Program realiti masakan popular dunia kini di Malaysia
Panggilan uji bakat MasterChef dibuka secara online sekarang!
Populariti program realiti masakan MasterChef yang telah mencetuskan fenomena di kalangan penonton di seluruh dunia telah mendorong Astro membawa pengalaman baru ini kepada penonton di Malaysia. Untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia menyertainya, Astro dengan berbesar hati menjemput individu yang berminat untuk menyertai program ini dengan memuat turun dan melengkapkan borang penyertaan di laman web rasmi MasterChef Malaysia.
MasterChef Malaysia merupakan sebuah program realiti masakan yang memberikan inspirasi dan peluang kepada chef baru mencungkil bakat mereka dalam bidang masakan dan dilatih oleh mereka yang berpengalaman dalam dunia masakan. Rancangan ini akan membuka ruang kepada para chef ini untuk mengubah kerjaya, impian dan aspirasi kehidupan mereka ke suatu tahap yang boleh dibanggakan. MasterChef adalah sebuah pertandingan apabila seorang daripada peserta akan dinobatkan sebagai MasterChef Malaysia yang pertama
Pengurus Saluran Astro RIA, Puan Azlin Reza Azmi berkata, ”Astro sentiasa peka terhadap kemahuan dan permintaan para pelanggan. Kami hanya menyiarkan variasi program-program terbaik kepada penonton yang terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan masyarakat. Setelah sekian lama kita hanya menonton kehebatan peserta dari negara Barat seperti Amerika Syarikat, United Kingdom dan Australia, kini sudah tiba masanya kita menonjolkan bakat anak-anak tempatan dengan menyiarkan Masterchef versi Malaysia.
Sebagai sebuah saluran hiburan Melayu unggul yang menawarkan program-program menarik, Astro Ria amat berbangga kerana akan menayangkan sebuah program yang ditunggu-tunggu oleh rakyat Malaysia ini. Kami amat menggalakkan penyertaan daripada seluruh rakyat Malaysia untuk tampil menonjolkan diri mereka dalam program ini. Kami menjangkakan program ini bakal mencetuskan fenomena baru dalam industri hiburan dan penyiaran tempatan dan bakal menyaksikan penyertaan menyeluruh rakyat Satu Malaysia.
Masterchef Malaysia dijangka akan bersiaran di Astro Ria (Saluran 104) pada bulan Oktober ini. Kepada yang berminat, anda boleh memuat turun borang secara online di www.masterchef.com.my. Borang yang lengkap diisi hendaklah dihantarkan ke [email protected]. Sesi uji bakat akan diadakan tidak lama lagi di beberapa buah lokasi yang akan diberitahu kelak.
Azlin berkata, “Tujuan kami mengadakan pra-pendaftaran secara online ini adalah bagi memudahkan orang ramai untuk menyertai program ini. Walaupun mereka yang mendaftar masih perlu menghadiri sesi uji bakat yang akan diadakan kelak, pra-pendaftaran ini dapat menjimatkan masa mereka untuk menunggu giliran sewaktu proses uji bakat kelak. Di samping itu, pendaftaran awal ini akan memudahkan pihak Astro mengenal pasti peserta yang berpotensi untuk diketengahkan dalam pencarian Masterchef Malaysia yang pertama ini”.
Peserta mestilah seorang lelaki atau perempuan, bujang atau sudah berkahwin dan mestilah seorang warganegara Malaysia dan boleh bertutur dalam Bahasa Malaysia. Mereka yang berminat perlu berumur di antara 18 tahun ke atas (pada 25 Mac 2011) dan warganegara Malaysia yang sah. Peserta juga mestilah sihat secara fizikal dan mental untuk menyertai pertandingan ini.
Sementara itu, untuk merancakkan kedatangan MasterChef Malaysia, Astro turut memperkenalkan laman peminat facebook; www.facebook.com/ MasterChefMalaysia dan ikuti perkembangan program ini di twitter; www.twitter.com/MasterChefMY untuk segala pekembangan terkini tentang MasterChef Malaysia. Untuk maklumat lanjut, layarilah laman web rasmi di www.masterchef.com.my untuk maklumat lanjut dan borang penyertaan.
Masterchef Malaysia ini bakal bersiaran di saluran rasmi; Astro RIA (saluran 104) pada bulan Oktober ini. Butir-butir lanjut mengenai sesi uji bakat dan program ini akan diumumkan kelak.
INFO PENTING
Syarat ujibakat:
1. Peserta lelaki dan wanita (bujang atau sudah berkahwin)
2. Berumur di antara 18 tahun ke atas (pada 25 Mac 2011)
3. Memiliki kad pengenalan dan sijil kelahiran yang sah
4. Peserta mestilah amatur dan tidak pernah menerima pendidikan atau pengalaman profesional dalam bidang masakan.
Muat turun secara online:
1. Layari laman sesawang di www.masterchefmalaysia.com.my
2. Isi borang dengan lengkap dan emelkan ke [email protected]
Facebook: www.facebook.com/ MasterChefMalaysia
Twitter: www.twitter.com/MasterChefMY