Azwan atau lebih dikenali sebagai Diva AA berkata dia tidak menerima sebarang surat rasmi serta kesal stesen berkenaan mengeluarkan kenyataan rasmi tanpa memaklumkan terlebih dahulu kepadanya.
“Tiada surat rasmi diberikan kepada saya. Saya hanya tahu nama digugurkan daripada program itu selepas berita keluar di media.
“Kenapa keluarkan press release tanpa memaklumkan kepada saya terlebih dahulu? Memang saya ada jawab panggilan daripada Pengarah Urusan Awesome TV, Johan Ishak sekitar pukul 3.30 petang semalam.
“Tapi waktu itu, saya dalam keadaan mamai, baru bangun tidur sebab makan ubat, tak berapa sihat. Saya tak marah Johan tapi ada salah seorang pengurusan yang bersikap kurang ajar dengan saya.
“Memang ada beberapa panggilan daripada pihak pengurusan tapi kalau saya tak jawab, kenapa tak mesej saja di WhatsApp?” katanya.
“Mereka boleh cakap apa saja, dipersilakan. Allah Maha Berkuasa. Tunggu sajalah nasib mereka, karma itu pasti ada.
“Saya tak rasa apapun, malah saya tetap kaya-raya dan disambar sana-sini oleh pihak produksi. Saya tak hairan dan tak hadap sebenarnya tawaran ‘ciput’ (sedikit) ini, tapi saya buat demi peminat.
“Mereka boleh pertahankan kru dan wakil pengurusan, tapi saya juga ada prinsip hidup sendiri. Jangan main-main dengan saya,
Dalam pada itu, Azwan berkata dia mengakui sudah tawar hari untuk meneruskan tugasnya sejak minggu lalu. Ujarnya lagi, dia mahu bekerja dengan produksi yang hebat serta dirinya tidak dipergunakan
“Ikutkan saya memang dah give up nak buat program itu dari minggu lepas. Bila hati dah retak sebab benda seolah-olah nama besar Diva AA diperlekehkan untuk rating.
“Mesti pihak mereka menafikan tapi itulah hakikatnya. Saya dalam bidang ini sudah lebih 33 tahun, bukan kemasyuran yang saya cari.
“Yang saya cari, bekerja dengan produksi yang hebat, hormat satu sama lain dan tidak mempergunakan saya,” katanya.
Sementara itu, Azwan turut menuntut jumlah baki bayaran tertunggak dan kini sedang berbincang dengan peguamnya untuk menyaman kenyataan pihak disana.
“Saya tetap akan tuntut bayaran yang sepatutnya. Jangan jadi seperti tahun lalu, saya seperti minta sedekah untuk dapatkan baki bayaran.
“Bagi saya, jumlah bayaran itu tak penting. Tapi kedarat orang dah kikis, tolong bayar. Selain itu, saya tuntut pihak mereka untuk ‘shut up’!
“Kalau mereka masih mengeluarkan kenyataan, saya akan ambil tindakan. Sekarang ini, saya sudah berbincang dengan peguam untuk saman kenyataan mereka yang mengaibkan saya,” katanya.
Terdahulu, pihak pengurusan Awesome TV dalam satu kenyataan berkata keputusan menggugurkan Azwan selepas mengambil kira beberapa faktor utama demi memastikan keharmonian penerbitan program tersebut berjalan lancar serta menghormati semua pihak yang terlibat.