Salwa Naidin yang kini mengikuti pengajian peringkat doktor falsafah (PhD) dalam bidang Sains Sekitaran di Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga mahu masyarakat untuk ambil tahu dan peka terhadap isu kemanusiaan yang sedang berlaku di negara luar. Khususnya, negara-negara yang berhadapan dengan krisis peperangan.
Sukarelawan berasal dari Keningau, Sabah, ini berkata, kehidupan penduduk di Yaman jauh berbeza dengan masyarakat di Malaysia.
“Saya lihat sendiri, macam mana keadaan anak-anak kecil di sana yang mengalami masalah kekurangan nutrisi. Ada bayi yang berumur 8 bulan, namun berat masih 4.8 Kg, seperti bayi yang baru lahir.”
Perasaan sebak, apabila melihat keadaan kanak-kanak di Yaman, ramai yang mengalami masalah kesihatan kekurangan nutrisi.
Bagi Salwa, 30, perjuangannya menyebarkan isu-isu kemanusiaan dalam dan luar negara melalui akaun tiktok dan instagram adalah sebagai usaha untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, berikutan itu, dia juga kerap menyertai misi kemanusiaan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Saya merupakan sukarelawan aktif di bawah NGO MyFundAction. Sebelum ini, saya banyak terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan di Sabah sahaja.”
“Syukur, Alhamdulillah. Rezeki di awal tahun 2022, Allah beri peluang untuk saya sertai Misi kemanusiaan luar negara, di Yaman.”
Walaupun sedang sibuk menyiapkan kajian PhD, dia tetap menerima tawaran untuk menyertai Misi Peduli Yaman kerana memikirkan peluang ini cuma sekali dan perlu dimanfaatkan sebaiknya.
Salwa juga berkongsi tentang sekolah kanak-kanak pelarian yang terpaksa bersesak, disebabkan kelas yang tidak mencukupi.
“Saya sedih, bila kami lawat sekolah di salah satu kem pelarian. Sekolah tu, dibina khas buat anak-anak pelarian disana. Kelas penuh dan sempit, ada yang belajar atas lantai, atas meja disebabkan meja kerusi tidak mencukupi.”
Tambahnya lagi, pelajar lain terpaksa belajar di luar kelas dalam keadaan panas terik. Tetapi, itu tidak melunturkan sedikitpun semangat mereka untuk terus menuntut ilmu.
“Kita di Malaysia, sangat bersyukur kerana masih lagi boleh menuntut Ilmu dalam keadaan selesa dan aman damai.”
Berkongsi tentang salah satu videonya yang viral di tiktok, kini mencecah 25 juta tontonan. Salwa berkata, rakaman tersebut adalah dirakam secara tidak sengaja.
“Saya sangat kagum dengan mereka. Bila saya tanya, anak-anak di sana hafal Al-Quran? Masing-masing berebut untuk baca hafalan mereka.”
Berkongsi pengalamannya salwa berkata, setakat ini dia menyertai banyak misi dan program, namun semangatnya untuk terus menabur bakti kepada orang ramai tidak pernah pudar.
“Menjadi impian saya untuk mengajak lebih ramai lagi masyarakat di luar sana untuk bersama menyokong, berkongsi rezeki, peka terhadap isu kemanusiaan yang berlaku di dalam dan luar negara.” katanya.