jalaludin Hassan, Datin Seri Maria Farida, Khaty Azian, Ikmal Amry dan ramai lagi.
Drama rantaian ini mengisahkan tentang Aleesa (Amelia Henderson) didatangi oleh seorang lelaki yang tidak dikenalinya, Amer (Aedy Ashraf). Aleesa diminta menyamar sebagai Natasha yang telah menghilangkan diri kerana mereka berdua mempunyai wajah yang sama. Amer berjanji akan menanggung kos pembedahan ibunya, Hanisah (Datin Seri Maria Farida) sekiranya Aleesa bersetuju menjadi Natasha demi kesihatan Datuk Ramzi (Dato’ Jalaludin Hassan) yang masih berada di hospital. Memandangkan dia hanya perlu menyamar sekejap sahaja, Aleesa bersetuju. Aleesa hanya perlu ke hospital dan bercakap-cakap dengan Datuk Ramzi yang masih belum sedarkan diri.
Natasha telah membuat keputusan untuk kahwin lari dengan Zuhairi (Ikmal Amry) di sempadan apabila datuknya, Datuk Ramzi mahu memisahkannya dengan Zuhairi. Malahan, Datuk Ramzi ingin mengahwinkan cucu tunggalnya dengan Amer. Selepas kehilangan Natasha, Datuk Ramzi diserang sakit jantung dan dimasukkan ke hospital.
Natasha ditemui dalam keadaan wajahnya terbakar dek kemalangan jalan raya yang tragis. Amer telah mengarahkan Aleesa untuk meneruskan lakonannya sebagai Natasha. Aleesa tidak bersetuju kerana Datuk Ramzi telah sedarkan diri. Tambahan lagi, ini bukan perjanjian awal mereka. Apabila Amer mengugut untuk menghentikan pembiayaan kos perubatan Hanisah, Aleesa terpaksa bersetuju.
Demi ibunya, Aleesa meneruskan penyamaran sebagai Natasha dengan perasaan marah dan benci kepada Amer. Aleesa mengesyaki Amer merancang untuk membolot harta Datuk Ramzi selepas nampak Datin Laila (Khaty Azian) dan Amer dalam keadaan yang mencurigakan. Apakah yang akan berlaku nanti?
Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Kisah Cinta Kita menerusi slot Akasia, setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam bermula 26 November 2021. Siri rantaian yang sarat dengan drama dan perihal keluarga ini boleh diikuti melalui platform penstriman Disney+ Hotstar.
Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat!