SHAH JASZLE DAN FAEZAH ELAI SERASI ‘JADI KEKASIH’ DALAM TELEMOVIE PONDOK INGATAN CINTA DI TV1
Pasangan pelakon yang mula mencipta nama dan meniti di bibir peminat drama tempatan, Faezah Elai dan Shahz Jaszle sememangnya serasi melakonkan watak sebagai pasangan kekasih. Kemunculan kedua-duanya membawakan drama yang dilatari babak-babak percintaan yang romantis berjaya meyakinkan penonton kedua-duanya serasi ‘berkongsi perasaan’ di layar kaca.
Dengan di bantu oleh pelakon Latif Borgiba, Zoey dan Zara Zya, kedua-dua pelakon yang mencetus fenomena menerusi drama Asmara ini muncul menghidupkan watak masing-masing dalam teledrama menarik, Pondok Ingatan Cinta pada 15 April 2011 (Jumaat), jam 3.30 petang di TV1.
Drama mengisi slot Ceritera Cinta ini berkongsi kisah Farish, lakonan Shah Jaszle sebagai pelajar kolej yang sosial dan liar. Dalam diam dia meminati gadis bernama Shila setelah mereka selalu berjumpa di kelab malam. Namun malangnya Shila sudah mempunyai kekasih.
Kebetulan di kolej ramai wanita bertudung dan soleha meminatinya, termasuklah seorang gadis cantik bertudung bernama Nur Iftisya (Faezah Elai). Semestinya Farish tidak memandang langsung kerana Nur adalah budak kampung yang tidak pandai bergaya.
Pada masa sama Farish tidak jemu berusaha untuk memikat Shila. Sehinggalah satu hari, kehadiran Shila di kolej tersebut telah membuatkan Farish berjaya memikatnya dan mereka selalu berfoya-foya di kelab malam.
Nur melihat keintiman mereka dengan sakit hati. Farish sengaja menyakitkan hati Nur dan tidak menyukai segala yang cuba dibuat Nur bagi memikat hatinya. Dia sedar Nur tidak mampu membuat apa-apa lagi dan sentiasa mahukannya berputus asa daripada menarik perhatiannya.
Dalam diam kekasih Shila memerhati gerak geri mereka berdua. Terntaya Shila hanya ingin mengikis duitnya sahaja. Kekasih Shila memukul Farish di satu tempat kemudian mencampakkan Farish di dalam hutan.
Kehilangan Farish dirasai semua orang yang mengenalinya. Termasuklah Nur yang tidak putus-putus mendoakan untuknya. Tok tua menjumpainya lalu mengubati dan menjaga Farish dengan anak perempuannya Mila. Farish mula jatuh cinta dengan Mila dan ingatannya mula pulih sikit demi sedikit.
Setelah pulih, Farish takut dan terus melarikan diri keluar dari hutan dan pulang ke rumah. Di kolej semua tahu kehilangannya dan kepulangan Farish dinantikan oleh Nur. Malang sekali Farish masih menghina Nur dan teringatkan Mila. Farish ke tempat tersebut semula dan mencari kelibat Mila dan Tok. Namun tiada langsung kewujudan rumah dan sebagainya dikawasan tersebut. Farish mula hairan dan takut kemudian pulang mencari Nur.
Namun pada penghujung jalan itu, mampukah Farish kembali merebut cinta Nur? Masih adakah ruang di hati Nur untuk Farish yang secara terang-terangan mengkhianati perasaanya?
Shahz Jaszle