Tinjauan Sinar Harian di media sosial mendapati, rata-rata orang ramai terkejut mendengar pengumuman daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad sekitar jam 8 malam pada Ahad yang mengesahkan bahawa Hari Raya Aidilfitri disambut pada 2 Mei 2022.
Ia susulan ramai yang menyangka tarikh hari raya Aldifitri jatuh pada 3 Mei ini.
Seorang pengguna Facebook, Kay Kyrie MY misalnya berkata, dia masih belum balik ke kampung halamannya kerana tidak menyangka dengan tarikh tersebut.
“Kelam-kabut la orang Malaysia malam ini. Termasuk saya. Tidak balik kampung lagi ni,” katanya dalam ruangan komen di media sosial itu, pada Ahad.
Selain itu, pengguna Facebook bernama Hafidzi Mohd berkata, hajatnya untuk membeli baju Melayu esok tidak kesampaian susulan tidak menyangka keputusan pengumuman berkenaan.
“Cadang esok baru nak beli baju Melayu. Komfem (confirm) jadi murah.
“Nampak gayanya buat ‘Grab’ je la,” ujarnya.
Sementara itu, pengguna Facebook, Idzham Syafiq turut melahirkan rasa resah kerana tidak mengambil cuti kerja pada esok susulan menyangkakan bahawa tarikh Hari Raya Aidilfitri jatuh pada Selasa.
“Wei esok tak ambik cuti sebab ingat Selasa raya,” menurutnya.
Di samping itu, pengguna Facebook, Mohamad Faisal Osman berkata, dia masih belum membuat sebarang persiapan raya seperti yang dilakukan pada tahun sebelum ini.
“Serius la satu apa tak buat lagi. Ingat esok nak buat semua itu dari pagi sampai malam macam biasa setiap tahun,” katanya.
Pengguna Facebook, Remos Remos pula berkata, makanan-makanan bagi persiapan untuk raya juga masih belum dibeli lagi.
Tangkap layar Facebook
“Baru nak cari minyak tanah. Dah dua hari cari tak jumpa.
“Ayam tak beli. Daging tak beli,” katanya.
Musafir Wajib Qada Puasa Jika Ramadan Kurang 29 Hari
PUTRAJAYA: Umat Islam bermusafir di negara yang berpuasa lewat sehari tetapi kemudian tiba di negara yang sudah pun tamat Ramadan diwajibkan ganti lagi bagi mencukupkan 29 hari.
Demikian pandangan tokoh agamawan terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri sebagai menjawab kemusykilan ramai pihak berhubung senario tempoh puasa Ramadan bagi musafir.
“Jika berada di negara yang memulakan Ramadan lambat sehari namun bermusafir di negara yang sudah berpuasa awal, maka wajib dia menyambut Aidilfitri bersama-sama penduduknya.
“Kemudian dia perlulah qada selama sehari setelah tamatnya Ramadan dan Hari Raya Puasa kerana bulan Islam tidak akan kurang 29 hari,” jelas beliau menerusi laman sosial rasminya.
Meskipun tidak menyatakan secara spesifik, pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu seperti merujuk hantaran tular mengenai sambutan Aidilfitri di negara tertentu yang awal sehari.
Antaranya tangkap layar memo Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London yang memaklumkan tarikh 1 Syawal di Britain sebagaimana ditetapkan pihak berkuasa di negara tersebut pada 2 Mei.
Umat Islam di Britain bagaimanapun mula berpuasa awal pada 2 April lalu dan hari ini mereka sudah pun menyempurnakan genap 30 hari Ramadan untuk perayaan Aidilfitri keesokannya.
Ada beberapa lagi negara yang telah bermula 1 Ramadan pada 1 April lepas dan menyambut Hari Raya Puasa pada hari ini kerana perbezaan situasi penampakan hilal atau anak bulan.
Mengulas lebih lanjut, Zulkifli berkata, musafir berada di negara lewat berpuasa sehari tetapi selepas itu pergi ke negara yang tamat Ramadan, akan menyebabkan dia berpuasa 28 hari.
“Justeru, dia hendaklah qada atau ganti baki sehari puasa jika sudah berpuasa Ramadan 28 hari kerana dalam takwim Hijrah, setiap bulan tidak akan kurang daripada 29 hari,” jelasnya.
Bagaimanapun hukum keadaan itu ujarnya berdasarkan pandangan ulama terkenal al-Khatib al-Syarbini adalah berbeza sekiranya musafir tersebut sudah pun berpuasa sebanyak 29 hari.
Sehubungan itu tambah beliau, individu berkenaan tidak wajib ke atasnya untuk qada kerana dia telah lengkap menepati bilangan minimum hari dalam bulan Islam iaitu 29 hari sahaja.
Hujah tersebut turut disokong seorang lagi ulama, Syeikh Abdul Aziz Baz apabila ditanya isu berkenaan bahawa musafir itu perlu berpuasa atau berhari raya mengikut negara dia berada.
Malahan, jika puasanya belum cukup 29 hari namun tempat tersebut sudah meraikan Aidilfitri, dia tetapi boleh menyambut hari raya dan kemudian diganti sehari lagi selepas perayaan itu.
“Kaedah ini menurut qaul (pendapat) muktamad ulama mazhab Syafie berdasarkan antaranya Imam al-Nawawi, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syihabuddin al-Ramli,” kata Zulkifli.
Dr Zulkifli Beritahu Hukum Berpuasa Warga Johor Bekerja di Singapura
Penduduk beragama Islam yang tinggal di Johor namun bekerja sepanjang hari di Singapura dibenarkan untuk menyambut perayaan Aidilfitri hari ini.
Tokoh agamawan terkenal, Datuk Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri menerusi laman Twitter miliknya berkata demikian menjawab pertanyaan pengguna media sosial berhubung statusnya yang bekerja di Singapura.
Mukarramah Mustapa dalam satu hantaran menjelaskan ramai warga Johor yang bekerja di Singapura keliru samada perlu berpuasa atau menyambut Aidilfitri susulan waktu Subuh atau sahur masih berada di Malaysia.
Bagaimana pun, terpaksa berada di Singapura bermula pagi hingga tengahari akibat tuntutan pekerjaan.
Susulan itu, Zulkifli menjelaskan bahawa umat Islam yang berada dalam situasi tersebut boleh menyambut perayaan Aidilfitri seperti biasa.
“Boleh berhari raya di Johor sebelum ke tempat kerja. Boleh makan sepanjang berada di Singapura tetapi afdhal di tempat tertutup kerana meraikan waktu setempat yang masih berada dalam Ramadan.
“Selain itu, solat sunat hari raya hanya sekali, tidak perlu dua kali,” jelasnya menerusi hantaran media sosial terbabit.
Terdahulu, akhbar melaporkan umat Islam yang menetap di Singapura bakal menyambut perayaan Aidilfitri esok susulan pengiraan mendedahkan bahawa anak bulan Syawal tidak mungkin dilihat pada waktu matahari terbenam semalam.