in , ,

Gaya Biarawati Gereja, Aina Abdul Mohon Maaf, Bukan Niat Memuja

Penyanyi Aina Abdul sengaja tampil seperti biarawati gereja atau rahib, namun, bukan bermaksud memujanya.

Sebaliknya, penyanyi berusia 28 tahun yang sinonim dengan festen pelik itu beranggapan, gayanya yang ditampilkan itu adalah penjenamaan ‘Aina Abdul’ yang suka dengan elemen kejutan.

“Walaupun netizen beranggapan seperti biarawati gereja atau rahib, namun, saya beranggapan ia sebaliknya. Saya lihat dan hargai gaya atas dasar berfesyen sahaja.

“Fesyen hanyalah sementara. Ia bukannya bermaksud apabila berpakaian bergaya seperti ini saya akan berubah atau memuja sesuatu. 

“Ini juga adalah cara saya untuk memberi inspirasi kepada mereka mahukan kelainan,” katanya kepada BH Online.

Terdahulu, penyanyi lagu Sumpah dan Sepi itu sekali lagi menarik perhatian netizen selepas didakwa menggayakan tudung seperti biarawati gereja atau rahib.

AINA ABDUL

Tudung sedondon sut rona putih berkenaan digayakan Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani ketika sidang media Konsert A Night With Aina Abdul 2.0.

Menerusi komen ditinggalkan netizen dalam saluran YouTube Aina Abdul, ramai bersetuju dan berpendapat cara pemakaian hijab yang digayakan Aina menyerupai biarawati gereja. 

Namun, tatkala sedar persalinan rona putih yang digayakan itu persis wanita gereja, Aina tampil memohon maaf menerusi Instagram (IG) Story, baru-baru ini.

Aina berjanji akan lebih berhati-hati dalam berfesyen selepas ini.

“Saya penuh rasa rendah diri ingin mohon maaf kepada peminat yang terkesan dengan penampilan saya dalam sidang media Konsert A Night With Aina Abdul 2.0, baru-baru ini.

“Sejujurnya, inspirasi ini datang daripada saya dan pasukan. Kami mengambil inspirasi daripada koleksi fesyen Mason Margiela 2022/Spring Summer.

“Namun, saya akui kekhilafan dan ia mendatangkan salah faham ramai pihak. Jadi saya mohon maaf,” tulisnya.

Netizen tidak bersetuju dengan Aina kerana menyifatkannya menjadi mangsa fesyen penata gayanya sendiri.

Bagaimanapun, ini bukanlah kali pertama gaya dan penampilan Aina dikecam. Sejak kembali mewarnai dunia seni, nama Aina sinonim dengan kontroversi disebabkan gaya pelik.

Malah, disebabkan keberaniannya tampil dengan gaya pelik pada pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-34 ketika menyanyikan lagu Sumpah dengan persalinan yang ditumpahi darah, persembahan itu tidak disiarkan di saluran YouTube milik TV3 kerana bertentangan Garis Panduan Laporan Media yang melarang sebarang bentuk adegan membunuh diri dengan menunjukkan kaedah serta cara menamatkan riwayat.

Begitu juga ketika acara permaidani merah Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-34, penampilannya serba hitamnya turut menerima kritikan ramai, malah, disamakan dengan plastik sampah.

Menerusi AJL Ke-36, penampilan Aina sekali lagi mengundang perhatian ketika menyanyikan lagu duet Nafas Cinta bersama Khai Bahar apabila Aina imej seperti pokok.

Aina berkata, sebelum ini lebih gemar tidak mengambil tahu mahupun membaca komen netizen. 

“Sejujurnya, saya kurang membaca komen dan kritikan dalam media sosial.

“Sebab itulah saya boleh terus bertahan dan mencuba sesuatu yang baharu. Ia juga menjadi salah satu perkara yang dipraktik agar tidak luntur semangat. 

“Saya hanya mengikut kata hati. Saya tidak kisah dikritik kerana ia juga publisiti,” katanya lagi.

Sumber: BH Online

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

Forum Perdana & Dokumentari Sempena Majlis Tilawah Al-Quran

ZAMAERA TRENDING

Promosi 6.6 Shopee, Siri vivo T1 Dijual Serendah RM584! Miliki Sekarang!