TEATER MUZIKAL RANDAI KASIH MENANTI @ ISTANA BUDAYA

Tarikh Persembahan
9 – 18 MEI 2008
 
Tarikh/Masa Persembahan (Malam)
9 – 18 MEI 2008 (8.30 MALAM)
 
Tarikh/Masa Persembahan Matinee
11 & 18 MEI (3.00 PETANG)
 
Tempat Persembahan
PANGGUNG SARI, ISTANA BUDAYA
JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
 
Tiket Persembahan
RM30, RM50, RM80, RM100 & RM150
 
Maklumat Lanjut/Pembelian Tiket
BOX OFFICE, ISTANA BUDAYA
JALAN TUN RAZAK, KUALA LUMPUR
Hubungi: 03-4026 5558
www.istanabudaya.gov.my
 
Tempahan/Pembelian Tiket Menerusi Telefon (Kad Kredit)
 03- 4149 8600 (Ticket2u)
 
Pembelian Tiket Secara On-line
www.ticket2u.biz

 
Pengarah Persembahan
AHMAD TARMIMI SIREGAR
 
Penulis Skrip
SAMOZA
 
Pengarah Muzik
ROSLI SELASIH
 
Pengarah Tari
ZULHAILA SIREGAR
 
Pengarah Artistik
IRWAN ISMADI SHAHRIM
 
Barisan Pelakon:
DATO’ YUSNI HAMID
SAFURA
ZULKAFLI ZAIN
SABRINA HASSAN
MEGAT SHARIZAL
RAY REDZUAN
SHAFIRUL AZMI
dan ramai lagi..
 
Sinopsis Teater Muzikal Randai Kasih Menanti
Pendekatan pasca moden klasik Minangkabau. Randai Kasih Menanti (teater muzika) menyingkap sejarah hitam sebuah pulau dan seorang ibu yang tak jemu menunggu kepulangan anaknya. Jalinan elemen tari, silat, lagu, muzik dan lakon yang menarik, adalah satu persembahan indah.
 
RANDAI
Antara bentuk teater tradisi yang telah bertapak sejak sekian lama di alam kepulauan Nusantara. Rangka cerita dalam persembahan Randai disertai dengan gerak silat dan tari adalah amat menarik. Perjalanan cerita yang menarik itu diselitkan dengan pengajaran moral yang amat tinggi dalam kehidupan masyarakat zaman lampau.
 
Sebagai mana lazimnya teater tradisi dan berkait dengan konsep cerita penglipur lara, watak utamanya akan keluar mengembara untuk membina kekuatan diri.
 
Dalam pengembaraan tersebut, hero selalunya mengharungi pelbagai rintangan dan masalah. Dalam pengembaraan ini juga sang hero akan bertemu dengan heroin. Konsep cerita penglipur lara berakhir dengan kesudahan hero akan berkahwin dengan heroin.
 
Paling utama, dalam persembahan randai, ia turut diselitkan dengan elemen pelbagai nilai puisi dan lagu yang indah. Keindahan puisi dan lagu pula amat tebal dengan nilai pengajaran agar penonton sentiasa menginsafi diri dan sentiasa menghormati nilai-nilai adat istiadat dalam kehidupan bermasyarakat.
 
RINGKASAN CERITA
Kelahiran anak diramalkan dukun akan memberi  celaka kepada Pulau Cendena. Ibu Kandung menghanyutkan anak ke laut, dan anak ditemui Ibu Angkat. Anak membesar menjadi Bujang, lincah pula di gelanggang. Kapal dibina untuk keluar berdagang. Bujang dan rombongan dipukul angin gelombang sehingga kapalnya tersadai di Pulau Cendena. Bujang dan anak-anak kapal diterima Pak Alang, sementara menunggu kapal siap dibaiki. Hadiah selendang  sutera diberikan Bujang, Pak Alang pula meraikan tetamu dengan keraian. Bujang pedagang, terpandang Melor suntinya Pak Alang, dalam majlis tari putik, cinta berkembang. Jalak dan Lanang marahnya bukan kepalang kepada dagang yang menunjuk belang. ketika Bujang dan Melor berjanji bicara, Jalak dan Lanang datang menerpa. Dalam mengelak silat bersambut, Bujang ditikam keris Jalak. Pak Alang dijemput Melor meleraikan sengketa. Di rumah Pak Alang, sepakat diambil, Melor dan Bujang diikat satu.  Dendam Jalak dan Lanang bukan kepalang, berjumpa dukun menggagalkan perkahwinan. Bersanding Melor dan Bujang di pelamin bertepung tawar dan pulut kuning.  Dukun menjampi dan menetak jantung pisang dan Bujang pun jatuh di pelaminan. Pak Tuan dipanggil memulih Bujang. Ibu Kandung terpandang tanda di telinga Bujang, mengesahkan kepada Ibu Angkat itulah anaknya yang berpisah dulu. Bujang dalam ragu dan keliru. Pelayaran diteruskan meski inai di jari Melor belumlah kering. Rayu Ibu Kandung hanyut dibawa angin lalu. Bujang bertekad, pelayaran segera berangkat dan Melor dibawa bersama cintanya.
 
AHMAD TAMIMI SIREGAR Pengarah
 
Dilahirkan pada tahun 1950. Aktif dalam bidang kesenian meliputi tarian, muzik dan lakonan sejak zaman persekolahan.  Bakat dan kewibawaannya terserlah apabila diberi kepercayaan untuk menerbit dan mengarahkan satu teater besar yang diasaskan daripada kesenian Randai sempena pertabalan DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di-pertuan Agong Ke-10 (Negeri Sembilan) berjudul Kaba Kasih. Selepas itu, mengorak langkah dengan membintangi pelbagai genre drama tv dan filem seperti Permintaan Terakhir (Show Brothers arahan Jamil Sulung-1970), Abang (Fleet Communication arahan Rahim Razali -1979), Drama TV Kabus (RTM-1991), Telemovie Ana Aishah (RTM-1992), dan Telemovie Sinar (RTM-1993). Manakala  Wild Duck (1995) dan Muzika Rubiah (1999 & 2005) adalah drama pentas arahannya.
 
Dengan kecemerlangannya dalam bidang seni, beliau mendapat pelbagai anugerah, seperti Pelakon Terbaik Teater peringkat Kuala Lumpur berjudul Tali (1970), Pelakon Pembantu TV Terbaik- Anugerah Seri Angkasa Drama RTM berjudul Percayalah (1976), Fellowship Japan Foundation, Tokyo (1979), Pelakon Pembantu Popular Berita Harian – filem Puteri (1987), Pengarah Terbaik Anugerah Seri Angkasa – Drama Ana Aishah (1992), Personaliti Popular Anugerah Seri Angkasa (1995), Fellowship Asian Cultural Centre, New York (1996), Pingat Pekerti Cemerlang (PMC – Negeri Sembilan 1996) dan Kesatria Mangku Negara (KMN -1996).
 
SAMOZA Penulis SkripSabri Mohd Zin, dilahirkan pada tahun 1954 di Bachok, Kelantan. Mula menulis sejak tahun 1975 dan menulis dalam semua genre sastera. Sehingga kini telah menerbitkan beberapa buah kumpulan cerpen, novel dan kumpulan drama. Antara buku-bukunya seperti Pemberontakan (1988), Wira Lubuk Manggis (1991), Wirawati (1993), Tragedi Kubang Labu (1995), Menangguk Buih (1996), Long Yunus, Putera Istana Berhati Waja (1999) dan Muzika Rubiah (2002). Berkat ketekunannya, beliau telah memenangi pelbagai hadiah dalam sayembara penulisan seperti Hadiah Sastera Malaysia dengan cerpen Satu Malam di Pergunungan (1984/85), Hadiah Sastera Utusan Public Bank dengan cerpen Kot dan Baju Melayu (1993), Sayembara Cerpen Esso-Gapena, Hadiah Sastera Islam (VII dan IX) dengan skrip Dodadidodi dan Bertemu di Syurga serta beberapa hadiah lagi. Beliau kini adalah penulis sepenuh masa.
 
IRWAN ISMADI SHAHRIM Pengarah Artstistik
 
Graduan lulusan UiTM Shah Alam ini memulakan kerjayanya di Istana Budaya sebagai Penolong Pengarah Senireka. Sepanjang perkhidmatannya, beliau telah banyak terlibat dalam hampir semua produksi Istana Budaya sebagai pengarah artistik. Antaranya Alang Rentak Seribu, Anak Kerbau Mati Emak, Konsert Melodi Emas Ahmad Nawab II, Konsert Irama Melayu Asli, Konsert P.Ramlee dan Saloma, Bangsawan Naga Chini, Suzana@60, Muzikal Kanak-kanak Ali Baba, Muzikal Cheng Lock, Muzikal Putra, Muzikal Kanak-kanak Aladdin dan Konsert Barisan Budi 2008.
  
ZULHAILA SIREGAR
(Pengarah Tari)
 
Anak Melayu pertama yang mempunyai kelulusan dari Royal Academy Dancing (RAD, UK) dan The Imperial Society of Teachers of Dance (ISTD,UK). Tenaga pengajar dan pengasas kepada Sayang Ballet yang mengajar bidang klasikal ballet, jazz, moden dan tarian rakyat.  Mula melibatkan diri dalam bidang seni pentas sejak berumur 6 tahun dengan Selangor Filharmonik di bawah kendalian Mrs. Signe Syme. Terlibat dengan Show Boat, King and I, Hello Dolly, Ugly Duckling dan banyak lagi. Selepas  16 tahun, beliau kembali semula ke dunia teater melalui pementasan Uda dan Dara (arahan Ahmad Yatim), Cucu (arahan Rosminah Tahir ), Selendang Umi, Ledang, Member of the Rest House, Tenggang Factor di bawah arahan pelbagai tokoh seperti Dato Syed Alwi, Dato Noordin Hassan, Tamimi Siregar dan banyak lagi. Pengarah Tari dan pelakon utama Muzikal Rubiah (1999), penerbit dan pengarah artistik untuk drama tv dan pentas. Di samping itu pernah menerbitkan sebuah filem Bollywood. Di layar perak, pernah berlakon bersama Jody Foster dan Chow Yuen Fatt dalam filem Anna and The King.
 
ROSLI SELASIH Pengarah Muzik
 
Nama yang tidak asing dalam industri muzik tanah air. Telah melibatkan diri dalam bidang penerbitan album, gubahan serta penulisan lirik selama hampir 27 tahun. Baktinya dapat dilihat dengan penglibatan dalam beberapa siri persembahan dan penerbitan album, antaranya penerbit album Sahura, Aishah, Shima, Shahadah dan Arrani, pengarah muzik dan konduktor sidang APEC, perunding persembahan korporat, Penggubah Lagu-lagu TAPPN PDRM/ATM – Malaysian Book Of Records, Konduktor Rumah Terbuka KEKKWA, Juri pertandingan akhir Idola P. Ramlee & Saloma serta banyak lagi.
 
AZMAN ABU BAKAR Koreografer
 
Seorang koreografer yang mempunyai pengalaman luas dalam bidang rekaan  tari. Mengikuti Rancangan Sijil Seni Kreatif (1990-1991) di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang  dan memperolehi Diploma Seni  Tari (1994-1998) dari Akademi Seni Kebangsaan, Kuala Lumpur.  Koreografer di  Istana Budaya dan telah menjadi koreografer di beberapa buah negara untuk mewujudkan badan kebudayaan di luar negara seperti Korea, Hong Kong, Taiwan, Moscow, Beijing dan Indonesia. Sepanjang bergelar koreografer, beliau telah mendapat pengiktirafan kreatif dalam persembahan World Salsa Dance 1st in Asia di Hong Kong dan menjadi Koreografer dan Performer untuk Persembahan World Dance Alliance di Hong Kong dan Korea.
   
Ibu Kandung
 
Safura Ya’cob memulakan kerjaya seni sejak 1997. Safura terlibat sebagai penyanyi, dan pelakon tv, filem dan juga teater. Album dan lagu popularnya seperti Sedalam Mana Cintamu (1997), Mencari Mahligai (1998), Safura Selamanya (2001) dan Dia Milikmu(2004). Drama tv lakonannya seperti dalam Mencari Al-Zahra, Jangan Dilukai Hatinya, Payung ke Syurga dan Hari-hari Terakhir Seorang Perempuan, manakala filem pula seperti Terang Bulan.  Di pentas teater, beliau tampil dalam Sireh Bertepuk Pinang Menari (arahan Rohani Yousoff), Ronggeng Rokiah (arahan Anuar Nor Arai, Demi Zaitun (Noordin Hassan), Muzikal Lantai T. Pinkie (arahan Rosminah Tahir) dan banyak lagi.
 
Ibu Angkat
(Penampilan pertama Dato’ Yusni dalam teater) 
Dato’ Yusni Hamid dilahirkan pada tahun 1951 di Kampung Semarang, Kuala Lumpur. Memulakan kerjayanya dalam bidang seni sebagai penyanyi profesional di Lake Club, Kuala Lumpur(1969-1980) dan berpindah ke Regent Hotel sehingga 1992. Terus aktif menyanyi di pelbagai acara rasmi dan sambutan Hari Keputeraan Sultan-Sultan, serta pelbagai acara lain. Telah merakamkan 10 buah album solo dan dianugerahkan pelbagai anugerah dan pingat kebesaran kerana sumbangannya dalam dunia seni suara. Antaranya Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), Johan Mangku Negara (JMN), Kesatria Mangku Negara (KMN), Setia Mahkota Terengganu (SMT), Darjah Ahli Mahkota Perak (AMP) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).  
 
Dapatkan maklumat terkini persembahan di Istana Budaya melalui pautan ini:

www.istanabudaya.gov.my

[tags]Sinopsis, Teater Muzikal, Randai Kasih Menanti, istana budaya, [aisyah rozi, colourful theme, cool, designer, download, flexible theme, free, graphicless, Dilla, teknologi, kecantikan,wanita, vitamin c, plasenta, sihat, ikram zidane, kids, KekWa, Radio HotFM, Pelawak Acapan, kisah Mr Osma, malaysian, minimalistic, simply candylicious, Azureus, Fight BitTorrent, Throttling, ISPs, Firepow, Premium Sponsor, wordpress theme, rantai adlin[/tags]

Written by Budiey

Penggemar filem seram yang obses dengan gajet & teknologi terkini dan masih tegar menjadi pengendali portal hiburan & gaya hidup sejak tahun 2007. Kini aktif menjadi Youtuber & Podcaster yang menemubual selebriti dalam BORAK SINI HABIS SINI dan menerbitkan program BULETIN VIRAL di Budiey Channel.

The Simple Life – Story Paris Hilton & Nicole Richie Social Life

Gambar Sekitar Majlis Prebiu Media Pementasan Titian Zaman